Politik dan Kuasa, Siapa Lebih Sengsara

Memang benar sesuatu kejayaan itu menuntut pengorbanan. Tidak akan kau berasa gundah gulana, jika kau tahu apa yang kau tuju. Suasana itu begitu mendesak kita untuk bekerja lebih kuat. Hakikatnya dunia yang kita duduki hari ini adalah dunia untuk orang berusaha. Orang malas tempatnya adalah kemiskinan. Orang rajin berjiwa besar tempatnya adalah dalam kesenangan dan kekayaan. Minda kita mestilah percaya bahawa kemanisan hidup adalah pada perjuangan. Perjuangan untuk kebebasan kewangan dan sosial. Perjuangan untuk mengekalkan hak dan maruah. Perjuangan sebuah bangsa yang selalu dicop sebagai malas dan mudah ditipu. Perjuangan untuk mempertahankan kuasa yang dipegang sejak 53 tahun yang dahulu.

Apabila guru gred DG41 itu dibenarkan berpolitik kita terkejut. Apakah selama ini guru itu tidak dibenarkan berpolitik. Apakah tiada politik pada guru-guru yang mengajar anak bangsa tulis dan baca. Apakah selama ini para pendidik siswazah itu buta politik. Siapakah yang buta dalam hal ini. Politik itu ialah politik mengenai Nik Aziz, Ibrahim Ali dan Karpal Singh. Politik itu ialah parti yang dipangkah 5 tahun sekali. Politik itu lebih teruk lagi ialah kotor, jijik dan suka menindas orang lain. Politik itu ialah kuasa kapitalis yang sesuka hati menaikkan harga tol, gula, petrol dan cukai di sana sini. Begitukah sempitnya pemahaman kita warga 1Malaysia tentang politik.

Akhirnya kita semua sedar hakikat bahawa anak muda Melayu itu tidak berminat dengan politik. Mereka lebih berminat menukar status di facebook. Bertukar-tukar awek dan balak. Mengambil pot tentang skandal PKFZ atau DPP Farah Azlina adalah lekeh, leceh dan poyo. Buat apa ambil tahu tentang semua yang tiada kaitan tentang diri mereka. Pelaburan FDI yang menurun tiada kaitan dengan mereka. Peluang pekerjaan yang mengecil tiada kaitan dengan mereka. Gaji di bawah paras rakyat termiskin pun tiada kaitan dengan mereka. Anak muda Melayu itu tidak berminat untuk berniaga. Anak muda Melayu itu tidak berminat datfar mengundi. Anak muda Melayu itu sibuk dengan rock kapak dan dangdut di The Zouk.

Mengubah mentaliti Melayu itu bukan mudah rupanya. Dalam ekonomi tidak stabil itu kita melihat manusia mula menuntut hutangnya. Saman dan Penyata Tuntutan itu berlegar di sekeliling warga. Hatta 1 sen sekalipun hutang tetap hutang. Selama ini kehidupan kita adalah hutang. Kita berhutang setiap hari setiap masa. Belajar hutang, beli kereta hutang, beli rumah hutang hatta berkahwin pun hutang. Sampai bilakan hidup ini terus diperjudikan. Anak muda terperangkap dalam jerat kapitalis yang setiap masa mencengkam warga. Kesibukan kita 24 jam untuk survive kehidupan mencari nafkah membayar hutang. Kehidupan itu rupanya bukan kebahagiaan tetapi perjudian. Kita berjudi untuk mencari sebuah erti dan makna hidup. Akhirnya kita mati dengan legasi hutang kepada generasi seterusnya. Akhirnya daulah bankrap asyik ditipu cukong yang gilakan tanah dan kuasa. Akhirnya kita habis hancur dengan projek raksasa Bakun yang bakal binasa.

Berhenti sebentar. Mari kita menyelami bahasa dan makna hidup. Kata orang masa yang paling baik mengenali diri adalah apabila kita menyedari kesilapan yang lalu. Pengalaman itu mengajar kita erti sebenar dunia yang kita duduki hari ini. Bekerja 8.30 pagi hingga 5.30 petang itu adalah erti dan makna hidup. Mempertahankan UMNO itu adalah erti dan makna hidup. Berjuang untuk memartabatkan pendidikan itu juga adalah erti dan makna hidup. Kata ayah pendidikan dan pendapatan itu perlu seiring. Apa guna mempunyai MBA dan PhD sekiranya pendapatan hanya 3,000 sebulan. Kata ayah itu dibawah paras kemiskinan. Apa guna kita membuat pelaburan pendidikan yang pulangannya tidak berbaloi dengan apa yang telah kita habiskan. Idea itu adalah praktikal. Wang itu adalah idea. Perancangan untuk ke arah itu perlukan tenaga, kuasa dan masa. Hakikatnya kita akan lebih baik dan maju sekiranya kita tahu menghormati generasi tua.

Mulai hari itu kehidupan anak muda itu berubah. Tiada siapa berani menghalang untuk anak muda itu melangkah ke hadapan. Anak muda itu ialah seorang peguam muda yang berani bersilat lidah di hadapan Sang Hakim. Anak muda itu tidak takut pada kegagalan. Baginya tiada kalimah gagal dalam kamus hidup. Hakikatnya yang ada hanyalah pembelajaran. Kegagalan itu bermakna menambah kepakaran. Pedulikan PKP yang membosankan. Pedulikan hal ehwal prosedur yang merumitkan lagi melecehkan. Kehidupan adalah untuk merempuh halangan. Matlamat dan cita-cita di hadapan. Agenda pencerahan tetap perlu diteruskan. Dunia ini sememangnya akan jatuh ke tangan anak-anak muda. Soalnya siapakah anak muda yang berani itu?

0 comments: