Merdeka dan Sejarahnya

Pada tahun 1940 beberapa orang pemimpin KMM seperti Ibrahim Haji Yaacob dan beberapa orang pemimpin Kesatuan Melayu Muda; Ishak Haji Muhammad, Hassan bin Manan, Ahmad Boestamam dan Isa Mohd bin Mahmud ditahan British kerana disyaki merancang pakatan menentang British dan bekerjasama dengan pihak Jepun. Namun demikian, pemimpin KMM Terengganu seperti Ibrahim Fikri dan Wan Daud Ahmad tidak ditahan. Apabila Jepun menguasai Tanah Melayu, KMM yang sedang berkembang dibubarkan pada tahun 1942. Berikutnya pemimpin KMM terlibat dalam Pembela Tanah Air (PETA), dibawah pimpinan Ibrahim Haji Yaacob. PETA Terengganu pula dipimpin oleh Ibrahim Fikri. Dalam gerakannya Ibrahim Fikri mendapat sokongan daripada Haji Muhammad Salleh bin Awang.

Tahun ini seperti biasa sambutan hari kemerdekaan memperdengarkan suara-suara klise di media arus perdana tentang sambutan merdeka. Beberapa orang menteri dan timbalan menteri telah bersuara menyatakan rasa kesal mereka apabila dilihat kurangnya terkibar bendera Malaysia. Malah ada juga politikus yang mengukur kibaran bendera itu sebagai tanda patriotik.

Sebenarnya ada beberapa perkara yang semakin terbuka jelas untuk terus dibincangkan dalam hal pensejarahan perjuangan mencapai kemerdekaan negara kita. Ini kerana telah begitu lama sejarah mencapai merdeka ini hanya datangnya dari parti yang memerintah. Hari ini warga semakin sedar dan melihat bahawa perjuangan kemerdekaan ini seolah-olah cuba dijadikan sesuatu yang eksklusif untuk United Malayan National Organisations sahaja. Warga cuba diberitahu bahawa kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu hanya dicapai kerana gerak politik dan perjuangan United Malayan National Organisations. Ini sebenarnya harus difikir semula.

Bila saya berkata ini tidak tepat bukan bermakna saya sedang melakukan interpretasi sejarah. Apa yang saya katakan di sini bukan pengolahan semula sejarah. Yang saya katakan ialah fakta sejarah. United Malayan National Organisations bukanlah parti Melayu terawal dalam hal memperjuangkan kemerdekaan. Pada bulan Mei 1937 Kesatuan Melayu Muda di bawah pimpinan Ibrahim Haji Yaacob telah ditubuhkan. Gerakan ini telah melaungkan slogan - MERDEKA. United Malayan National Organisations pada ketika ini belum wujud lagi.

Malah, dari laman rasmi kerajaan Terengganu kita dapat membaca sedikit fakta tentang pensejarahan awal perjuangan kaum nasionalis Melayu di Terengganu. Fakta sejarah ini tidak akan dapat menutupi peranan awal yang telah dimainkan oleh Kesatuan Melayu Muda yang lebih awal mendahului United Malayan National Organisations. Mungkin untuk beberapa ketika ada orang boleh bermain-main atau menutup fakta sejarah tetapi akhirnya fakta akan muncul. Yang benar tetap benar yang salah tetap salah. Fakta akan terus dilihat sebagai fakta.

Mengikut fakta sejarah parti politik yang pertama di Tanah Melayu ialah Parti Komunis Malaya (PKM). Ianya ditubuhkan pada bulan Mei 1930 di Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Malah di hari penubuhan parti ini, turut sama hadir sebagai tamu luar negara ialah Ho Chi Minh dari Vietnam. Ini membuktikan bahawa PKM memiliki jaringan antarabangsa yang sama memiliki dasar anti-imperialis, saya nyatakan di sini - anti-imperialis ialah gerakan melawan penjajah British. Ini bermakna Parti Komunis Malaya lebih awal membangunkan merdeka sebagai dasar perjuangan parti.

Bila saya menulis bahawa PKM lebih awal dari United Malayan National Organisations dan lebih awal dari KMM, ini bukan bermakna kita mengagung-agungkan sesiapa. Saya hanya memaparkan fakta sejarah perjuangan politik tanahair kita. Siapa dahulu dan siapa kemudian ini semuanya tercatit dalam sejarah. Kita tidak perlu marah-marah menuduh orang itu tidak patriotik atau orang ini menghina kemerdekaan negara.

Generasi muda hari ini wajib diberitahu tentang wujudnya parti-parti politik nasionalis Melayu yang lebih awal dari United Malayan National Organisations. Persatuan Kebangsaan Melayu Malaya yang dipimpin oleh Mokhtarudiin Lasso dan Dr Burhanuddin Al-Helmi ditubuhkan pada 17 Oktober 1945. Bersama parti ini ialah Angkatan Pemuda Insaf (API), Angkatan Wanita Sedar (AWAS), Baris Tani Malaya (BATAS), Majlis Agama Tertinggi Se-Malaya (MATA) dan pada 14.03.1948 ditubuhkan pula Hizbul Muslimin. Semua ini adalah jaringan gerakan nasionalis Melayu yang menuntut Merdeka dari British. United Malayan National Organisations pada ketika ini masih belum wujud.

Generasi muda hari ini juga wajib diberitahu tentang Perlembagaan Rakyat 1947 yang telah dibentuk oleh PUTERA-AMCJA. Ini ialah perlembagaan yang telah didraf bersama oleh parti-parti nasionalis Melayu dan parti-parti bukan Melayu. Fakta yang amat penting dalam draf perlembagaan ini ialah - sesiapa sahaja yang mengakui dirinya sebagai warga Persekutuan Tanah Melayu maka dia diterima sebagai Melayu. Ini adalah sosial konstruk yang bukan perkauman. Kontrak sosial yang menerima anak semua bangsa yang ingin tinggal di Tanah Melayu sebagai orang Melayu. Ini juga fakta sejarah yang telah dilakukan oleh orang yang terdahulu dari kita. Ini bukan pula bermakna hendak memperkecilkan perlembagaan Lord Reid.

Kita lihat kembali fakta-fakta sejarah dahulu agar kita dapat memahami keadaan kita hari ini. Yang dulu melahirkan yang kini, yang kini akan menimbulkan yang akan datang. Kesatuan Melayu Muda diharamkan lebih awal dari parti-parti yang lain. KMM diharamkan oleh tentera fasis Jepun semasa Jepun datang menjajah Tanah Melayu. Pada 20 Jun 1948 penjajah British telah mengisytiharkan darurat di Tanah Melayu. Sebenarnya tiada sesiapa yang darurat sakit perut. Yang terdesak dalam keadaan darurat hanyalah penjajah British kerana rakyat Tanah Melayu telah bangun menentang mereka.

Langkah pertama yang dilakukan oleh British ialah mengharamkan parti-parti politik yang betul-betul menentang mereka. Parti-parti yang tersusun rapi dan berupaya melawan British telah diharamkan. Parti-parti yang telah diharamkan ini tidak memainkan sentimen perkauman dan berkemungkinan menggalang kesatuan rakyat semua bangsa. Ini mengancam kepentingan British di Malaya.

Memang betul Tunku Abdul Rahman yang melaungkan Merdeka pada 31 Ogos 1957. Tetapi sebelum laungan ini bergema ada banyak babak-babak sejarah yang dimainkan bukan hanya oleh United Malayan National Organisations atau Perikatan. Parti Komunis Malaya bersama parti-parti nasionalis Melayu yang telah diharamkan telah mengangkat senjata melawan British. Abdullah CD, Rashid Mydin, Shamsiah Fakeh dan Musa Ahmad adalah antara pemimpin-pemimpin ini. Mereka juga berjuang untuk menuntut kemerdekaan. Ini juga fakta sejarah.

Bila semua warga diberitahu fakta ini dan hakikat sejarah diterima, rasa saya perayaan sambutan kemerdekaan akan lebih dirasakan maknanya. Kita berkongsi sejarah bukan eksklusif untuk satu kelompok yang dari sejarahnya pula tidak berapa tepat. Jika semua warga diberitahu bahawa kemerdekaan negara ini adalah perjuangan anak semua bangsa dan negara ini juga untuk anak semua bangsa, maka sambutan kemerdekaan tidak memerlukan arahan dari menteri. Ianya akan dilakukan seperti sambutan Hari Raya, Tahun Baru Cina dan Deepavali.

1 comments:

ikmalhmt said...

Kita selalu bilang kalau dapat SPM A1 sejarah sudah pandai namun bila ditanya kembali menganga sudahnya.
Silibus sejarah itu sendiri perlu diubah, pokoknya bila tu?

Wan, bilo nak tulih pasal felda kalah saman haritu, hehe