Menang ataupun Kalah Tidaklah Penting


Sejak kecil kita sudah diajar akan peri pentingnya menjadi orang berjaya. Kita juga diajar bahawa kejayaan itu serupa dengan kemenangan-orang yang menang adalah orang yang berjaya. Kita diberitahu bahawa orang yang kalah adalah orang yang gagal.

Untuk menang, kata mereka, kita mesti pandai bersaing dan berlawan. Supaya kita pandai bersaing, kita digalakkan memasuki bermacam-macam perlawanan, pertandingan dan persaingan. Di dalam semua itu, kita diajar cara-cara menang dengan mengalahkan peserta-peserta lain.

Menang menjadi perkara yang sangat penting. Kita diberi motivasi supaya sanggup bertungkus-lumus demi mencapai kemenangan di dalam bilik darjah, di padang sukan dan di dalam pelbagai pertandingan.

Kita diajar bahawa hanya ada satu jalan untuk menang, iaitu dengan cara mengalahkan orang lain. Kita diberitahu, semakin tinggi semangat persaingan kita, semakin besar harapan kita dapat mencapai kemenangan. Semakin kita pandai mengalahkan orang lain, semakin besar peluang kita untuk berjaya. Kita diajar bahawa kemenangan bererti kejayaan; kekalahan bererti kegagalan.

Kita diberitahu bahawa belajar bersaing sejak kecil adalah bagus, kerana ia menyediakan kita untuk pandai bersaing apabila dewasa nanti. Demi kejayaan, kita mesti menang. Kita tidak diberitahu bahawa cara berfikir yang begitu adalah cara berfikir kaki sukan, kaki politik dan kaki lawan.

Pemikiran kaki-kaki lawan disebut pemikiran samaada "menang atau kalah". Pelbagai sukan dan pertandingan memang terdiri daripada jenis persaingan menang-atau-kalah. Tetapi harus diingat, kehidupan di luar sukan dan pertandingan i.e hidup ini bukan persaingan menang atau kalah.

Kita mungkin berfikir bahawa bila ada orang menang maka akan ada orang yang kalah. Bila ada orang yang berjaya, nescaya ada pula orang yang gagal. Ini asas semangat kompetitif atau suka berlawan. Supaya kita boleh hidup, kekal berkuasa dan orang lain mesti mati. Supaya kita untung dan kaya raya, orang lain mesti rugi dan miskin papa kedana.

Sebenarnya dalam hubungan kita sesama manusia, tidak ada sama sekali persaingan menang-ataupun-kalah. Perkahwinan, persahabatan dan kekeluargaan tidak seperti persaingan menang-ataupun-kalah. Semua orang yang terlibat boleh sama-sama menang. Untuk berjaya kita tidak perlu mengalahkan orang lain. Kita boleh sama-sama berjaya..suksess! (,")

1 comments:

Anonymous said...

Sekiranya kita perhatikan Al-Quran menekankan konsep berlumba-lumba bukannya bersaing.

Berlumba-lumbalah kamu dalam berbuat amal kebaikan.(Al-Baqarah:148)

Justeru itu kita perlu menekankan konsep berlumba-lumba iaitu setiap orang bersungguh-sungguh dalam mengerjakan amalan kebajikan demi mengharapkan keredhaanNYA.

Bersaing sebenarnya menunjukkan seolah-olah kita menggunakan parameter manusia dan membandingkan kala menang mahupun kalah.

Kan molek berlumba-lumba menghasilkan terbaik berbanding bersaing untuk melihat satu pihak menang atau kalah?

Jadi teruskan amalan berlumba-lumba demi kebaikan ummah :)