Penjara Pudu..Moga Damai Ada Di Sana

maka tembok tembok a farmosa itu pun diruntuhkan
satu demi satu dindingnya diletupkan
tuan farquhar melihat betapa bahaya kota ini
maka tembok tenbok itu wajib dirobohkan
yang ditingglkan hanya pintu
untuk jadi ingatan kepada anak cucu

maka tembok itu pun akan dirobohkan
semenjak 1895 tegak berdiri
kini akan diruntuhkan pintu demi pintu
batu demi batu
satu demi satu

seribu tahun dari hari ini
anak kepada anak kepada anak kepada anak
kepada anak kepada anak kepada anak kepada akan
melihat bahawa kami yang berdiri dihadapan tembok ini
malam kelmarin ada sejarah

seribu tahun dari hari ini
maka anak kepada anak kepada anak kepada
anak kepada anak kepada anakan kepada anak
akan menangis hingga keluar air mata darah
maka menangislah mereka beramai ramai
hingga lahir intan dan berlian
dari cucuran air mata

menangisi jejak sejarah
waktu dan sejarah yang tidak akan berulang
detik detik yang pergi
tembok tembok yang dihancurkan
hanyalah debu debu ingatan yang akan pudar

apabila tembok ini mula retak
zeus di kayangan bersama dewa dan dewi
melihat betapa angkuh dan bodohnya manusia
yang tidak mengetahui jalan cerita
yang tidak mengetahui makna sejarah bangsa
yang tidak mengethaui bahawa tembok itu adalah paku negara

malam kelmarin kami mendongak keatas langit
demi zeus
agar roh roh yang terkorban dalam tembok ini
akan tenteram dan selasa berkeliaran
bersama angin subuh sejuk dan menyegarkan

berapa ramai yang telah gugur
ketika tembok tembok ini dibuat
berapa ramai yang tewas di gantung penjajah
berapa ramai nasionalis gugur saheed menuntut merdeka
berapa ramai gelandangan miskin digantung tanpa peguam

untuk mereka buta sejarah
untuk mereka yang tidak tahu menilai erti bangsa
untuk mereka yang tidak tahu melihat tanda dan makna
untuk mereka yang mata hanya melihat emas dan tinta
demi zeus seribu tahun dari hari ini
anak kepada anak kepada anak kepada anak kepada anak kepada anak mereka
akan menangis dan menyumpah betapa bebal ibu ayah keturunan mereka

demi zeus seribu tahun dari hari ini
kami tahu
kami yang berkumpul malam kelmarin di tembok itu
adalah sejarah yang tidak akan berulang lagi.

esok ketika kau buka mata
semua nya telah pergi
semuanya telah terlambat

dunia ini musnah bukan kerana
ramai orang jahat
tetapi kerana ramai orang baik
tidak mahu melakukan apa apa


seribu tahun dari hari ini
yang kau lihat nanti hanyalah gambar
dan puisi ini

ehsan ; T.T.

Kebahagiaan Dalam Perpisahan..Selamat Tinggal Malim Nawar

Dalam kisah daulah yang bakal muflis menjelang 2019, masih berimpian besar untuk membina bangunan Parlimen baru di Putrajaya. Kos 800 juta itu bukanlah besar sangat jika nak dibandingkan dengan Burj Khalifah di Dubai. Malaysia negara kaya dan banyak minyak. Sumber hutan balak kayu kayan masih berlambak. Itu belum termasuk pasir di sungai dan di laut yang masih belum sempat untuk dijual kepada Singapura. Syukur Alhamdulillah semua ini kerana kebijaksanaan kita memilih pemimpin yang hanya menaiki kereta MyVi. Tidak ku sangka selama ini warga mempunyai First Lady. Rupanya First Lady bukan hanya menjual bikini tapi juga menjual iklan tajaan American Company. Apakah First Lady adik beradik kepada Lady Gaga hanya Tuhan Yang Maha Esa Maha Mengetahui.

Terima kasih daulah yang begitu prihatin kepada Istana Kayangan Sang Raja. Memang benar keselamatan dan kesejahteraan Raja Gopal itu sangat penting. Mana mungkin Raja Gopal tinggal di Istana yang murah dan lekeh lagi busuk. Apa barang Raja Gopal tinggal di rumah teres di Seremban Selatan. Binalah yang gah lagi masyhur untuk menjaga imej Malaysia di mata Apco Worldwide. Warga mesti mendahulukan Raja yang selama ini memayungi kita semua. Istana Lama itu boleh djadikan pusat lumba kuda. Nenek moyang kaya raya. Tergadai seluruh harta benda. Akibat sengketa sesamalah kita. Raja kita selamat bertakhta.

Selama ini apakah kau tidak pernah rasakan bahagia. Apakah kasih sayang yang diberikan oleh First Lady selama ini tidak cukup. Anak muda itu tidak tahu bersyukur. Belajar dari tadika sehingga universiti semua subsidi. Daulah memberi biasiswa tiada pinjaman. PTPTN itu apa. Ia hanya jenama biskut untuk anak-anak muda itu makan. Pedulikan anak muda bijak pandai segala bangsa untuk dapat biasiswa. Membangunkan The Greater Kuala Lumpur itu lebih penting. Pertahanan negara itu soal kedua. Lapangan Terbang TUDM di Sungai Besi itu wajib distruktur semula. Gerombolan tentera hanya layak duduk di dalam hutan banar dan tepi laut Teluk Kemang. Akhirnya tiada apa yang tinggal untuk warga yang dalam kesusahan.

Selamat tinggal untuk kau Malim Nawar. Habis madu sepah dibuang. Harapkan pagar, pagar makan padi. Pergilah ke Penshawar. Pergilah ke Kabul. Pergilah ke Fallujah. Kau akan temui kebahagiaan di sana. Embun pun takkan mampu menyubur sekuntum. Bunga yang layu pada musim luruh. Shahir pun takkan mampu memberikan kau kebahagiaan. Dia pun masih terkial belajar di UIA. Mana mungkin anak muda itu memberikan kau wang berjuta-juta untuk membeli kondominium dan padang golf. Mana mungkin anak muda itu memberikan kau projek Kementerian Pertahanan. Kau hanya boleh balik ke Bangladesh membaca Al-Ma'thurat di tepi Sungai Gangga.

Biarkan kapal Zim Lines Israel Navigation itu berlabuh di Pelabuhan Kelang. Bukankah kapal itu membawa makanan dan keperluan kita semua. Makanan McDonald, Sabun Lux, Bedak Johnson & Johnson, Seluar Timberland, Minuman Milo Nestle dan Handphone Nokia yang kita semua sebagai pengguna pakai dan makan. Kalau tidak ada kapal itu habislah warga 1Malaysia. Sampai bila kita terpaksa hidup bergantung pada produk mereka. Itulah persoalan yang paling penting untuk difikirkan daripada berangan untuk menakluk Putrajaya. Itulah mauduk yang lebih patut difikirkan oleh anak-anak muda daripada sibuk beromen dan bercinta di laman facebook. Tukarlah status anda daripada single kepada in a relationship. Dunia ini akhirnya akan tetap jatuh ke tangan anak-anak muda.

Mavi Marmara, Rachel Corrie dan Brad Staples

Salam Mavi Marmara buat semua. Demikian kesudahan perjuangan para sukarelawan untuk membantu umat yang tertindas di Gaza. Usaha murni itu sebaliknya hanya tinggal kenangan, bantuan hanya sampai tersangkut di Pelabuhan Ashdod. Hakikatnya warga Gaza terus dihimpit dengan penindasan dan kezaliman. Gaza adalah titik rujukan kesatuan hati umat. Bersatunya kita untuk perjuangan membebaskan Gaza. Tetapi hakikat perjuangan beratus tahun itu tidak boleh dirancang sehari dua. Perancangan untuk membebaskan Gaza harus dibuat 100 tahun bermula sekarang. Sekali kali kita harus praktikal dalam segala segi. Restoran McDonald dan telefon bimbit Nokia tetap menjadi pilihan hati.

Timbul pula rancangan untuk membina loji nuklear dalam negara. Apakah habis sudah sumber tenaga dalam negara kita. Peristiwa loji nuklear yang bocor di Chenobryl itu menggerunkan kita semua. Tragedi stadium runtuh di Kuala Terengganu itu tambah menggerunkan. Jika stadium boleh runtuh masakan pula loji nuklear. Simpang malaikat 44 melihat anak kelahiran cacat tujuh keturunan dek kerana radiasi. Sudahlah Melayu itu kurang segala segi, tambah cacat anggota dan pemikiran. Mana mungkin kita mendedahkan mata kepala kita kepada bahaya radioaktif nuklear itu. Mana mungkin kita menyerahkan leher kita semua untuk disembelih beramai-ramai. Daulah seharusnya bersiap dengan alternatif tenaga selain nuklear.

Sekali-sekala berjudi apa salahnya. Sejak bilakah berjudi itu menjadi haram. Anak-anak muda Felda begitu mahir dalam permainan daun terup. Pemimpin besar gila berjudi lumba kuda. Ascot Sports membina kekayaan dengan judi Piala Dunia. Berlesen atau tidak, kita perlu menerima hakikat bahawa kehidupan adalah satu perjudian. Judi sebahagian daripada kita. Kita adalah judi. Judi adalah kita. Ini bukan Judi Dench heroin tua filem James Bond. Ini judi pakau. Terbukti judi sangat penting dalam sosial konstruk negara bangsa. Terbukti berjudi di Genting adalah sebahagian daripada teras ekonomi negara. Sejak bila Genting dikenali sebagai Kota Keriangan. Walau hakikat sebenarnya Genting adalah Kota Judi. Maafkan saya Tok Mufti.

Kini saya bercita-cita untuk menjadi Brad Staples. Siapa tidak kenal susuk ini sila bertanya pada Lebai Google. Tidak ku sangka Brad Staples ini hensem orangnya. Manakan mungkin boleh mencatur sebuah negara. Perunding strategi dan komunikasi terkemuka. Biarkan orang Melayu itu terus berdemonstrasi. Balik demonstrasi memeluk bini. Orang suruh belajar tinggi-tinggi dia lari-lari. Suruh belajar Bahasa Inggeris tak tahu rujuk dictionary. Apa kejadahnya kita demonstrasi kalau tak buat persiapan diri. Siapkan diri dengan ilmu, kepakaran dalam teknologi. Jadi bangsa penakluk yang tahu buat sendiri. Lahirkan saintis profesional dari anak bangsa sendiri. Anak kecil main api. Terbakar hatinya yang sepi. Jangan akhirnya kita sama tersadai seperti MV Rachel Corrie.