Tiba dan Ketika Menjadi Dewasa

Kamu sesungguhnya tahu tiba masanya untuk kamu menjadi dewasa. Kamu telah bergerak dari alam remaja yang penuh pancaroba. Kamu telah menginjak ke suatu alam keriangan ke alam penuh tanggungjawab. Alam liabiliti di mana kamu ada amanah dan tanggungan. Alam di mana kamu harus berusaha dan bergerak sendiri. Tanpa tongkat tanpa subsidi. Alam ini kamulah yang menjadi terajunya. Kamu membuat keputusan demi keputusan. Kamu yang menentukan samaada jalan yang dipilih itu adalah jalan merdeka atau jalan binasa. Kamu yang memilih samaada jalan itu menuju ke syurga atau neraka.

Masa berlalu. Begitu masa mencemburui kita. Kita melihat sahaja apa yang berlaku di sekeliling kita. Nasib anak-anak bangsa tidak terbela. Di manakah dan apakah masa depan kita. Kesibukan kita seharian melekakakan kita. Ada tanggungjawab pada nusa. Ada tanggungjawab pada negara. Di manakah letaknya masa depan anak muda yang hidup penuh noda. Di manakah letaknya satu kehidupan bagi mereka yang tidak punya kerja. Di manakah hilangnya semangat anak pejuang membela agama. Di manakah jiwa besar anak muda yang ingin terus memimpin di persada. Di manakah keikhlasan pribumi yang ingin negara gah di mata dunia. Di saat itu haruskah kita terus berputus asa.

Tragedi kehilangan anak-anak huffaz di Hulu Langat itu mengingatkan kita, alam kita cuma kecil sahaja. Tiba masanya untuk kita pergi. Tiba masanya untuk kita kembali. Saat kita mengkoreksi diri, apakah peranan kita selama ini. Apakah kita telah membuat sehabis baik dalam membaiki diri. Apakah kita telah membantu anak pertiwi. Apakah kita masih lagi menongkat di bumi milik kita sendiri. Apa kita hanya bergantung pada manusia tetapi tidak kaki kita sendiri. Apakah kita terlalu bodoh dan naif sehingga semuanya harus meminta pada orang lain. Semuanya harus bergantung pada orang lain. Hidup kita untuk orang lain tetapi bukan atas usaha gigih sendiri.

Maka bukan tanggungjawab Perkasa untuk mengingatkan kita kepentingan berjuang untuk bangsa. Bukan tanggungjawab ahli agama untuk kita mempertahankan agama. Bukan tanggungjawab Menteri Perdana untuk menentukan masa depan kita. Masa depan anak-anak muda ditentukan oleh diri mereka sendiri. Mahu jadi apa yang mereka mahu. Mahu beli apa yang mereka suka. Mahu dapat apa yang mereka ingin. Mahu hidup dengan apa yang mereka sayang. Mahu berjuang sekuat hati dengan apa yang mereka yakin dan percaya.

Ingatlah kita. berjiwa besarlah. Jangan hanya menunggu masa dan ketika. Anak-anak muda bertindaklah. Berfikir dan bergeraklah. Tiada siapa yang akan menolong kamu ketika kamu kelemasan. Amal jariah dan kebajikan itulah nilaian. Tiada siapa akan peduli tentang kamu. Tentang hidup kamu. Tentang pelajaran kamu. Tentang kerjaya kamu. Tentang masa depan yang bakal kamu pilih. Tentang apakah yang kamu akan jadi. Tentang apakah sumbangan kamu pada masyarakat dan agamamu. Semua itu adalah di atas pilihan diri kamu sendiri.

Tiba masa dan ketika. Bukankah telah aku katakan dulu siapa yang berusaha pasti akan berjaya. Bukankah telah dikhabarkan dulu buanglah semua rasa malu dan segan untuk berjaya. Bukankah telah diceritakan dulu pemimpin yang baik adalah pelajar yang membaca. Bukankah telah aku katakan dulu sebenarnya di dalam dunia ini, bukan seorang dua yang dilahirkan hebat. Bahkan semua yang dapat ke dunia itu hebat. Tetapi cuma kita yang memilih untuk hidup yang bagaimana. Jesteru pilihlah wahai anak-anak muda, kebebasan atau hidup terpenjara...

0 comments: