
Percayalah bahawa tekanan itu baik untuk kamu. Percayalah bahawa setiap yang kamu tidak sukai itu juga baik untuk kamu. Percayalah bahawa sebelum melangkah ke batu seterusnya kamu perlu memijak batu-batu tajam itu. Tiada apa yang perlu kamu risaukan. Teruskan usaha ke medan jaya dengan gagah dan berkeyakinan. Tiada siapa yang mahu menghalang kamu untuk meneruskan cita-cita pencerahan anak muda. Tiada siapa yang mahu membilang betapa banyaknya masa itu terbuang dengan titik peluh perjuangan. Percayalah bahawa setiap lelah yang keluar itu adalah butir-butir mutiara yang bersinar cahayanya.
Pernahkan kau merasakan betapa kerdilnya diri tatkala berhadapan dengan cabaran yang maha besar. Setiap yang gugur itu ada tekanan yang menimpanya. Udara, air, langit dan bumi semua bersaksi tatkala melihat anak muda itu berusaha dengan sedaya upaya. Kemiskinan dan kepayahan adalah alah bisa tegal biasa. Dahulu kamu dilatih untuk berjiwa tegas dan tegar. Kamu dilatih dengan susuk gerakan yang aktif melangkaui massa. Sempadan negara bangsa tiada ertinya. Dunia masa itu milik anak-anak muda yang tinggi idealismanya. Di manakah semangat itu hilang dari sirnanya. Di manakah perginya segala harapan untuk dunia ini menjadi lebih baik. Di manakah impian untuk melihat semua warga itu gembira dengan daulahnya. Siapakah yang menjadikan dunia kamu menjadi begitu kerdil.
Seraya kita berkata lain padang lain belalang. Rambut sama hitam hati lain-lain. Jesteru kita bisa untuk terus berdiam diri tidak berkata. Kita terlalu naif untuk bisa mengekspresi perasaan dan naluri kita yang bercampur baur. Kita bisa menipu diri kita sendiri dek kerana harta dan kekayaan yang kita cari saban hari. Kita bisa mengatakan bahawa kita tidak perlukan dunia ini. Lantas kita terus membuang dunia dan berkata dunia ini palsu, bohong, hina dan dusta. Sungguh betapa hina dunia kitalah yang menghinakannya !
Dunia masih belum kiamat. Matahari masih belum terbit daripada Barat. Putus asakah kita dengan realiti dan fakta yang terpampang di depan mata kita. Berhentikah kita dengan duduk beribadah dan berzikir sepanjang masa. Bermalasankah kita untuk bangun berjuang mencari makna sebuah cinta. Berputih matakah kita mencari dua kehidupan di dua dunia. Sudahkah kita melihat kehidupan lampau yang kita lalui. Betapa masa itu berlalu pantas. Semua manusia melaluinya. Ada yang wafat dan ada yang terus hidup di atas dunia. Dalam kehidupan itu kamu diuji. Kamu sendiri yang menguji dunia atau dunia itu yang menguji kamu?~
0 comments:
Post a Comment