saya juga melayu


Kebiasaannya dalam sesi motivasi saya akan menyelitkan kepentingan kita untuk bersaing dan mengatasi bangsa bukan Melayu. Ianya mirip kepada fahaman racisme atau perkauman. Saya akan menyentuh dan memberi penegasan bahawa bangsa Melayu perlu bangun dalam ekonomi dan pendidikan. Saya akan membandingkan-bandingkan dengan kaum Cina dan India yang kaya raya, memiliki perniagaan yang besar, kereta mewah serta isteri besar. Doktrinisasi sebegini biasa saya lakukan dalam slot cetusan motivasi dan program pembangunan insan.

Rupanya perlakuan sebegitu adalah silap dan menyeleweng. Membaca buku Datuk Zaid Ibrahim- Saya Pun Melayu sedikit sebanyak mengubah persepsi saya. Paling tidak saya menghargai point-point penting yang mengimbas kembali sejarah negara 50 tahun yang lalu. Memang kita perlu menghargai dan mengiktiraf sumbangan kaum lain terhadap kemajuan dan pembangunan di negara kita. Selama ini kita tidak pernah berlaku adil dan saksama terhadap kaum lain. Susuk daulah menyalahkan gunakan kuasa dan ISA untuk kepentingan politik sempit dan perkauman.

Baru saya sedar dan faham betapa teruknya parti UMNO Baru itu. Baru saya insaf dan mengerti bahawa ada yang tidak kena pada pentadbiran dan perundangan negara kita. Anak-anak muda selama ini tertipu dalam ilusi dan fantasi ciptaan susuk daulah yang ingin mengekalkan kuasa dan survival politik berkepentingan. Patutlah anak-anak muda disibukkan dengan hiburan dan hiburan. Tidak perlu belajar tinggi-tinggi dan berfikiran kritikal terhadap establishment. Kita mesti menjadi pak turut. Jangan risau dan bimbang kerana kita ada hak istimewa dan ketuanan Melayu. Jangan gusar dan khuatir kerana susuk daulah telah menyediakan peluang PTD kontrak di Putrajaya.

Bercerita sebegini menjadikan saya termenung jauh dan berfikir panjang tentang masa depan dan anak-anak muda di sekeliling saya. Bertanya kepada adik-adik bijak pandai di sekolah semuanya ingin menjadi doktor dan engineer. Saya katakan bahawa menjadi peguam, doktor atau engineer tidak akan menjadikan kita towkey atau tuan. Kita tidak akan berjaya jika tidak jadi usahawan. Jika ingin berjaya kita mesti ada azam, cita-cita dan semangat untuk jadi usahawan. Saya katakan bahawa UMNO, PKR atau PAS tidak akan pedulikan nasib dan masa depan mereka. Mereka terdiam dan terkesima. Agaknya terfikir sia-sia saja belajar bagai nak gila untuk dapat A berjela-jela.

Saya juga Melayu. Oleh itu tidak lama lagi saya akan bekerja di Singapura kerana di situ juga dulu Tanah Melayu. Saya cuma ingin merasai bagaimana tidak menjadi Melayu.

sebenarnya dalam dunia ini tiada orang gagal


Salah satu sifat anak muda Melayu ialah tidak takut pada kegagalan. Kegagalan adalah fitrah. Kegagalan adalah anak tangga kejayaan. Jika ingin berjaya kita wajib menempuh kegagalan dahulu sebelum mengecap kemenangan. Kita wajib terjelepuk, tergolek dan terkangkang dahulu sebelum menerpa kejayaan. Mana mungkin kita berjaya dan menang tanpa menempuh gagal. Mana mungkin kita berjaya membina daulah andai pejuang takutkan kematian. Mana mungkin kita beroleh isteri cantik, chic dan trendy jika tidak berani mengusha dan mengorat.

Kita tidak perlu mencarut apabila terpaksa menghadapi pilihanraya saban tahun. kalau boleh saya ingin setiap bulan akan ada YB yang mampus atau meletak jawatan agar kita boleh berpilihanraya kecil. Inilah demokrasi. Kita wajib merayakan cara demokrasi ini berjalan. Adanya pilihanraya kecil akan membuka peluang perniagaan kepada warga daulah. Adanya pilihanraya maka anak-anak muda berpeluang untuk kreativiti dan bakat mereka. Salah satu bakat dan kreativiti yang dapat kita lihat ialah; keranda Allahyarhamah Cek Mek Molek Mongolia. Haha.

Soalnya mengapa ada pihak takut berdepan dengan realiti semasa. Hari ini warga mula sedar bahawa mereka telah ditipu bukan sekali tetapi beribu kali. Hari ini kita mula sedar bahawa selama ini kita hidup dalam kebingungan dan kegelapan. Kita tenggelam dalam permainan para politikus yang gilakan harta, kekayaan dan kemewahan. Kita tertipu bahawa selama ini ekonomi negara kita tidak tenat. Hari ini kita melihat warga di buang kerja di mana-mana. Warga asing yang menjadi buruh hidup merempat. Anak muda merempit dan membohsia semakin ramai.

Apabila kita berdepan dengan sesuatu keadaan kita gelabah. Kita tidak mampu lagi untuk bertamrin dan berusrah kerana ISA menekan kita. Ini semua kerana AUKU menyebabkan siswa kita semakin poyo dan dogmatik. Ini semua salah orang lain bukan salah kita. Bagi saya pandangan sebegini adalah keliru lagi mengelirukan. Kita wajib berbuat sesuatu apabila usrah dibubarkan. Kita wajib mewujudkan lembaga-lembaga hantu Cek Mek Molek Mongolia untuk terus bertamrin dan berusrah. Berputus asa dengan halangan dan ujian samalah kita mengharapkan Khairy Jamaludin menjadi Perdana Menteri Malaysia. Haha.

Tiada manusia gagal dalam dunia ini. Yang ada hanya manusia yang berputus asa. Teruskan berusrah dan bertamrin wahai anak muda. Jangan hanya sibuk berkahwin awal untuk dapat anak lalu cepat membeli kereta WAJA. Anak muda Melayu mesti teguh dan berfikiran ke hadapan. Anak muda Melayu jangan hanya melontar masalah namun mesti mampu mencari alternatif ke arah penyelesaian masalah!

hati ini sebenarnya milik siapa


Menjalani hari-hari yang menyibukkan aku melihat insan di sana sedang menanti. Menanti sebuah pengharapan. Menanti cahaya di penghujung jalan. Menanti sebuah kehidupan yang baru. Melepasi ujian dan cabaran hidup. Ingin dirasai dan dihargai. Inginkan sebuah kebahagiaan yang dinanti. Inginkan sebuah kehidupan yang tenang, bahagia, kekal abadi.

Pada kehidupan ini kita hambakan masa dan tenaga untuk sebuah pencarian. Pencarian erti dan makna hidup. Pencarian pasangan yang bakal menjadi teman seperjuangan. Yang bakal melahirkan generasi pewaris perjuangan. Waktu kecil, besar, muda dan tua kita sentiasa diingatkan bahawa perjalanan ini tidak ada yang pasti. Bila tiba masanya kita dipanggil Ilahi maka kita perlu pergi.

Semalam adalah sejarah, hari ini adalah anugerah, esok masih lagi menjadi misteri. Kita ingin tamatkan kehidupan ini dengan cara bagaimana sebenarnya? Kita ingin ending pada cerita yang bagaimana sebenarnya. Pada jalan kekayaan atau perjuangan. Pada jalan kesenangan atau kepayahan berjuang. Pada jalan keceriaan atau kerisauan menanti hukum Tuhan. Sibuk berpilihanraya tidak memungkinkan kita melihat kesemua ini kawan.

Mengapa susah sangat untuk kita memperbaharui diri. Mengapa kita terlalu mudah melupakan cita-cita perjuangan kita. Mengapa kita takut pada kegagalan di dunia tapi tidak kegagalan di negeri sana. Bagaimana rasanya mati. Adakah mati itu sakit. Adakah mati itu kita berasa tenang kerana tidak lagi disibukkan dengan kes rampasan kuasa di Perak dan kejahatan menteri baru. Adakah mati itu masa untuk kita berehat menanti pembalasan amalan kita di dunia ini.

Yang pasti kita perlu teruskan kehidupan ini kerana kita belum mati. Jikalau mati sekalipun saya tinggalkan 100 ribu kepada yang dikasihi. Terima kasih kerana selama ini mendidik saya menjadi anak muda yang sedar akan hakikat diri.

Al-Fatihah buat Allahyarham Muad'z bin Azhar, adinda di SMKA SHAMS yang telah pergi...

inikah cinta?

sabarlah..

Dulu sewaktu kecil saya tidak pernah bercinta. Untuk apa bercinta. Saya tidak pernah mengenal erti cinta. Cinta saya hanya pada berusrah dan bertamrin. Pada perjuangan menegakkan kalimah Yang Maha Esa. Pada usaha membina daulah. Sekali lagi ayat ini berbaur kepoyoan. Sekali lagi saya keliru pada kehidupan. Kehidupan ini untuk apa sebenarnya. Kecintaan dan bercinta itu rupanya ilusi kehidupan. Lebih baik bercinta dengan wang dan harta kekayaan.

Sesekali cuba bercinta patah jua di tengah jalan. Rupanya pesan mama telah dilupakan. Utamakan yang utama. Lebihkan kecintaan pada yang telah banyak berkorban dan membesarkan kita. Membalas jasa budi dan penat lelah mereka membesarkan kita. Pada hari lahir mama saya hadiahkan satu ciuman. Tiada kecintaan pada wanita lain selain dia. Berapa kali mencuba sekalipun pasti tidak akan berjaya. Restu bonda itu cukup dominan dan berkuasa. Selama ini bukankah dia yang tidak putus berdoa untuk kesejahteraan kita.

Bercerita tentang cinta kadangkala menjadikan kita begitu naif. Falsafah sempit dan terkeliru. Kepuasan dan kenikmatan yang sementara. Hanyut dibuai mimpi indah yang buta lagi palsu. Hidup jadi tidak menentu. Melupakan matlamat yang dibina sejak dulu. Melupakan cita-cita dan impian. Melupakan hasrat menjadi anak muda jutawan yang kaya-raya, liberal dan independent.

Cinta itu palsu. Cita-cita itu kiasu. Jangan kalah pada fitnah dunia yang sentiasa ingin merosakkan. Siapa yang merosakkan siapa sekarang ini. Adakah PM yang baru menjadi punca kita semua menjadi rosak. Adakah Cik Mek Molek Altantuya menjadikan kita rosak. Adakah kita yang rosak. Orang yang mengatakan diri orang lain rosak sebenarnya dialah yang rosak.

Walau apapun kehidupan harus diteruskan. Sungguhpun tidak bercinta dan tidak berpunya. Ingin menyintai dan dicintai. Ini ayat poyo sekali. BMW lebih aku cintai daripada si Haryanti. Ini tiada kaitan samaada yang masih hidup atau yang telah mati. Saya hanya bermimpi setiap hari untuk bertemu seorang bidadari. Jangan bermimpi mendapatkan bidadari jika diri tidak secantik Saidina Ali. Kata-kata ini sentiasa disemat di dalam hati. Semoga sempat bertemu bidadari sebelum dijemput pergi. Al Fatihah buat sahabat baikku Allahyarham Syukri.

Rupanya kehidupan satu proses yang singkat. Halangan demi halangan. Ujian demi ujian. Setiap hari setiap masa kita diuji. Setinggi mana keyakinan. Sejauh mana kekuatan iman. Seutuh mana prinsip dan ketelusan. Pada rakan-rakan saya berpesan supaya lakukan persediaan. Kita bakal pemimpin masa depan. Pada peneraju pada perjuangan. Yang pergi biarkan pergi. Kita yang hidup perlu teruskan kehidupan. Berulang kali saya ingatkan doa kita tetap sama bukan.

Cinta...tiada maknanya. Sekuat manapun chemistry itu kita tetap kita. Halatuju kita berbeza. Cara hidup dan tujuan kita berbeza. Saya memilih jalan perjuangan. Bertamrin dan berusrah setiap masa. Berdemonstrasi jalanan. Saya memilih untuk berada di zon selesa. Saya memilih untuk bekerja PTD di Putrajaya. Saya memilih untuk berkahwin dengan anak raja. Saya memilih untuk bersama mereka yang kuat berusaha. Mereka kaya, selesa, berkuasa, bertenaga dan tidak takut orang mengatakan mereka gila. Itulah namanya insan yang luar biasa.

penantian untuk satu Malaysia satu perubahan


Esok Selasa 07.04.2009 akan menentukan siapakah yang mewakili rakyat Bukit Gantang di Parlimen Malaysia. SMS saya dibalas Dr Mashidhah yang menyatakan keadaan 50-50. Pilihanraya kecil ini bakal menentukan siapakah yang akan membawa suara rakyat Bukit Gantang di Parlimen Malaysia. Pilihanraya ini adalah titik tolak pada rakyat Perak meluahkan perasaan. Selama ini hidup dalam keadaan penuh kekalutan.Ini adalah proses demokrasi yang berjalan. Ini adalah sirah perjalanan anak-anak muda watan. Ini adalah soal penentuan masa depan. Ini soal kita menanti satu Malaysia untuk satu perubahan.

Saya sukakan gelombang perubahan. Change. Berubah. Menjadi anak muda mesti pr0 pada perubahan. Kita tidak akan statik dan stereotaip pada realiti yang sama. Kita perlukan idea dan jalur pemikiran yang baru. Kita bukan mahu PM baru dari parti yang lama dulu. Kita perlukan pemimpin baru dari parti yang baru. Kita perlukan kereta baru dan isteri baru. Soal pembaharuan dan perubahan ini sangat menarik untuk didengar. Kita gembira sekiranya kita dapat melihat suasana politik Malaysia yang baru. Bukan idea yang lapuk, lama dan bungkam.

Tidak kiralah berapa banyak jasa yang telah disumbangkan kita tetap mahukan yang baru. Kita mahukan anak-anak muda berfikrah cepat matang dan memimpin. Kita mahukan golongan tua old tai berehat di rumah. Kita mahukan proses demokrasi ini difahami dan dimengerti oleh anak-anak muda. Dunia ini sememangnya milik mereka bukan milik golongan tua. Dunia ini memerlukan buah pandangan dan idea fikrah mereka. Dunia ini memerlukan mereka sebagai saf pertama berjuang sepenuh tenaga.

Orang Melayu mengapa takut untuk berubah. Mengapa takut menyanggah. Mengapa takut tidak merafak sembah. Kaum lain berani berdiri sendiri dan berubah. Kaum lain tidak takut kehilangan ketuanan dan hak istimewa. Kaum lain tidak takut terhina. Biar hina di hadapan manusia tidak hina di hadapan yang Maha Esa. Apa salahnya bertukar sekali sekala. Ini politik bukan sehala. Hari ini ada mungkin esok tiada. Hari ini Islam mungkin esok sekular. Hari ini rakyat mungkin esok hamba.

Jangan takut untuk memulakan sebuah perubahan. Perubahan ini untuk kita. Kita tetap memakan nasi di pinggan biasa. Kita tetap jadi orang biasa yang tidak popular, tidak ternama. Kita tetap menjadi diri kita. Orang biasa yang berfikir dan bertindak dengan cara luar biasa. Orang hebat yang masa depan tidak ditentukan oleh manusia biasa. Orang kita yang sentiasa tertipu dengan manusia yang gilakan harta dan kuasa. Pilihan di tangan kita. Gunakanlah kuasa memilih dengan sebaiknya. Dunia ini akhirnya tetap akan jatuh di tangan anak muda.

Semoga YB Nizar pro kepada anak muda.

kita bakal mengulangi klise yang sama


Tiada bezanya antara ayam dan itik. Kedua-duanya adalah haiwan peliharaan. Ahli politik tetap dengan agenda memelihara kepentingan peribadi berbanding kepentingan rakyat kebanyakan. Waktu pilihanraya adalah waktu paling sesuai untuk lidah bertulang lembut. Pelbagai janji ditaburkan untuk meraih sokongan pengundi. Selepas pilihanraya semuanya hilang entah ke mana. Anak-anak muda tetap dibiarkan lemas dalam stigma sosial dan hiburan. Anak-anak muda terus menjadi bohsia dan bohjan. Tiada rasa klimaks pada pemergian Pak Lah kerana kehidupan rakyat kini dalam keadaan menekan.

Hari ini kita perlu melihat semula tentang siapakah pemimpin tulen yang kita cari. Adakah pemimpin yang merasuah atau terlibat dalam tragedi pembunuhan cek mek molek Mongolia. Mencari pemimpin yang bersih dan putih agak mustahil pada hari ini. Kita hidup dalam dunia imperialis kapitalis yang menjadikan modal dan kepentingan sebagai agenda utama. Kita harus memahami bahawa politik merupakan batu loncatan untuk menjarah segala hasil mahsul dalam negara. Oleh itu kita harus sedar bahawa tindakan dan keputusan tetap terletak di tangan kita.

Selepas 51 tahun merdeka adakah kita mara ke hadapan atau mundur ke belakang. Upacara angkat sumpah PM ke-6 akan berlangsung dalam suasana rakyat keliru. Kita keliru akan masa depan kita. Kita keliru dan sangsi akan kredibiliti dan integriti orang nombor wahid dalam negara. Paling kelakar dan lucah apabila isu cek mek molek Mongolia tidak dibenarkan disebut dalam kempen pilihanraya. Sia-sia Perlembagaan Malaysia meletakkan hak dan kebebasan bersuara. Ia diragut dan dirantai oleh Sang Penguasa yang takut kehilangan kepentingan dan kuasa.

Melihat di sekeliling kita berasa risau dan bimbang tentang anak cucu kita. Kes jenayah rogol, rompak, ragut dan buang anak berlaku di mana-mana. Inikah masa depan kita. Inikah halatuju kita. Persoalan ini harus diajukan kepada PM baru kita. Projek mega dan koridor bukan keutamaan kita. Kroni dan rasuah harus ditolak ke tepi jika ikhlas membangunkan negara. Jika tidak kita hanya mengulangi klise yang sama. Tiada beza antara no.1 dan no.2. Mereka yang tidak berusaha akan tetap miskin dan hidup menderita.

Perjalanan mencari sebuah makna kehidupan sememangnya jauh. Walau apa jua yang menjadi penghalang kita harus menempuhinya. Manusia hidup dengan nafsu ingin menjadi kaya dan berkuasa. Kuasa selalu menjadi keserabutan hidup di bumi Malaysia. Setiap hari setiap saat kita menempuhi pilihanraya. Kita harus memilih antara yang kaca atau pertama. Kitalah yang menentukan masa depan kita. Mengejar PTD di Putrajaya adalah stigma menafikan hikmah berdaya usaha.

Tiada bezanya mendapat Mufti yang baru atau Perdana Menteri baru jika realiti kehidupan kita tetap sama. Kita tetap tidak mampu untuk maju seperti Singapura. Kita tetap berbudaya dengan budaya asing sehingga hilang jatidiri anak bangsa. Anak-anak muda tenggelam dalam fantasi dan ilusi menjadi penyanyi dan artis mee segera. Benarlah Sabda Baginda bahawa manusia sentiasa mengikut agama Sang Penguasa. Yang zalim disanggah, Yang adil dipangkah. Teruskan berusaha dengan idea dan cetusan baru wahai anak muda Malaysia. Dunia ini sememangnya tidak pernah adil kepada kita. Kita hanya hidup dikalangan manusia biasa yang tidak lagi ternoda.