Merdeka! Selamat Datang Ke Hulu Selangor

Kemerdekaan yang kita perolehi itu adalah manifestasi satu perjuangan. Perjuangan untuk membebaskan diri daripada di belenggu penjajah. Bebas dari dikongkong dan menjadi stigma hidup. Bebas menentukan arah tuju dan matlamat. Bebas berfikir dan bergerak. Bebas untuk melakukan apa sahaja yang kita suka. Bebas daripada dinasihati perunding komunikasi seperti Apco Worldwide. Malangnya ada pemimpin yang suka dinasihati oleh perunding berlatar belakang illimunati- yahudi. Adakah ini menggambarkan bahawa kita sebenarnya sedang dijajah.

Hiruk pikuk di Parlimen itu tak pernah kita ambil kesah. Pedulikan mereka. Tiada kaitan Zulkifli Nordin itu dengan anak muda yang membanting baja di Kampung Selemak. Tidak ambil pot semua tentang Saiful Bukhari. Apatah lagi Zahrain yang menuduh itu dan ini. Semak serabut kepala masih belum hilang. Krisis MCA dalam BN bukan mauduk utama perbincangan. Apa yang harus difokuskan hari ini ialah pencerahan. Agenda ini tidak datang sendiri. Pencerahan itu datang dengan ilmu dan pengalaman.

Kesakitan menerima hakikat itu perlu kita pelajari. Hakikat kita cuma rakyat biasa yang hanya berfikir melangsaikan hutang saban waktu. Hakikat bahawa kita perlu berusaha untuk memperolehi apa yang kita inginkan. Hakikat bahawa kita tidak kaya mempunyai syarikat seperti Kencana Petroleum. Harapkan pagar, pagar makan padi. Selama ini kita ditipu kerana menyangka mempunyai degree. Rupanya ada diploma saja boleh jadi ketua penjaga keamanan negara. Siakap senohong gelama ikan duri. Bercakap bohong lama-lama jadi menteri.

Suatu hari nanti bilakah masanya untuk kita lari daripada semua itu. Menikmati kehidupan yang tenang tanpa tol, minyak, cukai dan bil hospital. Bilakah masanya kita ingin melihat keadilan kesaksamaan itu dapat dinikmati oleh semua warga. Sistem kapitalis itu begitu mencengkam kita. Sana sini kita lihat ada saja tanah orang kampung yang diambil oleh para cukong. Tragedi di Johor itu begitu menyayat hati. Apakan daya nasi sudah menjadi bubur. Lebih baik balik kampung tanam ubi kayu daripada menjaja cerita Altantuya Shaaribu.

Bosan dengan politik. Apalagi yang boleh kita fikirkan dalam hidup ini selain politik. Kehidupan ini berkait dengan politik. Demonstrasi itu juga politik. Mengadakan hubungan luar nikah itu juga politik. Membuang bayi atau janin hasil hubungan songsang itu juga seni berpolitik. Bukankah semua itu budaya yang kita sama-sama lahirkan. Bukankah kita yang mencipta suasana agar anak-anak muda itu mudah disesatkan. Sayang sekali golongan tua tidak pernah terfikir tentang itu. Tenaga dan keringat anak muda itu diperah untuk terus menguasai kepentingan ekonomi. Biarkan KJ dengan agenda perubahannya. Biarkan Luncai dengan labu-labunya.

Apabila Mereka Bangun Melawan

Janganlah rasanya kau menjadi angkuh
Dengan kuasa dan wang ringgit
Dengan mahligai dan istana
Dengan pangkat segala darjat

Tika kau sedang naik ke atas
Lihatlah kiri dan kanan
Kau tegur dan sapalah kami di bawah ini
Kerana bila kau turun nanti
Kau akan temui kami sekali lagi

Orang Asal itu turun ke kota
Menuntut hak mereka
Mereka mahukan kehidupan
Mereka tidak gilakan pembangunan

Menteri memperbodohkan
Kata mereka jalan-jalan
Tiba saat dan ketikanya
Hak mereka mesti dipulangkan

Selamat Datang Ke Dunia Baru; Tahniah Calon2 SPM 2009

Tahniah diucapkan kepada mereka yang berjaya dalam keputusan SPM baru-baru ini. Usaha jerih penat lelah akhirnya berbaloi. Sesuatu usaha yang kita mulakan sebenarnya tidak pernah sia-sia. Kepada yang belum berjaya atau gagal mendapatkan keputusan yang terbaik, diharap jangan berputus asa. Dunia ini masih luas. Kita hidup di zaman glokal. Dunia tanpa sempadan. Peluang untuk berjaya sebenarnya masih terbuka luas. Hanya mata kita yang buta dan gagal melihat isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor.

Dang-dang-dum yang kita dengar dari keputusan yang diumumkan itu adalah skrip-skrip lama yang kita ulang saban tahun. Sekolah terbaik, pelajar cemerlang dengan A+ berderet tersusun di slip keputusan, adalah superfisial. Satu kepalsuan. Hakikatnya kehidupan pelajar-pelajar itu baru bermula. Selepas ini mereka akan memasuki wilayah universiti dan bekerja. Selepas itu mereka bakal menjadi mangsa kapitalis dengan jerat dan perangkap ekonomi. Selepas itu mereka akan menjadi sebahagian daripada marhaen yang bekerja 9 pagi hingga 5 petang untuk menyara hidup. Selepas itu mereka akan mula membayar hutang PTPTN dan loan kereta WAJA. Selepas itu mereka akan berfikir bagaimana untuk berkahwin lebih awal. Jika itu terhalang maka kita akan lihat bayi-bayi bersepah di tepi jalan. Pergi tersepak pulang terlanggar.

Sesungguhnya kehidupan di universiti hanyalah 1 per 10 daripada kehidupan. 9 per 10 yang selebihnya itu ada dalam kehidupan bermasyarakat. Memang benar, pendidikan tinggi itu bukan hanya setakat menggenggam segulung ijazah, tapi lebih dari itu. Paling mustahak adalah kemahiran. Ya, kemahiran membodek dan merasuah supaya kita jadi cepat kaya dan ternama. Kemahiran politik dan melompat parti seperti yang ditunjukkan oleh Ahli Parlimen Zahrain dan Mohsin. Kemahiran melompat ini sepatutnya dimasukkan sebagai subjek wajib untuk para siswa di universiti. Dengan itu kita akan melahirkan graduan yang berkualiti dan tulen.

Terfikirkah kita ke mana 465,853 orang lepasan SPM ini akan meneruskan hidup selepas ini. Apakah kita tidak tahu untuk bergerak ke sana sini itu memerlukan kos. Minyak itu tak sama dengan air. Resit tol itu tak sama dengan tisu jamban. Apakah mereka sedar bahawa pendapatan perkapita rakyat Malaysia kini adalah antara yang terendah dalam dunia. Apakah mereka ingat bahawa para kapitalis sudah bersedia menerkam untuk membocorkan poket mereka dengan GST dan Skim Perkhidmatan Bayar Penuh. Malangnya kesemua itu ditutup dengan keghairahan untuk memasuki alam kampus. Happy2 mengambil jurusan perubatan untuk jadi doktor, tapi tidak pernah terfikir bahawa gaji doktor itu lebih rendah dari gaji buruh Bangladesh di Sri Hartamas.

Lalu orang Melayu itu sibuk dengan kes menikahkan anak yang masih berhingus. Kesempitan hidup itu mendesak kita. Buah Cempedak jadi Nangka. Tidak ku sangka Perkasa itu Vincent Tan. Anak muda berani mempersoal talian hayat yang selama ini menutup mata makcik Felda untuk membuka akaun Facebook. Biarkan makcik Felda itu mempunyai bermain FarmVille. Kita hidup dalam zaman serba canggih dan pantas. Gadis sunti rela menjadi andartu hanya kerana ingin bersaing dengan kepantasan itu. Sepantas kereta yang melalui Drive Thru di Restoran McDogal.

Akhirnya kita semua sedar bahawa Buggy Golf itu lebih penting dari kebajikan rakyat. Rupanya selama ini kita tersilap kerana membeli kereta nasional. Ada kenderaan yang lebih ekonomik dan murah yang tidak dikenakan cukai. Orang Asli suku Temuan di Sarawak pasti gembira dengan berita ini. Setidak-tidaknya Buggy itu boleh digunakan untuk pergi memburu. Makcik Felda Taib Andak juga boleh gunakan untuk pergi ke mesyuarat cawangan. Terima kasih diucapkan kepada PM 1Malaysia 'Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan'.

Rakyat Didahulukan, Jom Melompat Lebih Tinggi

"The lie I tell today will force me to lie again tomorrow "


Setiap sesuatu yang ingin kita miliki itu perlu dibayar. Setiap sesuatu itu ada tanda harganya. Kita perlu berkorban sesuatu untuk memiliki sesuatu. Manusia hidup atas apa yang diyakininya. Selagi kita percaya terhadap sesuatu yang kita usahakan, kita akan terus bergerak ke hadapan. Dunia ini ibarat roda. Mungkin hari ini kita selesa untuk berada di atas dan dijulang, esok lusa kita akan berada di bawah. Jika tidak sanggup menjadi pokok yang ditiup angin, maka bersedialah menjadi rumput untuk dipijak orang.

Tahniah kita ucapkan kepada Ahli Parlimen PKR yang melompat. Setidak-tidaknya itu membuktikan wang lebih penting daripada prinsip. Segalanya akan berbalik kepada perebutan punca-punca ekonomi. Menguasai kerajaan adalah untuk merebut punca-punca ekonomi. Ahli Parlimen yang bermasalah dengan hutang bank, ah long dan judi haram memang mudah untuk di jual beli. Mulai hari ini saya akan kumpulkan duit 25 juta untuk membeli kapal selam yang tidak boleh menyelam. Siapa kata kapal selam KD Tunku Abdul Rahman itu tak boleh menyelam. Tujuan kapal selam untuk perhiasan bukan untuk menyelam.

Setidak-tidaknya kita tahu bahawa kepentingan rakyat tidak pernah didahulukan. Sebenarnya ahli politik baik kerajaan mahupun pembangkang tidak pernah telus. Masakan kita lihat di sekeliling warga berhempas pulas mencari pendapatan. Anak-anak muda terbunuh dalam kemalangan. Perkhidmatan kesihatan diswastakan dengan Skim Perkhidmatan Bayar Penuh. Tiada yang percuma untuk warga. Segalanya didesak untuk poket warga bocor setiap hari. Anak-anak muda tidak mahu berkahwin kerana tidak sanggup menanggung bebanan. Jalan keluar adalah terus bersekedudukan. Bayi kecil tidak berdosa bersepah-sepah di tepi jalan.

Tidakkah kita semua ingat bahawa kehidupan itu tidak semudah yang kita sangkakan. Keadaan itu mungkin menuntut kita berubah. Setiap saat, setiap detik, yang pasti berlaku adalah perubahan. Soalnya adakah kita telah bersama untuk perubahan itu. Ketika saat itu menjadi semakin lasak, hanya yang lasak dan kuat akan terus berjalan. Pedulikan Salehudin, Tan, Zahrain dan Mohsin Fadzli. Siapa mereka ini dalam membantu anak-anak muda tiada pekerjaan. Siapa mereka ini dalam membantu anak-anak muda yang kesempitan. Mereka hanyalah watak-watak wayang yang kita tonton untuk seketika sebelum beransur pulang.