Selamat Tinggal Tahun 2012


Hari ini 31.12.2012 adalah hari terakhir dalam tahun ini. Pantasnya masa berlalu meninggalkan waktu dan usia. Semakin dekat dengan kedewasaan. Semakin hampir dengan kematangan. Semakin berisi dengan ilmu dan hikmah. Semakin bijak menyusun perancangan masa depan. Syukur atas segala kurniaan Tuhan yang memberikan kelapangan dan rezeki. Syukur atas segala kemudahan atas ujian dan cubaan. Syukur kerana diberikan peluang untuk kita berubah meskipun terpaksa berkorban. Anak-anak muda itu perlu terus berjuang dalam kanvas kehidupan. Anak-anak itu tidak harus putus asa dalam mendewasa - Usaha lagi terus dan terus. 

Genap setahun rumahtangga itu dibina. Masih perlu berusaha dan berdoa. Masih perlu membaiki kelemahan dan kealpaan. Masih perlu dibangunkan roh dan minda agar lebih dekat padaNya dan lebih memandang jauh ke hadapan. Hidup adalah untuk kita memilih. Memilih diantara dua atau tiga masa depan. Masa depan adalah sangat berharga. Masa adalah modal kita. Insan-insan disekeliling membentuk karakter dan peribadi kita. Anak-anak muda itu harus bangga dikelilingi mereka yang berjaya dan rajin bekerja. Kuat berusaha dan berfikir mencorak masa hadapan. Lupakan perbalahan dan persengketaan yang merugikan agama, bangsa dan negara kita. Fikir ke hadapan bagaimana ingin membina anak wargabangsa yang lebih maju. Berfikir untuk mencapai ke tahap global dan internasional. Berfikir untuk berubah secara total. 

2013 pasti menjanjikan event-event yang menarik. Yang paling menarik tidak lain dan tidak bukan Pilihanraya Umum ke-13. Kali kedua anak muda mengundi memilih pemimpin. Kali kedua anak muda itu menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi yang tidak tahu apa wakil rakyatnya buat dalam kawasannya. Adakah sekadar berpolitik atau beretorik. Adakah telah termaju masyarakatku dan bangsaku. Apakah bangsaku sudah hidup mewah dan kaya raya. Apakah bangsaku masih tidur dan malas bekerja. Apakah bangsaku sebenarnya tidak punya apa-apa idea untuk maju. 

Bilakah kita akan berubah sebagai sebuah bangsa yang kuat bekerja. Bilakah kita akan berubah untuk jadi bangsa yang kuat belajar dan cintakan ilmu. Bilakah kita akan jadi bangsa untuk suka fikirkan tentang idea pembangunan dan kemajuan dan bukannya asyik bercerita tentang hal orang, memfitnah dan bergaduh tentang kuasa dan politik. Ya benar kuasa dan politik itu adalah wang. Tetapi ingatlah di sana masih ada ruang untuk kita perbaharui dan perbaiki - semangat dan daya juang kita untuk mengeluarkan generasi baru daripada kemiskinan. Anak-anak muda itu dalam derita dan sengsara. Masa depan anak-anak muda itu perlu diselamatkan. Ruang pencerahan  anak-anak muda ini hanya melalui jalan pendidikan. Pelajaran adalah kuncinya. Pelajaran adalah senjatanya. Pelajaran terbaik adalah pengalaman di luar kotak darjah dan buku. Pelajaran terbaik adalah apa yang mereka lalui dalam menempuhi ranjau sepanjang jalan. Ingatlah kata-kata Horace Mann ' Education cannot make us all leaders, but it can teach us which leader to follow ! '  

Selamat Datang 2013 ! Fight always Fight ! We are Fighters ! 

Merentas Garis Masa dan Perubahan


"If you think education is expensive, try ignorance"

Antara Dua Masa Depan


Hari ini sudah melepasi peristiwa-peristiwa penting dalam hidup ku. Hari kelahiran isteri ku yang tersayang, ulangtahun perkahwinan kami yang pertama dan seterusnya menyambut hari kelahiran ku yang ke-28. Ya memang benar masa berjalan sebegitu pantas dan ligat. Masa tidak menunggu kita. Masa tak pernah sekali menipu kita dengan keadaan dan ruang waktu. Ya, kita semakin tua dan meningkat usia. Semakin dekat menuju kematian. Semakin dekat menuju cita-cita terakhir kita. Tidak lain dan tidak bukan adalah kejayaan dan kebebasan. Impian kita adalah kematangan dalam hidup. Impian kita adalah mendewasa dan mampu menjadi orang berpengalaman. Orang yang lebih makan garam berbanding adik-adik junior yang belum bergraduasi. Walhal makan banyak garam itu berisiko untuk dapat penyakit darah tinggi. 

Selesai Muktamar PAS dan Perhimpunan Agung UMNO - apakah ibrah yang kita dapat daripada kedua perhimpunan parti umat Melayu - Islam yang terbesar ini. Satu memperjuangkan Islam. Satu memperjuangkan Melayu. Satu kata nak laksanakan hukum Islam. Satu ini pun kata telah dan akan laksanakan hukum Islam. Pening. Keliru. Bosan dengan berita-berita politik di dada akhbar hari demi hari. Tidak adalah yang lebih idealis dan progresif lebih daripada itu. Anak-anak muda itu tetap perlu bekerja demi sesuap nasi. Anak-anak muda itu tetap perlu membayar hutang PTPTN. Anak-anak muda itu tetap perlu memikirkan akan gaji yang tidak mampu menampung kos hidup yang semakin menggila - kereta, rumah, bil astro, bil api dan ir, bil Celcom dan Maxis, bil Indah Water Konsortium, cukai pendapatan dan cukai pintu. Segala macam hal yang tidak ada kena mengena dengan Najib Razak, Anwar Ibrahim mahupun Abdul Hadi Awang. Hari demi hari anak-anak muda itu berharap cinta akan datang kepada mereka - kerna cinta boleh meringankan beban hidup yang ditanggung oleh anak-anak muda yang semakin mendewasa. 

Arakian dalam hidup ini kita mengharapkan perubahan. Apakah yang lebih penting selain daripada perubahan. Alam berubah. Manusia berubah. Mana mungkin kita duduk statik dan tidak bergerak . Mana mungkin kita terus-terus menjadi miskin dan terhina. Bangsa miskin dan terhina dek kerana korupsi dan kronisme. Bangsa miskin dan melarat kerana kurang ilmu, malas berusaha dan tidak mampu bersaing. Bangsa yang tidak bangun menentang dan melawan hawa nafsu. Bangsa yang membiarkan sahaja anak-anak mudanya berpeleseran, tidak berpelajaran dan sibuk dengan hiburan hedonisme lawak, seks dan hantu bayang di TV3. Mana mungkin kita mampu merobah segunung dan selembah cabaran mendatang yang bakal mendatangi kita. Di manakah masa depan kita. Di manakah alif ba ta kita dalam tempoh 10 - 15 tahun akan datang. Apakah yang dapat kita harapkan lagi daripada 241,740 yang diisytihar bankrap setakat April 2012 tahun ini. Apakah yang dapat kita simpulkan lagi - adakah kita Selamat atau Merana. Bahagia atau Sengsara. 

Segalanya bermula dengan diri kita. Kita yang memilih dan menentukan. Kita yang patut berimpian untuk berubah. Apakah kita takut dengan kegagalan. Apakah kita takut miskin, takut dikatakan penakut. Takut untuk menukar pemimpin, takut mengkritik, takut kepada orang yang telah banyak berjasa kepada kita. Apakah takut itu? Takut pada diri sendiri kerana tidak mahu mencuba untuk mencabar diri. Ya benar mencabar diri untuk pergi sejauh mungkin. Kenapa duduk tinggal lagi di Malaysia apabila tiada yang kita boleh harapkan untuk masa depan kita. Apa yang kita perlukan adalah jaminan masa depan yang lebih baik. Jesteru haruslah kita melangkah untuk perubahan. Terus merancang untuk kemajuan dan kejayaan. Kekayaan tidak akan datang bergolek tanpa usaha. Kenapa tidak tinggal dan bekerja di United Kingdom , Prague atau Amsterdam. Kenapa takut untuk keluar dari kepompong yang selama ini membelenggu diri kita. Anak-anak muda itu seharusnya tidak takut dikatakan gila, berani berkali-kali gagal dan berani berimpian besar. Hidup hanya sekali ! Lawan dan Cabar lah !