Anak Muda Melayu, DAP dan Baju Merah


Bermula dengan BERSIH 4 yang menuntut membersihkan Pilihanraya dan selamatkan Ekonomi Malaysia, kita melihat anak-anak muda kini celik tentang keadaan semasa yang berlaku dalam negara. Malaysia - negara ini milik kita semua. Kita lahir di sini dan mungkin akan mati juga di sini, Jesteru kesedaran dan cakna isu-isu dalam negara amatlah penting apatah lagi ia terkesan kepada kehidupan harian kita dan kerjaya kita. GST, harga rumah yang melambung tinggi dan loan PTPTN adalah antara contoh yang sangat dekat dengan hati anak-anak muda. Anak-anak muda yang baru bekerja amat terkesan dengan situasi ini terutama yang tinggal dan bekerja di kota besi Kuala Lumpur. Di sana dan di sini adalah kos, wang dan caj pembayaran. Kita tinggal di zaman yang segala-galanya adalah duit. Bangun pagi tidur semula semuanya adalah duit. Tanpa duit mungkin kita tidak dikenali sebagai entiti manusia yang tinggal di Kuala Lumpur Ibu Negara Malaysia. 

Lagi lebih kurang 2 bulan lebih kita akan meninggalkan tahun 2015. Masa adalah emas. Masa berlalu begitu pantas sehingga kita tidak sedar kita sudah tua. Dulu kita masih remaja, anak muda yang aktif dan banyak tenaga. Kini kita semakin meningkat dewasa menjadi orang tua. Orang tua yang biasanya akan memandang rendah dan enteng kepada anak muda. Lihat rambut kita dan mula berkurangan dan mula bertukar warna putih, Ia adalah tanda peredaran masa. Ini bermakna kita juga telah dekat dengan Wawasan 2020 idea daripada Tun Mahathir. Apakah kita bakal mencapai apa yang diimpikan Tun M untuk kita menjadi negara maju dan moden. Negara yang rakyatnya berpendapatan tinggi dan memiliki kereta yang boleh terbang seperti yang kita tonton dalam filem Back To The Future atau Men In Black. Adakah kita kini boleh melihat negara kita menuju ke arah itu. Tepuk dada tanyalah diri sendiri. Apakah dengan menghina sesama bangsa Malaysia dapat membawa kita maju dan menjadi Negara Kelas Pertama. Allah SWT tidak akan tanya kita Melayu, Cina, India atau Kadazan di Padang Masyhar tetapi penilaian sebenar adalah Taqwa. Taqwa ini bukan nama kedai mamak atau mapley di Bandar Seri Putra tapi ia adalah penilaian sejauhmana kita mengisi kehidupan ini dengan perkara-perkara yang positif dan menuju kebaikan.

Kecemerlangan takkan hadir tanpa pengorbanan. Untuk berjaya kita perlu berkorban. Berkorban segala-galanya harta benda, masa dan wang ringgit. Kita takkan berjaya kalau kita malas dan menipu orang lain. Kita takkan berjaya kalau kita melihat sahaja orang lain kaya raya tanpa tindakan. Kita mesti berubah. Nak berubah mesti datang dalam diri dan ikut orang lain yang berjaya. Tabiat orang berjaya ialah mereka tidak akan menghina dan mengutuk bangsa lain. Memang susah untuk mengubah budaya dengki orang Melayu yang telah berakar sejak sekian lama. Tapi tak kurang bangsa Melayu yang berjaya. Anak-anak muda Melayu Profesional mesti melakukan transisi budaya dan pemikiran ini. Jika kita tidak melihat dalam kacamata yang lebih besar nescaya kita akan ketinggalan, Peluang dan ruang belajar di luar negara sangat luas, Negara-negara maju seperti Jerman, Sweden dan Norway patut kita contohi. Di negara-negara maju belum pasti mereka ada parti DAP atau PAP. Jika di negara-negara maju ada parti PAS dan UMNO kita belum pasti apakah mereka akan mencapai status negara maju. Sebenarnya yang paling penting adalah individu bukannya lagi parti. Jika individu yang memimpin negara itu baik, sudah pasti negara akan baik dan menjadi negara yang kaya, bijak dan dihormati. 

Anak-anak muda Melayu takkan kecewa dan berputus asa. Sungguhpun kita bakal menjadi anak-anak tua Melayu, kita masih ada harapan untuk sama-sama menjaga dan  membangunkan negara ini. Jangan berputus asa dengan kegagalan demi kegagalan. Ingatlah yang gagal itu adalah bukanlah gagal tetapi ia adalah salah satu proses ke arah kejayaan, Jangan takut membuat kesilapan kerana Perdana Menteri kita juga banyak membuat kesilapan. Jangan takut untuk menjadi kaya kerana isteri Perdana Menteri kita juga lagi kaya dari suaminya Perdana Menteri. Jadilah usahawan dan berniagalah wahai anak-anak muda. Kita hidup tidak lama lambat laun kita akan tinggalkan negara ini dan merantau ke pelusuk dunia. DAP atau MCA tidak tentukan masa depan kita. Sebaliknya kitalah yang tentukan masa depan kita sendiri. Kita adalah sebahagian daripada tanah negara ini dan kita patut bersyukur kerana kita masih ada pilihanraya umum ke-14 dan 15 untuk membuat perubahan. Pilihan di tangan kita, Makanlah buah-buahan tempatan dan jangan tinggal sembahyang. 

0 comments: