Tahniah diucapkan kepada mereka yang berjaya dalam keputusan SPM baru-baru ini. Usaha jerih penat lelah akhirnya berbaloi. Sesuatu usaha yang kita mulakan sebenarnya tidak pernah sia-sia. Kepada yang belum berjaya atau gagal mendapatkan keputusan yang terbaik, diharap jangan berputus asa. Dunia ini masih luas. Kita hidup di zaman glokal. Dunia tanpa sempadan. Peluang untuk berjaya sebenarnya masih terbuka luas. Hanya mata kita yang buta dan gagal melihat isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor.
Dang-dang-dum yang kita dengar dari keputusan yang diumumkan itu adalah skrip-skrip lama yang kita ulang saban tahun. Sekolah terbaik, pelajar cemerlang dengan A+ berderet tersusun di slip keputusan, adalah superfisial. Satu kepalsuan. Hakikatnya kehidupan pelajar-pelajar itu baru bermula. Selepas ini mereka akan memasuki wilayah universiti dan bekerja. Selepas itu mereka bakal menjadi mangsa kapitalis dengan jerat dan perangkap ekonomi. Selepas itu mereka akan menjadi sebahagian daripada marhaen yang bekerja 9 pagi hingga 5 petang untuk menyara hidup. Selepas itu mereka akan mula membayar hutang PTPTN dan loan kereta WAJA. Selepas itu mereka akan berfikir bagaimana untuk berkahwin lebih awal. Jika itu terhalang maka kita akan lihat bayi-bayi bersepah di tepi jalan. Pergi tersepak pulang terlanggar.
Sesungguhnya kehidupan di universiti hanyalah 1 per 10 daripada kehidupan. 9 per 10 yang selebihnya itu ada dalam kehidupan bermasyarakat. Memang benar, pendidikan tinggi itu bukan hanya setakat menggenggam segulung ijazah, tapi lebih dari itu. Paling mustahak adalah kemahiran. Ya, kemahiran membodek dan merasuah supaya kita jadi cepat kaya dan ternama. Kemahiran politik dan melompat parti seperti yang ditunjukkan oleh Ahli Parlimen Zahrain dan Mohsin. Kemahiran melompat ini sepatutnya dimasukkan sebagai subjek wajib untuk para siswa di universiti. Dengan itu kita akan melahirkan graduan yang berkualiti dan tulen.
Terfikirkah kita ke mana 465,853 orang lepasan SPM ini akan meneruskan hidup selepas ini. Apakah kita tidak tahu untuk bergerak ke sana sini itu memerlukan kos. Minyak itu tak sama dengan air. Resit tol itu tak sama dengan tisu jamban. Apakah mereka sedar bahawa pendapatan perkapita rakyat Malaysia kini adalah antara yang terendah dalam dunia. Apakah mereka ingat bahawa para kapitalis sudah bersedia menerkam untuk membocorkan poket mereka dengan GST dan Skim Perkhidmatan Bayar Penuh. Malangnya kesemua itu ditutup dengan keghairahan untuk memasuki alam kampus. Happy2 mengambil jurusan perubatan untuk jadi doktor, tapi tidak pernah terfikir bahawa gaji doktor itu lebih rendah dari gaji buruh Bangladesh di Sri Hartamas.
Lalu orang Melayu itu sibuk dengan kes menikahkan anak yang masih berhingus. Kesempitan hidup itu mendesak kita. Buah Cempedak jadi Nangka. Tidak ku sangka Perkasa itu Vincent Tan. Anak muda berani mempersoal talian hayat yang selama ini menutup mata makcik Felda untuk membuka akaun Facebook. Biarkan makcik Felda itu mempunyai bermain FarmVille. Kita hidup dalam zaman serba canggih dan pantas. Gadis sunti rela menjadi andartu hanya kerana ingin bersaing dengan kepantasan itu. Sepantas kereta yang melalui Drive Thru di Restoran McDogal.
Akhirnya kita semua sedar bahawa Buggy Golf itu lebih penting dari kebajikan rakyat. Rupanya selama ini kita tersilap kerana membeli kereta nasional. Ada kenderaan yang lebih ekonomik dan murah yang tidak dikenakan cukai. Orang Asli suku Temuan di Sarawak pasti gembira dengan berita ini. Setidak-tidaknya Buggy itu boleh digunakan untuk pergi memburu. Makcik Felda Taib Andak juga boleh gunakan untuk pergi ke mesyuarat cawangan. Terima kasih diucapkan kepada PM 1Malaysia 'Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan'.
0 comments:
Post a Comment