Merdeka dan Sejarahnya

Pada tahun 1940 beberapa orang pemimpin KMM seperti Ibrahim Haji Yaacob dan beberapa orang pemimpin Kesatuan Melayu Muda; Ishak Haji Muhammad, Hassan bin Manan, Ahmad Boestamam dan Isa Mohd bin Mahmud ditahan British kerana disyaki merancang pakatan menentang British dan bekerjasama dengan pihak Jepun. Namun demikian, pemimpin KMM Terengganu seperti Ibrahim Fikri dan Wan Daud Ahmad tidak ditahan. Apabila Jepun menguasai Tanah Melayu, KMM yang sedang berkembang dibubarkan pada tahun 1942. Berikutnya pemimpin KMM terlibat dalam Pembela Tanah Air (PETA), dibawah pimpinan Ibrahim Haji Yaacob. PETA Terengganu pula dipimpin oleh Ibrahim Fikri. Dalam gerakannya Ibrahim Fikri mendapat sokongan daripada Haji Muhammad Salleh bin Awang.

Tahun ini seperti biasa sambutan hari kemerdekaan memperdengarkan suara-suara klise di media arus perdana tentang sambutan merdeka. Beberapa orang menteri dan timbalan menteri telah bersuara menyatakan rasa kesal mereka apabila dilihat kurangnya terkibar bendera Malaysia. Malah ada juga politikus yang mengukur kibaran bendera itu sebagai tanda patriotik.

Sebenarnya ada beberapa perkara yang semakin terbuka jelas untuk terus dibincangkan dalam hal pensejarahan perjuangan mencapai kemerdekaan negara kita. Ini kerana telah begitu lama sejarah mencapai merdeka ini hanya datangnya dari parti yang memerintah. Hari ini warga semakin sedar dan melihat bahawa perjuangan kemerdekaan ini seolah-olah cuba dijadikan sesuatu yang eksklusif untuk United Malayan National Organisations sahaja. Warga cuba diberitahu bahawa kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu hanya dicapai kerana gerak politik dan perjuangan United Malayan National Organisations. Ini sebenarnya harus difikir semula.

Bila saya berkata ini tidak tepat bukan bermakna saya sedang melakukan interpretasi sejarah. Apa yang saya katakan di sini bukan pengolahan semula sejarah. Yang saya katakan ialah fakta sejarah. United Malayan National Organisations bukanlah parti Melayu terawal dalam hal memperjuangkan kemerdekaan. Pada bulan Mei 1937 Kesatuan Melayu Muda di bawah pimpinan Ibrahim Haji Yaacob telah ditubuhkan. Gerakan ini telah melaungkan slogan - MERDEKA. United Malayan National Organisations pada ketika ini belum wujud lagi.

Malah, dari laman rasmi kerajaan Terengganu kita dapat membaca sedikit fakta tentang pensejarahan awal perjuangan kaum nasionalis Melayu di Terengganu. Fakta sejarah ini tidak akan dapat menutupi peranan awal yang telah dimainkan oleh Kesatuan Melayu Muda yang lebih awal mendahului United Malayan National Organisations. Mungkin untuk beberapa ketika ada orang boleh bermain-main atau menutup fakta sejarah tetapi akhirnya fakta akan muncul. Yang benar tetap benar yang salah tetap salah. Fakta akan terus dilihat sebagai fakta.

Mengikut fakta sejarah parti politik yang pertama di Tanah Melayu ialah Parti Komunis Malaya (PKM). Ianya ditubuhkan pada bulan Mei 1930 di Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Malah di hari penubuhan parti ini, turut sama hadir sebagai tamu luar negara ialah Ho Chi Minh dari Vietnam. Ini membuktikan bahawa PKM memiliki jaringan antarabangsa yang sama memiliki dasar anti-imperialis, saya nyatakan di sini - anti-imperialis ialah gerakan melawan penjajah British. Ini bermakna Parti Komunis Malaya lebih awal membangunkan merdeka sebagai dasar perjuangan parti.

Bila saya menulis bahawa PKM lebih awal dari United Malayan National Organisations dan lebih awal dari KMM, ini bukan bermakna kita mengagung-agungkan sesiapa. Saya hanya memaparkan fakta sejarah perjuangan politik tanahair kita. Siapa dahulu dan siapa kemudian ini semuanya tercatit dalam sejarah. Kita tidak perlu marah-marah menuduh orang itu tidak patriotik atau orang ini menghina kemerdekaan negara.

Generasi muda hari ini wajib diberitahu tentang wujudnya parti-parti politik nasionalis Melayu yang lebih awal dari United Malayan National Organisations. Persatuan Kebangsaan Melayu Malaya yang dipimpin oleh Mokhtarudiin Lasso dan Dr Burhanuddin Al-Helmi ditubuhkan pada 17 Oktober 1945. Bersama parti ini ialah Angkatan Pemuda Insaf (API), Angkatan Wanita Sedar (AWAS), Baris Tani Malaya (BATAS), Majlis Agama Tertinggi Se-Malaya (MATA) dan pada 14.03.1948 ditubuhkan pula Hizbul Muslimin. Semua ini adalah jaringan gerakan nasionalis Melayu yang menuntut Merdeka dari British. United Malayan National Organisations pada ketika ini masih belum wujud.

Generasi muda hari ini juga wajib diberitahu tentang Perlembagaan Rakyat 1947 yang telah dibentuk oleh PUTERA-AMCJA. Ini ialah perlembagaan yang telah didraf bersama oleh parti-parti nasionalis Melayu dan parti-parti bukan Melayu. Fakta yang amat penting dalam draf perlembagaan ini ialah - sesiapa sahaja yang mengakui dirinya sebagai warga Persekutuan Tanah Melayu maka dia diterima sebagai Melayu. Ini adalah sosial konstruk yang bukan perkauman. Kontrak sosial yang menerima anak semua bangsa yang ingin tinggal di Tanah Melayu sebagai orang Melayu. Ini juga fakta sejarah yang telah dilakukan oleh orang yang terdahulu dari kita. Ini bukan pula bermakna hendak memperkecilkan perlembagaan Lord Reid.

Kita lihat kembali fakta-fakta sejarah dahulu agar kita dapat memahami keadaan kita hari ini. Yang dulu melahirkan yang kini, yang kini akan menimbulkan yang akan datang. Kesatuan Melayu Muda diharamkan lebih awal dari parti-parti yang lain. KMM diharamkan oleh tentera fasis Jepun semasa Jepun datang menjajah Tanah Melayu. Pada 20 Jun 1948 penjajah British telah mengisytiharkan darurat di Tanah Melayu. Sebenarnya tiada sesiapa yang darurat sakit perut. Yang terdesak dalam keadaan darurat hanyalah penjajah British kerana rakyat Tanah Melayu telah bangun menentang mereka.

Langkah pertama yang dilakukan oleh British ialah mengharamkan parti-parti politik yang betul-betul menentang mereka. Parti-parti yang tersusun rapi dan berupaya melawan British telah diharamkan. Parti-parti yang telah diharamkan ini tidak memainkan sentimen perkauman dan berkemungkinan menggalang kesatuan rakyat semua bangsa. Ini mengancam kepentingan British di Malaya.

Memang betul Tunku Abdul Rahman yang melaungkan Merdeka pada 31 Ogos 1957. Tetapi sebelum laungan ini bergema ada banyak babak-babak sejarah yang dimainkan bukan hanya oleh United Malayan National Organisations atau Perikatan. Parti Komunis Malaya bersama parti-parti nasionalis Melayu yang telah diharamkan telah mengangkat senjata melawan British. Abdullah CD, Rashid Mydin, Shamsiah Fakeh dan Musa Ahmad adalah antara pemimpin-pemimpin ini. Mereka juga berjuang untuk menuntut kemerdekaan. Ini juga fakta sejarah.

Bila semua warga diberitahu fakta ini dan hakikat sejarah diterima, rasa saya perayaan sambutan kemerdekaan akan lebih dirasakan maknanya. Kita berkongsi sejarah bukan eksklusif untuk satu kelompok yang dari sejarahnya pula tidak berapa tepat. Jika semua warga diberitahu bahawa kemerdekaan negara ini adalah perjuangan anak semua bangsa dan negara ini juga untuk anak semua bangsa, maka sambutan kemerdekaan tidak memerlukan arahan dari menteri. Ianya akan dilakukan seperti sambutan Hari Raya, Tahun Baru Cina dan Deepavali.

Susahnya Menjadi Anak Muda di Malaysia

Kalau saya dihadapkan dengan pertanyaan tentang apakah perkara yang susah dalam dunia ini maka mungkin saya cuba senaraikan perkara seperti mencari penyelesaian perang di Iraq, menghapuskan bahaya senjata nuklear, menghadkan pencemaran udara atau memperbaiki kerosakan alam sekitar.
Jawapan saya ini ada benarnya. Tetapi ada lagi satu perkara yang paling amat susah dalam dunia ini. Perkara ini adalah ibu kepada semua kesusahan dan kepayahan yang terkumpul dalam dunia ini. Perkara yang saya maksudkan ialah menjadi anak-anak muda Melayu di Malaysia. Mungkin warga negara luar tidak memahami apa yang saya maksudkan. Saya mengakui dan memahami kenapa orang luar akan menganggap pandangan saya ini tidak tepat. Malah warga Malaysia yang bukan Melayu juga tidak akan memahami sepenuhnya betapa susahnya untuk menjadi anak muda Melayu pada permulaan kurun ke-21 ini.

Jika saya mati dan kemudian diberi peluang untuk hidup sekali lagi saya juga akan memilih sekali lagi untuk dilahirkan di Malaysia. Cuma kali ini saya tidak ingin menjadi anak muda. Saya ingin terus menerus menjadi kanak-kanak tanpa menjadi anak muda. Atau terus dilahirkan sebagai orang dewasa. Saya ingin melangkahi zaman muda. Mungkin permintaan saya ini tidak akan dimakbulkan.

Kalau hairan kenapa saya berkata sedemikian sila baca akhbar Melayu dari tabloid hingga ke akhbar arus perdana. Semua akhbar ini akan memberi laporan tentang masalah anak-anak muda Melayu. Anak muda Melayu ini sering menjadi induk berita. Ada yang memperkatakan anak muda Melayu lari dari Islam. Anak muda Melayu rosak akidah. Anak muda Melayu disesatkan oleh paderi. Anak muda Melayu minum holy water. Anak muda Melayu masuk agama Kristian.

Ada yang menulis tentang anak muda Melayu kurang hormat orang tua. Anak muda Melayu tidak berbudi bahasa. Ada yang membuktikan bahawa anak muda Melayu tidak pandai berterima kasih. Anak muda Melayu meninggalkan budaya Melayu. Anak muda Melayu tidak tahu adat istiadat Melayu.

Kemudian diberikan bukti statistik bahawa anak muda Melayu paling banyak tersimpan dalam pusat serenti. Anak muda Melayu terbanyak sebagai kaki lepak. Anak muda Melayu terbanyak tidak pandai dalam ilmu sains dan maths. Anak muda Melayu tidak cekap dalam Bahasa Inggeris. Anak muda Melayu banyak jadi Mak Nyah dan Gay. Anak muda Melayu menjadi bohjan dan bohsia. Anak muda Melayu paling senang dipengaruhi Barat. Anak muda Melayu suka menjadi punk. Anak muda Melayu suka menjadi skinhead. Anak muda Melayu senang dipengaruhi oleh heavy metal.

Untuk mensahihkan berita yang dilaporkan ini maka para pengamal media menemubual seorang profesor kangkong dari Universiti Sintok yang bertali leher untuk memberikan pandangan tentang anak muda Melayu. Profesor kangkong ini akan berteori untuk mengatakan bahawa semua ini adalah gejala sosial yang puncanya dibawa oleh Barat. Ini akan disambut oleh seorang lagi profesor dari Universiti Institute Politeknik Teknologi Multimedia cawangan Manjung. Profesor ini yang tidak kurang juga kangkongnya akan memberi pandangan bahawa anak-anak muda Melayu ini akan menjadi warga yang berguna jika mereka digalakkan bertutur dalam bahasa Inggeris dan menggunakan tulisan jawi.

Pandangan cendiakawan Melayu ini akan disambut pula oleh para alim ulama yang akan mengeluarkan fatwa-fatwi. Untuk kumpulan ulama ini semua gejala sosial ini amat senang diselesaikan. Kuncinya ialah haram. Maka Sure Heboh wajib diharamkan, haramkan konsert muzik rock, haramkan vcd, haramkan pusat karaoke, haramkan percampuran lelaki dan perempuan. Haramkan muzik yang bertali seperti gitar dan violin. Haramkan sambutan Hari Valentine. Haramkan ini dan haramkan itu. Khalas. Bila semua telah haram maka anak-anak muda Melayu akan bijak, bersopan santun dan fasih berbahasa Inggeris untuk mengikuti kuliah Sains dan Matematik.

Tidak cukup dengan fatwa dan fatwi ini, anak-anak muda Melayu akan menghadapi pelbagai jenis larangan pula. Ada negeri mencadangkan untuk melarang anak muda keluar malam. Ada larangan menghalang mereka duduk berdua-duaan di dalam taman. Mereka dilarang memakai seluar jeans. Ada larangan mewarnakan rambut mereka. Mereka dilarang dari menindik telinga dan hidung. Ada larangan mereka dari memasuki premis itu dan ini.

Nah! Berdarah kepala otak anak-anak muda Melayu apabila semua ini dihempapkan ke ubun mereka. Setiap hari mereka menerima kutukan. Setiap hari mereka dipersalahkan. Jika mereka tidak lulus belajar mereka dikatakan malas. Jika mereka berijazah tetapi tidak mendapat pekerjaan mereka dituduh terlalu memilih kerja. Jika mereka berkerja mereka akan dituduh tidak profesoinal dan selalu curi tulang.

Saya perhatikan seolah-olah semua masalah dalam negara ini berpunca dari anak-anak muda. Anak-anak muda terutama anak muda Melayu adalah pembawa virus yang paling merbahaya ke atas negara ini. Apabila kutukan dan sumpah seranah ke atas anak-anak muda ini mula dilihat oleh awam sebagai satu yang betul maka hari ini anak-anak muda diwajibkan pula untuk memasuki Program Khidmat Negara. Ini dilihat sebagai satu lagi jalan pintas untuk memperbaiki akhlak anak-anak muda.

Nanti sebentar! Cuba kita buka mata dan amati apa yang sedang berlaku sekarang. Amat jelas bahawa ruang untuk anak muda melayari kemudaan mereka makin disempitkan. Zaman muda untuk meneroka potensi dan semua kemungkinan dalam hidup muda ini semakin dihalang. Anak-anak muda Melayu ini ingin dituakan sebelum mereka tua.

Memang banyak persatuan belia yang wujud dalam negara ini. Hebat dan amat gah namanya. Tetapi lihat pula barisan pemimpin anak-anak muda dan belia ini - semuanya 'oldtai'. Semuanya telah 'kotai' dan tua bangka. Ada pemimpin belia yang telah bercucu cicit. Ada yang botak dan tidak ada sehelai rambut pun di kepala tetapi masih ada nafsu untuk memimpin anak muda dan belia. Ada yang datang ke mesyuarat dengan memakai tongkat. Mungkin tidak lama lagi akan ada pemimpin belia yang datang ke mesyuarat dengan kerusi roda.

Dalam univerisiti - gelanggang ilmu anak muda - seribu satu macam larangan telah diwartakan. Bayangkan ada pula universiti yang mewajibkan para pelajarnya memakai baju lengan panjang dan tali leher. Ada yang mewajibkan memakai baju batik dan mengharamkan baju T. Kenapa perkara ini berlaku dan apa logiknya masih menjadi persoalan besar untuk kurun ini. Mungkin jika anak muda ini memakai tali leher apabila mendengar kuliah maka otak mereka akan cepat menerkam apa sahaja yang diluahkan oleh para profesor kangkong. Tiba-tiba tali leher dan baju batik dilihat sebagai alat penting penerima ilmu.

Saya merasa sedih kerana setiap hari yang mati bergelimpangan di jalan raya adalah anak-anak muda yang menjadi mangsa kemalangan jalan raya. Setiap tahun hampir 30 ribu yang mati di jalan raya - majoritinya adalah anak-anak muda Melayu. Tidak ada pula sesiapa pun yang berani menyalahkan Orang Tua yang menjual motorsikal kepada anak-anak muda. Tidak ada pula alim ulama yang mengeluarkan fatwa untuk mengharamkan motorsikal. Langsung tidak kedengaran teori dan pandangan profesor kangkong tentang dasar pengangkutan yang terbaik untuk orang ramai. Yang untung menjual motor ialah Orang Tua. Yang mati di jalan raya ialah anak anak muda.

Sabar dahulu, sebenarnya memang susah untuk menjadi anak muda di Malaysia ini terutama kalau anak muda Melayu. Bila sudah mati pun anak-anak muda ini akan dipersalahkan. Mereka maut kerana mereka ganas memandu. Mereka tidak ada lesen. Tidak ada road tax. Mereka dituduh sebagai Mat Rempit dan suka membuang anak. Meleleh otak ke kai jika menjadi muda di Malaysia. Yang Tua-tua bangka 'oldtai' ini baik sangat ke?

Ibarat Dua Pohon Kayu; Terus Menceracak Ke Udara

Di sana aku melihat mereka yang begitu berjaya dalam kehidupan mereka. Mereka menerima penghargaan di mana-mana. Nama mereka disebut sebagai orang yang berjaya. Aku percaya mereka berjiwa kental, tabah dan tepu dengan ejekan dan kutukan orang. Awal sesuatu usaha penuh dengan cabaran dan halangan. Resipi untuk berjaya itu hanyalah jalan terus dan tidak menoleh ke belakang. Paling penting untuk kita fikirkan siapa diri kita di satu masa depan. Persediaan itu harus dilakukan. Tidak kiralah siapa yang memerintah Barisan ataupun Pakatan.

Tika masanya aku berlari untuk memiliki semua itu. Aku tahu perjalanan sebuah impian penuh kerumitan. Pemergian itu satu peluang. Kita harus sedar bahawa semuanya berpunca daripada diri kita. Kebaikan dan keburukan. Kebahagiaan dan derita. What you see is what you get. Apa yang kita lihat itulah yang kita dapat. Aku sentiasa melihat langit dan bintang. Aku yakin suatu masa aku mampu untuk menggapai langit dan bintang. Sesukar manapun perjalanan itu aku yakin langit itu adalah hadnya. Segala yang berada di bawah langit adalah milikku. Tiada sesiapa pun yang berhak berkata ia bukan milikku. Sekiranya ia bukan milikku pun aku ku usahakan untuk meminjamnya. Kerna aku tahu hakikat dunia ini adalah satu pinjaman.

Masa berlalu begitu pantas. Lantas aku berfikir bahawa diriku semakin dekat kepada akhir zaman. Lantas aku sedar bahawa aku sudah dewasa. Bukan lagi anak kecil yang minta diajar tulis dan baca. Bukan lagi anak remaja yang kecewa dengan cinta. Bukan lagi anak siswa yang dihalang aspreasinya. Aku sedar aku hanyalah seorang yang punya hati dan rasa. Aku melihat disekelilingku manusia pelbagai usia. Penuh ragam dan tingkah lakunya. Aku melihat mereka dalam tangis, kecewa, bahagia dan kaya. Aku melihat mereka dengan kenikmatan dunia. Aku melihat mereka terlalu gembira dengan apa yang mereka ada. Sampai bilakah harus aku melihat apa yang di depan mata. Aku harus keluar dari kepompong gua yang bisa mengatakan semua itu tidak boleh. Aku bukan anak raja. Aku juga bukan anak Perkasa. Aku juga bukan anak kontraktor kaya raya. Aku bukan anak cukong yang buat lebuh raya.

Tika masanya untuk kita perbaiki perjalanan hidup kita. Merenung semula kebelakang bisa menceriakan wajah. Semua itu pengalaman bisa menjadi aset hidup. Dunia ini masih belum cukup dan puas untuk diteroka. Dunia ini terlalu kecil untuk kita. Kita harus mencari kehidupan yang baru. Tempat yang baru. Wajah yang baru. Teman yang baru. Segala-galanya baru untuk kita. Manusia sukakan perubahan. Sukakan pencerahan yang kita bisa melihat apa yang orang lain tidak lihat. Ini bukan melihat malaikat di Facebook. Ini bukan melihat ribut taufan di Jasin. Ini melihat masa depan anak-anak muda. Anak muda di Kuantan yang suka merempit. Anak muda di Tampin yang mendengar suara dari dinding. Anak muda di Klang yang suka membunuh. Anak muda di Ampang yang suka pergi ke konsert Wondergirls. I have nobody but you.

24 jam yang Tuhan beri untuk kita, kita gunakan untuk apa? Tidur dan makan. Bulan puasa bukan masa untuk tidur. Sekarang masanya untuk bekerja. Bekerja untuk apa tiada siapapun yang tahu. Kesibukan kita setiap hari bukankah kerana kerja. Mencari pendapatan menanggung anak dan isteri. Tiada masa melayan politik. Tiada masa melayan apa yang terjadi di Bakun. Apa sudah terjadi kepada nasib gadis Penan. Apa sudah terjadi kepada warga daulah yang hilang punca pendapatan. Apa sudah terjadi kepada harga ayam yang dinaikkan. Setiap hari kita membaca kesemua berita tahu. Kita tidak bosan dan meluat kerana kita bekerja sebahagian daripada mereka. Kami juga pemandu seperti anda. Tapi kami kenakan caj dua kali ganda.

Teruskan perjalanan...jangan hiraukan hiruk pikuk yang berlaku di sekeliling. Ahli politik tin kosong memang kerjanya memekak. Selamatkan Selangor. Selamatkan diri kita daripada kemurkaan Sang Raja. Berusahalah untuk menjadi orang yang bergantung pada diri sendiri. Lihatlah pada Redzuan dan Hamzavi. Lihatlah kepada orang yang jiwanya kuat tak bisa undur. Lihat kepada orang yang bertindak tidak hanya bermimpi. Teruskan belajar daripada orang yang hebat. Mereka berjaya dalam bidang yang mereka ceburi. Kita juga percaya kepada diri dan produk kita. Kita melaksanakan tugasan secara berkumpulan. Bersatu Bersetia Berkhidmat. Ingatlah kepada keluarga yang tersayang. Berhati-hati di jalanraya. Pakailah barangan buatan Malaysia.

Masa Untuk Kembali Kepada Fitrah

Salam Ramadhan Buat Semua
Semoga Kita Terus Memperbaiki Ibadah Kita

www.mycompletemastery.blogspot.com