celebrating 24th anniversary


Esok genap umur saya 24 tahun. Menjalani kehidupan sebagai seorang anak muda yang tinggal di bumi Malaysia. Di usia ini saya telah memenuhi beberapa impian, manakala sebahagian lagi masih dalam proses pembangunan.

Terkenang di waktu kecil dahulu seorang makcik mengatakan bahawa antara anak-anak mak sayalah yang paling cantik. Orang kampung-cantik itu mungkin maksudnya paling smart. Bukanlah berniat untuk masuk bakul angkat sendiri, tetapi kata-kata sebegitu memang memberikan estim diri yang baik kepada diri saya sehingga ke hari ini.

Hari ini saya semakin meningkat dewasa. Rakan-rakan sebaya sudah selamat mendirikan rumah tangga dan memikul tanggung jawab sebagai suami. Saya masih di sini merancang dan berfikir tentang masa depan anak-anak muda di sekeliling saya.

Ketika ini saya masih lagi berfikir usaha untuk membangunkan lagi ekonomi kumpulan Tinta Strategi di samping kerjaya saya sebagai seorang peguam. Niat saya cuma ingin membuktikan bahawa anak-anak muda Melayu tidak takut bersaing dan boleh berjaya dengan hebat.

Saya ingin buktikan bahawa kejayaan bukan hanya semata-mata bergantung kepada kroni dan ketuanan Melayu, tetapi dengan usaha dan kesungguhan. Saya ingin buktikan bahawa kegagalan itu adalah asas untuk membina kejayaan yang lebih besar dan mengagumkan.

Baru hari ini saya sedar bahawa kita perlu memilih kawan-kawan yang positif di sekeliling kita untuk memastikan diri kita sentiasa positif. Berkawan dengan manusia sakit akan turut membuatkan kita menjadi sakit. Berkawan dengan peminat bola akan membuatkan kita menjadi peminat bola. Adakah Tiger Wood berkawan dengan Leonardo De Caprio untuk menjadi pemain golf ternama lagi tersohor?

Walau apa jua yang kita alami kita harus tabah dan sabar menghadapi semua dugaan itu. Tiada manusia berjaya dengan jalan yang mudah kecuali menjadi kroni daulah. Hakikatnya seseorang itu perlukan masa paling kurang 3 tahun untuk membuktikan dia benar-benar berjaya. Dalam tempoh itu dia akan lalui banyak pengalaman untuk membuktikan dia seorang teknokrat tulen.

Jika hari ini saya mati saya tidak menyesal kerana saya niatkan semua ini kerana Allah dan demi membantu perjuangan agamaNya. Malah saya merasa tenang dengan memiliki semangat perancangan dan sedikit ilmu untuk menyusun masa dan kehidupan seterusnya. Setiap hari saya bermuhasabah dan sedar bahawa kita tidak boleh selamanya bergantung pada orang lain.

Teruskan perjalanan ini Hazwan. Cita-cita menjadi teknokrat tulen menanti di sana. Jangan berhenti Hazwan walau apapun orang kata. Adios.

beyond all typical means


Hegemoni budaya gerombolan United Malays National Organisation amat meluas. Hegemoni budaya yang selama 50 tahun ini telah meresapi ke dalam semua jalur falsafah dan cara pemikiran warga Malaysia. Hegemoni ini telah memaksa kita semua melihat diri kita bukan sebagai warga Malaysia – anak semua bangsa - tetapi melihat kewujudan kita sebagai orang berbangsa Melayu, Cina atau India atau bangsa-bangsa lain.

Dalam identiti diri yang luas ini, kita telah gagal untuk melihat diri kita sebagai warga negara bangsa dalam satu kesatuan. Jauh sekali untuk melihat diri kita sebagai warga dunia.Tekanan hegemoni ini telah memaksa semua warga berfikir dengan menggunakan pendekatan, kayu ukur dan kaedah gerombolan United Malays National Organisation berfikir.

Hegemoni ini memaksa kita melupakan meritokrasi. Meritokrasi boleh kita hayati dengan memahami bahawa:

1 – Berasas keupayaan individu, bukan kerana kelas, derajat, seksualiti atau kekayaan

2 - Individu dianugerah kerana keupayaan dan ketrampilannya untuk mencapai anugerah itu

3– Memajukan individu berdasarkan ketrampilan individu. Konsep meritokrasi ini tidak memasukkan bangsa, kelas, agama, seksualiti atau gender. Konsep ini mengajukan keupayaan individu. Konsep meritokrasi ini mengajukan ketrampilan fikrah individu tanpa mengira bangsa, kelas, agama, seksualiti atau gender.

Jika individu itu memiliki berkeupayaan terunggul, maka individu itulah yang akan dipilih. Jika susuk itu bijak berilmu, maka susuk itulah yang diangkat untuk dinobatkan sebagai profesor – bukan kerana dia Melayu atau kerana dia ketua cawangan atau kerana dia saudara kepada menteri pelajaran.

Meritokrasi ini agak senang dihayati kerana ia sedang diamalkan dengan terbaik dalam arena sukan. Jika seorang Mamat pelari 100 meter itu deras berlari, maka dia akan menjadi jaguh. Tidak ada huh tidak ada hah di sini. Jika Minah Cun itu cekap berenang, maka Minah Cun ini akan mendapat pingat emas di Sukan Olimpik. Yang terbaik adalah asas meritokrasi. Terbukti jelas dalam arena sukan, meritokrasi telah diamalkan.

Justeru sukan dilihat sebagai satu aktiviti yang adil, telus dan jujur. Terlalu susah untuk rasuah masuk dalam budaya sukan yang mementingkan merit individu. Jika ada percubaan untuk mengangkat seorang pelari 100 meter kelas kedua untuk ke kelas pertama kerana dia saudara menteri sukan atau kerana ayahnya dulu jaguh negara, lambat-laun akan terlihat juga oleh orang ramai. Ahli sukan kelas kedua ini akan tetap di kelas kedua apabila diduga.

Yang bukan jaguh tetap bukan jaguh. Justeru, konsep meritokrasi ini amat berguna untuk sesebuah tamadun mara maju ke hadapan. Apa yang menghalang meritokrasi dirayakan dan dinobatkan dalam sesebuah masyarakat ialah nilai feudal. Nilai feudal akan menghalang meritokrasi dari berkembang. Dalam negara kita, budaya feudal ini yang masih menebal terutama dalam masyarakat Melayu.

Budaya ini telah digunakan sebaik mungkin oleh gerombolan United Malays National Organisation untuk dijadikan sebahagian dari proses politik mengaut penyokong. Nilai budaya fuedal gagasan gerombolan United Malays National Organisation ini gagal melihat kejaguhan dan keupayaan individu tetapi melihat susuk berbangsa apa, kelas apa, adakah dia memiliki derajat atau harta kekayaan. Di sinilah lemahnya nilai budaya feudal.

Kalau buah fikiran itu kurang baik tetapi ia wajib diterima pakai kerana tuan empunya pandangan itu seorang yang berderajat tinggi, berharta atau berpangkat atau kerana bangsanya. Akhirnya kita sebagai warga dipaksa melakukan sesuatu yang bodoh kerana idea bodoh ini datangnya dari seorang yang berderajat tinggi. Jika budaya feudal jadi amalan pasti tamadun itu tidak akan berkembang. Gerombolan United Malays National Organisation telah mengamalkan konsep Ketuanan Melayu.

Konsep dan falsafah Ketuanan Melayu ini melanggar dan menghancurkan nilai meritokrasi. Contoh terbaik untuk melihat bagaimana nilai Ketuanan Melayu menghancurkan tamadun negara bangsa ialah dalam bidang keilmuan dan pembelajaran. Pada satu ketika dahulu, Universiti Malaya antara gedung-gedung ilmu yang unggul dalam dunia. Hari ini ia telah merosot kerana keilmuan itu bukan lagi berasaskan meritokrasi tetapi berasaskan Ketuanan Melayu. Susuk-susuk yang berilmu tidak dapat mencari ruang untuk mengembang potensi keilmuan jika susuk-susuk ini bukan orang Melayu. Atau jika pakar keilmuan ini tidak menelan Ketuanan Melayu.

Masa demi masa budaya keilmuan semakin merosot maka akhirnya orang bodoh akan menjadi guru untuk mengajar orang yang lebih bodoh. Orang yang lebih bodoh ini akan juga menjadi tenaga pengajar untuk orang yang lagi banyak bodoh. Ini terjadi di semua gedung keilmuan dalam negara ini. Hasilnya universiti dan gedung keilmuan kita hanya sanggup mengeluar graduan-graduan yang bodoh-bodoh dan tidak memiliki pemikiran kritikal tetapi mereka Melayu. Inilah satu contoh teragung betapa bodohnya konsep Ketuanan Melayu yang menjadi paksi budaya gerombolan United Malays National Organisation.

Sayugia disedari gerombolan United Malays National Organisation telah berkuasa 50 tahun lebih, maka hegemoni budaya feudal yang antimeritokrasi telah menyerap dalam mempengaruhi semua jalur pemikiran warga. Akhir-akhir ini kita telah melihat bagaimana hegemoni budaya ini tanpa disedari telah juga digunakan dalam hujah yang diguna pakai oleh ahli-ahli dan simpatisan Pakatan Rakyat. Contoh terbaik apabila kedengaran tuntutan agar diwujudkan timbalan perdana menteri kedua yang bukan Melayu.

Persoalan timbul - apakah jika yang bukan Melayu ini akan menjamin seorang yang itu hebat pimpinannya, hebat jiwa juangnya, berhati rakyat atau hebat pemikirannya? Susuk bukan Melayu tidak menjamin apa-apa. Hujah ini tidak ada bezanya dengan tuntutan agar perdana menteri itu mesti seorang Islam. Menjadi Islam sahaja tidak akan menjamin ketrampilan fikrah seseorang itu. Menjadi Islam sahaja tidak menjamin kualiti kepemimpinan.

Terbukti dengan jelas dan tidak perlu bersuluh bahawa yang Islam juga amat bijak berasuah. Yang Islam juga cukup hebat dan bijak melakukan kezaliman dan keganasan. Kezaliman bukan sahaja kepada yang tidak seagama, malah yang seagama pun dilibas sama. Apakah kita lupa bahawa ahli-ahli dan pucuk pimpinan gerombolan United Malays National Organisation semuanya penganut Islam. Ramai antara gerombolan ini telah berpuluh kali berumrah, berbelas kali naik haji. Tetapi lihat hasilnya - tarak. Kita wajib menobatkan mereka yang berilmu. Kita wajib menobatkan mereka yang jaguh. Dalam semua bidang, yang bijak fikrahnya wajib di hadapan. Anak semua bangsa kita wajib merayakan meritokrasi yang berasaskan pencapaian, keupayaan bukan ketuanan. ~ HR

in respect of Obama


Dein-seorang rakan saya menghantar sms menyatakan Obama sudah menang. Saya tersenyum membaca sms berkenaan dan kembali menyambung bacaan Dua Wajah di pejabat Abah. Kemenangan Obama pada hemat saya adalah tanda rakyat Amerika yang sudah muak dan bosan dengan corak pentadbiran Bush yang pro-Zionis dan pro-imperialisme selama ini.

Ini juga bagi saya membuktikan bahawa rakyat Amerika semakin matang dan berani memilih untuk berubah. Saya membayangkan alangkah baiknya sekiranya Perdana Menteri Malaysia juga dipilih melalui pilihanraya Presiden. Ini bagi membolehkan rakyat menilai kualiti dan kelayakan Perdana Menteri yang memimpin negara dinilai secara individu dan empirikal. Saya pasti jika ini berlaku maka tidak akan wujud masalah Perdana Menteri ikut cakap menantu.

Sungguhpun implikasi Perlembagaan itu tetap ada, namun tiada yang mustahil pada yang mahu. Sekiranya rakyat ingin berubah maka tiada siapa yang boleh menghalang. Kemenangan Obama benar-benar membuktikan kuasa rakyat adalah penentu kepada masa depan sesebuah negara. Masa depan kita bukan ditentukan oleh pemimpin yang hanya tahu membeli kapal selam dan jet perang yang tidak digunakan. Bukan juga pada Bik Mama yang suka pada intan berlian.

Apa yang berlaku dalam negara kita hari ini di tahap yang semakin jelik dan pelik. Belanjawan ad-hoc RM7 billion yang dibentang di Parlimen diisytihar tidak sah kerana melanggar prosedur. asas pembentangan. Penahanan blogger di bawah ISA diputuskan oleh hakim sebagai tidak sah. dan berniat jahat. Peguam Negara dan Ketua Polis terlibat dalam konspirasi kes liwat. bekas TPM. Malah Ahli Parlimen kini boleh bercakap 'bastard' di dalam dewan Parlimen yang mulia.

Ini semua tanda apa sebenarnya. Ini tanda pemimpin-pemimpin yang kita ada hari ini tiada kualiti dan hanya tahu memekak dan mencarut dalam Parlimen. Kita memberi undi kepada mereka untuk membela hak nasib rakyat dan bukan untuk mencarut di dalam Parlimen. Pemimpin sebegini patut dinilai kembali kedudukannya sebagai ahli Parlimen. Lebih baik kita hantar mereka ini ke Pulau Batam supaya di sana mereka boleh mencarut sepuas2 nya.

Hari ini tiba masanya untuk kita kembali berfikir ke mana halatuju kita dan negara kita. Anak-anak muda mestilah menjauhi stereotype yang ada pada generasi tua hari ini. Fikrah idealisme mesti digilap dan dibentuk mulai sekarang supaya pemikiran anak muda tidak hanya pada memiliki isteri cantik dan kereta Myvi. Kita hairan melihat mereka yang baru bergraduan sibuk mengejar kad kredit dan membuat personal loan. Terpedaya dengan dunia palsu akan membuatkan kita terkejar-kejar ke arah kepalsuan erti hidup.

Barack Obama 13 tahun dahulu sewaktu belajar di kolej pernah berkata bahawa beliau ingin menjadi Presiden US. Hari ini cita-cita dan impian beliau benar-benar menjadi kenyataan. Tetapi apa pula kiranya jika saya pada hari ini menyatakan bahawa saya ingin menjadi CEO kepada sebuah syarikat multinasional berpangkalan di luar negara, adakah cita-cita ini akan menjadi kenyataan?

expressing own feelings


Ketika saya memulakan karier sebagai consultant dahulu saya berfikir bagaimana untuk berbakti kepada ummah dengan lebih terkehadapan. Saya mengharapkan agar di sana ada sekumpulan anak muda yang bercita-cita tinggi dan bermotivasi untuk menyumbang kepada pembangunan masyarakat ini. Minggu ini sahaja saya mendapat beberapa tawaran daripada firma berlainan. Keputusan itu di tangan saya. Saya memilih untuk menentukan masa depan saya. Saya yang bertanggungjawab di atas segala keputusan itu. Saya adalah diri saya sendiri.

Adakalanya melihat apa yang berlaku pada kisah masyarakat kita hari ini saya menganggap bahawa dunia yang kita duduki hari ini tidak pernah berlaku adil. Mereka yang berkuasa, bertakhta dan berjawatan boleh melakukan apa sahaja. Sebarang keputusan boleh diaturkan mengikut selera, pandangan dan pendapat mereka. Saya tidak berkata sistem perundangan kita punyai hari ini hopeless tidak ada harapan, tetapi yang nyata adalah nyata. Sistem kehakiman dan perundangan hari ini seolah-olah boleh dibeli dan tiada integriti!

Sekiranya kita berhujah mengatakan bahawa kita wajib menerima saja segala keputusan itu bagi saya kita wajib menampar muka sendiri. Kita wajar mencari apakah motif, tanda dan makna di sebalik sesuatu peristiwa. Mengapa manusia membunuh, siapa yang membunuh, atas niat apa dan apakah motif sebenar di sebalik pembunuhan itu. Mustahil bagi si mangsa tiba-tiba terbunuh atau membunuh diri sendiri oleh sebab tidak sanggup menerima hakikat komisyen sudah lari. Mustahil juga bagi seseorang membunuh diri kerana terlalu gembira selepas mendapat habuan kapal selam.

Berfikir dan berfikir. Itulah yang saya lakukan setiap hari dan setiap ketika. Perasaan tidak senang itu wujud kerana ia datang daripada naluri. Saya pasti semua orang yang waras merasai perasaan yang sama. Perasaan risau dan ragu dengan masa depan. Apakah ada masa depan untuk tanah air Malaysia sekiranya dipimpin oleh pemimpin yang diragui dan hilang kredibiliti dan integriti. Bolehkah kita menuju negara maju menjelang 2020 sekiranya negara ini dipenuhi oleh 145,723 anak luar nikah seperti kenyataan Menteri Dalam Negeri di Parlimen baru-baru ini.

Malaysia Boleh. Dan kita semua juga boleh sebab terus menerus membiarkan keadaan yang berlaku pada hari ini. Anak-anak muda berterusan leka dengan dunia hiburan mereka. Pedulikan soal pendidikan dan pembangunan insan, yang penting adalah enjoy dan terus enjoy menghabiskan hasil mahsul ibu dan ayah kita. Soal halal dan haram tak payah kira, lebih baik fikirkan tentang awek dan balak. Melayan chatting dan sms lebih baik dari melayan isu semasa.

Berkata begini menyebabkan orang melabel saya negatif. Ini bukan negatif. Ini realiti yang kita semua harus melihat di sekeliling. Cukuplah stereotype yang ada selama ini yang cuma mahu saya ke hulu ke hilir dengan meeting2 yang membosankan dan tidak mengghairahkan. Kita mahukan satu jalan perubahan yang boleh memberi impak perubahan yang berkesan. Tambah nilai ini harus dimulakan dan mesti diisi dengan keyakinan penuh keazaman. Jangan mengalah.

Berkatalah apa sahaja. Tidak komited. Tidak jaga ukhuwah. Tidak wala' dan siqah. Semua itu memeningkan cita-cita anak muda ingin melihat dirinya berjaya di atas usaha, daya juang dan daya saing. Tinggalkan skeptikal dan stereotype ini adalah penyelesaian yang paling afdal. Berfikir menggunakan kepala Melayu hari ini sudah tidak lagi relevan. Perkataan Melayu ini juga sungguh memualkan kerana bagi saya jangan sesekali mengaku Melayu sekiranya kita ingin unggul di hadapan. Menjadi Melayu hari ini tidak akan membawa kita ke mana-mana.