Kita Yang Tidak Pernah Gagal

Setiap masa kita berfikir untuk bebas. Bebas ini dalam konteks anak muda adalah tidak terikat. Tidak terikat bermaksud tidak perlu disuruh dan diarah oleh sesiapa. Bebas melakukan dan membuat sesuatu. Berdiri di atas kaki sendiri. Bergantung kepada usaha dan amal. Terus mengejar masa depan. Masa dan waktu yang terus berjalan. Kita semakin dewasa dan tua. Kita mengejar masa di hadapan. Kita mencari sebuah kehidupan yang dinamakan kebebasan.

Hari itu kita menyedari bahawa untuk meraih semua itu perlukan kekuatan. Kekuatan iman dan kepercayaan. Kekuatan dalaman diri. Kekuatan untuk kita berdepan dengan cabaran onak duri. Kekuatan untuk kita terus berusaha dan mencari jalan, bagaimana untuk merubah suasana di sekeliling kita. Hakikatnya kita hidup di kalangan manusia sampah yang menghamburkan segala macam bau busuk kepada kita. Segala yang negatif di sekeliling kita adalah ancaman kepada kejayaan. Untuk berjaya kita perlu rapat dengan orang yang mempunyai poket positif. Untuk gagal pula kita selalu berurusan dengan orang yang mempunyai peribadi negatif.

Semakin kuat cabaran itu, semakin bagus dan kuatlah kita. Berhadapan dengan kekangan. Berhadapan dengan cabaran kewangan. Berhadapan dengan isu-isu yang perlu dibuat keputusan. Masa depan adalah untuk kita yang inginkan perubahan. Persediaan itu perlu dilakukan lebih terancang, berstrategi dan tersusun. Segala peralatan dan kelengkapan perlu disiapkan. Hari demi hari adalah fasa pembinaan dan pengukuhan. Hari demi hari adalah proses membangun kekuatan. Hari demi hari adalah proses untuk mencambah idea dan minda, sesungguhnya maha banyak usaha yang perlu kita lakukan. Pilihannya ada pada tangan kita.

Syahdan, anak-anak muda dalam daulah itu perlu diberi ruang dan peluang. Mereka wajar dibesarkan jiwa dan impian. Tidak sewajarnya untuk mendidik dan mengasuh anak muda berjiwa lemah, takut dan kecil. Hari demi hari kita mendengar rintihan nasib anak-anak muda yang tidak terbela. Kerjaya, keluarga, kesihatan dan masa depan tidak tahu akhirnya. Tidak tahu juga hujung pangkalnya. Semua atas dasar kita terlalu pesimis kepada pandangan mereka. Kita selalu melagukan mereka tidak matang, hingusan malah tidak tahu memimpin.

Kita yang tidak pernah gagal. Gagal itu bukan hidup. Hidup bukan satu kegagalan. Hidup adalah kejayaan. Hidup adalah perubahan, kemajuan dan pembangunan. Setiap masa kita berfikir bagaimana untuk berlari ke hadapan. Setiap masa dan ketika kita bekerja demi sebuah harapan. Semoga ada sinar untuk hari esok kepada semua ahli warga. Semoga tidak pernah rasa letih, penat atau putus ada dengan kerja-kerja kita. Dunia ini hakikatnya milik kita dan sepatutnya diuruskan oleh kita, wahai anak-anak muda.

0 comments: