Kita Adalah 'Fighter'

Kini kita tidak dapat lagi apa yang sepatutnya menjadi milik kita, tapi kita akan dapat apa yang kita rundingkan jadi milik kita - Theodore Roosevelt

Apa yang kita baca dan dengar hari ini adalah satu manifestasi kepada dasar dan polisi yang tercipta sekian lama. Akhirnya kita semua sedar, membuat sesuatu itu perlulah kepada usaha dan komitmen. Bertindak di luar kemampuan. Berjuang di perbatasan. Menghabiskan masa dan waktu dengan sesuatu pekerjaan. Mengapa kita takut untuk bekerja demi kebahagiaan. Mengapa takut untuk mencari sebuah keselesaan. Mengapa kita tidak terus bergerak maju ke hadapan. Mengapa kita undurkan kaki kita melangkah ke belakang. Hidup perlu jalan ke depan.

Hilangnya hak dan keistimewaan itu, membuat kita keluar melangkah untuk meneroka. Menjadi peneroka kepada alam raya. Menjadi pencetus kepada produk dan idea. Menjadi Sang Pemula. Sungguh bukan mudah rupanya untuk berjaya. Jalan perlu terus. Hidup perlu maju. Bersakit-sakitlah dahulu baru bersenang kemudian. Berakit-rakitlah dahulu baru berenang ke tepian. Maka komitmen dan usaha itu maha penting. Maka membina rangkaian di kalangan mereka yang kaya dan berjaya itu juga penting. Barang diingat ramuan paling penting dalam formula kejayaan adalah mengetahui bagaimana untuk berbaik-baik dengan semua orang.

Syahdan, anak muda itu menangis kerana tidak dapat ditawarkan biaya pengajian. Anak muda itu pintar dan layak. Anak muda itu otaknya bernas dan bagus. Anak muda itu perlu diberikan bantuan berdasarkan kepada merit dan kelayakan. Maka daulah berkata dana itu tidak sama sekali cukup untuk semua. Dana itu sudah terlebih pada batasnya. Maka anak muda itu tidak berpeluang untuk menongkat lagi. Anak muda itu perlu berusaha sendiri. Perlu cari jalan dan cara sendiri. Perlu belajar bagaimana bergantung pada diri sendiri walau pada dasarnya anak-anak muda itu perlu dibantu. Hakikatnya kos pendidikan itu akan terus meninggi mencapai langit.

Tidak selamanya kehidupan itu mudah dan senang. Tidak selamanya juga ia perit dan susah. Kita perlu terus mencari cara dan idea untuk keluar daripada masalah. Keadaan yang paling penting bagi kita sebenarnya bukanlah menjadi orang kaya, tetapi mempunyai poket positif. Oleh itu modal jiwa sangat penting. Hanya yang kuat dan gagah, mampu membina mercu tanda bangsanya yang berjaya. Hanya yang terus tabah dan cekal, akan muncul sebagai pemenang dalam pertandingan kehidupan. Jelas sekali bahawa kita semua adalah 'fighter'.

0 comments: