Kalaulah Kita Punya Hati dan Akal Fikiran


Testimoni anak seorang tahanan ISA

Nama saya Suhaib. Saya berusia 16 tahun. Ketika bapa saya, Mat Sah Satray ditahan di bawah ISA pada 18 April tahun 2002, saya berusia 8 tahun 5 bulan. Saya masih terlalu kecil dan tidak dapat mengingati semua peristiwa. Ketika itu saya sedang tidur, tetapi terjaga apabila beberapa orang polis masuk ke bilik tidur saya dan dengan kasar menyelak cadar, mengangkat hujung tilam, menarik rak baju, membuka serta menutup almari pakaian hingga mengeluarkan bunyi kuat yang membuatkan saya terjaga.

Umi, panggilan saya pada emak, mendukung saya dan diletakkan di sebelah abah yang ketika itu duduk di sofa di ruang tamu. Aku menoleh ke arah Abah dan nampak kedua-dua tangannya bergari. Aku menangis kerana terlalu takut melihat gari itu. Gambaran gari yang melengkar di kedua-dua belah tangan Abah amat sukar untuk hilang dari minda saya......

Agak lama juga polis menggeledah rumah kami. Seorang wanita sibuk menyoal Abah dan Umi bergilir-gilir dan kemudian menulis sesuatu di atas kertas. Manakala lima orang lelaki yang lain, sibuk membuka rak buku Abah, mengeluarkan Quran dan buku-buku agama serta menyelak-nyelak setiap muka surat dengan pantas. Saya tidak tahu, apa yang mereka cari. Tidak lama selepas itu, mereka membawa Abah masuk ke dalam van putih. Umi dukung saya dan kami berdua sempat melambai tangan kepada Abah. Sebaik sahaja van putih hilang dari pandangan, aku menangis lagi sambil memanggil-manggil Abah. Saya baring di riba Umi hingga tertidur...

Saya bagaikan melalui satu mimpi buruk di mana Abah dilarikan dari rumah oleh sekumpulan lelaki. Bila terjaga dari tidur, saya mencari Abah di semua bilik termasuk bilik air tetapi tidak ditemui. Saya mendapatkan Umi yang sedang membancuh minuman untuk bertanya tentang Abah, tetapi saya nampak Umi juga sedang menangis....

Saya asyik teringatkan Abah. Dari pagi saya tunggu Abah, tengah hari, hinggalah cuaca gelap dan masuk waktu maghrib, Abah masih juga belum pulang. Saya mula menangis kerana rindukan Abah... Ketika itu telefon rumah berdering, saya dan Umi berlari ke arah telefon tetapi apabila gagang diangkat, tiada siapa yang bercakap di hujung talian....

7 tahun telah berlalu

Peristiwa buruk itu telah berlalu tujuh tahun yang lalu, namun ianya sukar untuk hilang semuanya dari fikiran saya. Tujuh tahun lalu Abah saya dibawa pergi, hingga kini beliau tidak pernah balik ke rumah kami.

Pada tahun 2009 ini, maknanya hampir separuh usia saya membesar tanpa belaian kasih sayang, bimbingan dan sentuhan Abah walaupun beliau masih hidup. Saya membesar bertemankan barang-barang peribadinya seperti jam tangan, dompet, baju, seluar, kain pelikat dan buku-buku beliau. Saya sekadar mengikuti nasihat dan kata-kata beliau melalui surat-surat kirimannya. Jika rasa terlalu rindu padanya, saya akan pakai baju, seluar dan kain pelikat beliau. Saya letak gambar Abah di dompet duit bersebelahan dengan gambar saya.

Umi akan memastikan kami melawat Abah sekurang-kurangnya dua kali sebulan. Namun waktu lawatan selama 45 minit itu jauh dari mencukupi untuk Abah menghilangkan rindu, memberikan bimbingan, tunjuk ajar serta melepaskan kasih sayangnya kepada saya.

Satu peristiwa yang tidak dapat dilupakan ialah ketika lawatan pertama ke Kem pada 24 Jun 2002. Setelah hampir tiga minggu tidak melihat Abah sejak pertemuan terakhir di Bukit Aman, saya rasa terlalu rindu kepadanya. Kami berbual selama 45 minit dan di akhir pertemuan, Abah dibenarkan keluar dari bilik kurungan untuk bersalaman dengan saya dan Umi. Abah mengangkat, mendukung dan mencium saya berkali-kali. Saya terlalu rindukan Abah dan apabila warden bertugas menyuruh Abah masuk kembali ke bilik kurungan, saya menangis dan tidak mahu melepaskan pegangan pada lengan Abah...

Bagaikan binatang di zoo

Sejak hari pertama penahanan Abah hinggalah di saat ini, saya tidak pernah berpeluang mengerjakan solat dan membaca quran bersama beliau. Saya tidak mengharapkan duit belanja atau keluar membeli belah kerana memahami semua itu tidak mungkin dapat dilakukan bersama. Namun, satu perkara yang lebih memedihkan bermula pada bulan April 2005, kami keluarga tahanan hanya dibenarkan bertemu menggunakan interkom di sebalik dinding kaca lutsinar. Bila sahaja melihat Abah di sebalik cermin kaca, hati saya terasa hancur... Ketika itu, saya teringat binatang di zoo yang diletakkan di dalam kotak kaca. Apakah dosa dan kesalahan Abah diperlakukan sedemikian rupa. Sejak tarikh itu, setiap kali melawat Abah, saya hanya berpeluang bercakap melalui interkom dan duduk di sebalik kaca. Saya hanya dapat melihat wajah Abah, tetapi tidak dapat menyentuhnya...hati ini memang pedih yang teramat sangat.

Tujuh tahun saya dipisahkan dari Abah, namun tiada sebarang tanda beliau akan dibebaskan. Walaupun pada tahun 2009 ini ada dua pembebasan beramai-ramai yang mendapat tempat di dada media, namun nama Abah saya tiada dalam kedua-dua senarai pembebasan tersebut....

Perpisahan dengan Abah benar-benar membuat saya rasa rendah diri dan terpinggir. Saya terlalu ingin menjalani kehidupan harian bersama Abah. Saya ingin makan, berbual, bergurau senda dan melakukan pelbagai aktiviti harian bersamanya. Saya juga punya keinginan mempunyai keluarga yang lengkap, sama seperti orang lain.

Hingga kini saya tidak faham kenapa Abah saya, seorang yang pendiam dan mudah tersenyum, masih juga belum dibebaskan. Saya tidak tahu apakah sebenarnya kesalahan beliau kerana tahanan ISA lain yang ditahan bersama Abah tujuh tahun dulu, hampir semuanya telah pun dibebaskan... namun Abah masih tetap dikurung di Kem. Saya setuju dengan pendapat Umi bahawa Abah sepatutnya dibicarakan di mahkamah. Kalau benar ada bukti menyatakan dia salah, sekurang-kurangnya hakim akan menetapkan, bilakah tarikh akhir dia menjalani kehidupan sebagai banduan. Saya amat sedih mengenangkan kehidupan Abah dalam ketidakpastian selama tujuh tahun dan terus berlarutan.

Saya akan terus berdoa pada Allah supaya Abah segera dibebaskan...

*Testimoni ini ditulis oleh Suhaib Mat Sah, anak kepada tahanan ISA Mat Sah Satray. Mat Sah Satray ditahan sejak tahun 2002, dituduh terlibat dalam aktiviti Jemaah Islamiah, namun tidak pernah dibuktikan di mahkamah. Dipetik daripada blog merdekareview - azm

Walau Adakalanya Kita Terlupa

Ramai di antara kita sering lupa bahawa hampir semua yang berfaedah dalam hidup kita, tidak diperolehi secara mudah. Sebaliknya, kita perlu mempelajari, serta melalui tempoh-tempoh sukar sebelum menerima ganjarannya. Sebagai contoh, belajar berjalan adalah susah; jatuh, bangun, dan jatuh lagi. Tetapi akhirnya ramai yang boleh berjalan dan melakukannya dengan begitu mudah sekali.

Begitu juga dengan kemahiran-kemahiran lain seperti bersukan, bermain alat muzik, melukis dan sebagainya. Namun kita terlupa bahawa kesemua kemahiran itu dipelajari dengan susah pada awalnya.

Apabila seseorang mula mencuba sesuatu untuk kali pertama, biasanya, hasil yang diperolehi tidak begitu baik. Bagaimanapu ini tidak bermakna dia gagal atau bodoh. Cuma, dia perlukan masa untuk mempelajari melakukannya dengan lebih baik.

Sungguhpun begitu, kita akan terkejut dengan pelbagai reaksi orang apabila mereka kurang berjaya mempelajari sesuatu kemahiran baru.

Mereka berasa terkejut, marah, kecewa dan sebagainya. Mereka lupa bahawa 'bernasib baik' dalam percubaan pertama adalah satu kebetulan. Mereka tidak teringat bahawa sesuatu yang dilakukan buat kali pertama selalunya adalah sukar.

Maka apakah cara yang lebih positif apabila berhadapan dengan pelbagai kepayahan semasa mempelajari sesuatu yang baru? Kita perlulah mengambil sikap bahawa kita sepatutnya gagal pada permulaan. Begitulah cara sistem ini berjalan.

Kita seharusnya mencari kelembutan dalam proses itu, dan membina perasaan suka dengan turun naik proses tersebut. Kita perlu mengiktiraf kepayahan-kepayahan yang bakal dihadapi dan membinanya dalam tempoh masa dan usaha yang terancang. Walaupun ini kelihatan agak pesimis, tetapi mempunyai kesan yang baik pada masa hadapan. Merancang untuk menghadapi kesusahan akan menghapuskan emosi-emosi negatif dalam keadaan seumpama ini.

Terdapat beberapa keadaan lagi yang menyebabkan kita akan berhadapan dengan kepayahan pada mulanya. Hampir apa sahaja yang membabitkan perubahan adalah sukar diterima pada awalnya. Adalah mudah membuat keputusan untuk berubah, yang sukar ialah membuat perubahan dan kekal dengan perubahan itu. Kita sering ingin kembali kepada cara lama; kita tidak bersemangat, tidak selesa, poyo dan sebagainya.

Selain belajar menyukai proses perubahan dan mempelajari sesuatu yang baru, kita boleh menambah satu elemen lagi. Kita boleh mengkaji semula matlamat yang ingin dicapai, dan secara berterusan mengingatkan diri bahawa kesakitan yang dirasai hanya untuk sementara, tapi nikmatnya berkekalan.

Kita perlu menerima kesakitan dan kekecewaan tersebut, serta menghadapinya sedikit demi sedikit. Di samping itu mengingatkan diri agar terus bertahan, dan boleh berjaya. Kehidupan adalah satu siri detik yang perlu dilalui dengan jayanya.

Seperti yang dibincangkan sebelum ini, kita perlu menerima bahawa sesuatu yang baru adalah sukar untuk dipelajari pada awalnya. Pandangan 'negatif' ini boleh membantu, tetapi mesti diimbangi dengan pandangan positif mengenai keseluruhan projek.

Merancang, dan bersedialah untuk menghadapi masalah di awalnya, tetapi merancang dan jangkakan juga bahawa anda akan akhirnya dapat menguasai keadaan. Merancang mendapatkan hasil positif akan membantu kita memperoleh kesungguhan untuk berjaya.

Ingatlah jika kita harapkan sesuatu yang baik, kita lazimnya akan menerima sesuatu yang baik.

Menang ataupun Kalah Tidaklah Penting


Sejak kecil kita sudah diajar akan peri pentingnya menjadi orang berjaya. Kita juga diajar bahawa kejayaan itu serupa dengan kemenangan-orang yang menang adalah orang yang berjaya. Kita diberitahu bahawa orang yang kalah adalah orang yang gagal.

Untuk menang, kata mereka, kita mesti pandai bersaing dan berlawan. Supaya kita pandai bersaing, kita digalakkan memasuki bermacam-macam perlawanan, pertandingan dan persaingan. Di dalam semua itu, kita diajar cara-cara menang dengan mengalahkan peserta-peserta lain.

Menang menjadi perkara yang sangat penting. Kita diberi motivasi supaya sanggup bertungkus-lumus demi mencapai kemenangan di dalam bilik darjah, di padang sukan dan di dalam pelbagai pertandingan.

Kita diajar bahawa hanya ada satu jalan untuk menang, iaitu dengan cara mengalahkan orang lain. Kita diberitahu, semakin tinggi semangat persaingan kita, semakin besar harapan kita dapat mencapai kemenangan. Semakin kita pandai mengalahkan orang lain, semakin besar peluang kita untuk berjaya. Kita diajar bahawa kemenangan bererti kejayaan; kekalahan bererti kegagalan.

Kita diberitahu bahawa belajar bersaing sejak kecil adalah bagus, kerana ia menyediakan kita untuk pandai bersaing apabila dewasa nanti. Demi kejayaan, kita mesti menang. Kita tidak diberitahu bahawa cara berfikir yang begitu adalah cara berfikir kaki sukan, kaki politik dan kaki lawan.

Pemikiran kaki-kaki lawan disebut pemikiran samaada "menang atau kalah". Pelbagai sukan dan pertandingan memang terdiri daripada jenis persaingan menang-atau-kalah. Tetapi harus diingat, kehidupan di luar sukan dan pertandingan i.e hidup ini bukan persaingan menang atau kalah.

Kita mungkin berfikir bahawa bila ada orang menang maka akan ada orang yang kalah. Bila ada orang yang berjaya, nescaya ada pula orang yang gagal. Ini asas semangat kompetitif atau suka berlawan. Supaya kita boleh hidup, kekal berkuasa dan orang lain mesti mati. Supaya kita untung dan kaya raya, orang lain mesti rugi dan miskin papa kedana.

Sebenarnya dalam hubungan kita sesama manusia, tidak ada sama sekali persaingan menang-ataupun-kalah. Perkahwinan, persahabatan dan kekeluargaan tidak seperti persaingan menang-ataupun-kalah. Semua orang yang terlibat boleh sama-sama menang. Untuk berjaya kita tidak perlu mengalahkan orang lain. Kita boleh sama-sama berjaya..suksess! (,")

Melayu dan Hantu Itu Sangat Takut, Cikgu


Apabila dalam keadaan terdesak maka kita gunakan senjata yang paling ampuh iaitu perkauman. Walaupun negara kita sudah bersunat 52 tahun yang lalu, namun kita lihat ada yang masih lagi berprasangka dan memainkan api perkauman sesama kita. Terbukti perkauman senjata yang paling berkesan untuk membangkitkan semangat kebangsaan. Ia samalah kita takut dengan hantu. Ini bukan cerita hantu dalam drama bersiri TV3 Keliwoon. Ini drama spastik yang tiada nilai pembangunan daya fikir umat 1Malaysia. Bila ketakutan ini menjelma maka warga akan mencari tempat berlindung. Disitulah kita akan lihat hero-hero mula menjadi Shah Rukh Khan dan Nasir Bilal Khan.

Selama ini kita memupuk perpaduan dan kesatuan warga melalui Sekolah Integrasi dan Sekolah Wawasan. Pada anak-anak kecil kita ajar mereka untuk bersatu-padu, harmoni dan pandai bergaul sesama bangsa Malaysia. Ini rupanya cuma retorik orang tua. Golongan old-tai ini hakikatnya tidak pernah menunjukkan contoh yang baik kepada anak-anak kecil. Dalam kehidupan sebenar mereka bertopengkan bangsa dan mempunyai hasad dan dendam kepada warga tak sebangsa dengannya. Mengapa ini semua terjadi?

Kita mungkin bersatu dalam soal kepentingan ekonomi kerana wang ini buta bangsa. Tidak kira samaada kita gelap, cerah atau sawo matang kita akan bersatu dalam soal wang. Wang adalah tuhan baru sembahan manusia yang tidak pernah memikirkan anak siapakah yang tidak mampu makan nasi dalam sebulan tapi hanya makan siput babi. Kapitalis ini tidak pernah terlintas untuk melakukan kebajikan masyarakat. Keuntungan maksima adalah matlamat utama. Oleh itu kita tidak hairan melihat ketidakstabilan emosi para penguasa. Ungkapan 'Cina Bodoh 'tidak akan terjelma jika kita memahami hakikat bahawa kita adalah manusia dari baka yang sama.

Politik dan Pembunuhan, Malaysia Boleh


Lupakan apa yang berlaku pada Teoh Beng Hock. Hakikatnya anak muda ini telah mati. Kita yang hidup perlu bermuhasabah kembali melihat diri. Dunia apakah yang kita tinggal dan duduki hari ini. Politik jenis apakah yang menjadi amalan pemimpin daulah kita ketika ini. Sudahkah kita hilang akal berpolitik gilakan kuasa sehingga tahap menyiasat hingga terbunuh dan membunuh. Benarkah ketika ini kita tinggal di sebuah negara bernama Malaysia. Atau sebenarnya kita tinggal The New Mexico. Persoalan ini menjadi kerisauan warga melihat suasana yang berlaku dalam negara kita hari ini.

Peristiwa Memali, rampasan kuasa kerajaan Perak dan tragedi Teoh adalah manifestasi manusia yang hilang akal dan belas kasihan terhadap sesama manusia. Manusia menjadi gila dan bengong hanya kerana hilang kuasa dan ingin terus berkuasa. Manusia sudah hilang pertimbangan akal waras untuk menerima hakikat bahawa dunia ini hanya kita tumpang sebentar saja. Berprasangka untuk hidup selama-lamanya itulah mendorong membina rumah agam 24 juta. Berprasangka untuk menikmati kemewahan melampau itulah yang mendorong untuk terlibat rasuah membina pelabuhan berjuta billion. Kita lupa ada orang lain yang susah menderita.

Perasaan warga hari ini tidak tenang apabila kita tidak melihat pertandingan di padang yang rata. Sistem kehakiman dan prosedur undang-undang dipersoalkan ketelusannya. Apakah sebenarnya niat dan tujuan untuk menyiasat sehingga jam 3 pagi sedangkan waktu siang cukup panjang. Mengapa mendera dan menyiksa sewaktu penyiasatan sedangkan warga itu mungkin tidak bersalah bahkan tiada bebanan kesalahan sehingga didakwa dan dibuktikan bersalah. Kita terlupa bahawa itulah lumrah politik. Bersedia untuk berkorban dan terkorban.

Sewaktu Amerika hilang arah tujuan dan punca kuasa besar dunia itu mengebom Hiroshima dan Nagasaki. Ketika hasil mahsul minyak berkurangan dan inginkan sumber bahan api terus disalurkan untuk peperangan maka sekali lagi US melepaskan tekanan itu dengan menyerang Iraq dan Afghanistan. Pembunuhan dan peperangan adalah jalan akhir atau the ultimate solution bagi sesuatu masalah. Bila bangkai gajah tak dapat ditutup dengan tudung saji maka di cerekaramakan cerita bahawa gajah mati meminum racun.

Cukuplah wahai ahli politik. Bermainlah di atas pentas yang rata dan saksama. Yang salah tetap salah dan yang betul tetap betul. Warga hanya mahukan kehidupan yang aman dan meneruskan kegiatan ekonomi asasi dengan sempurna. Cukuplah dengan salahguna kuasa, rasuah dan penyelewangan untuk terus menjunjung takhta. Siasatlah dengan adil dan telus apa dan siapa yang menyebabkan kematian Teoh. Jika di dunia ini kita boleh lari di negeri sana nanti kita tidak boleh lari. Keadilan bukan milik PKR, PAS, DAP atau UMNO. Keadilan adalah hak milik setiap insan yang hidup bernafas di atas muka bumi Tuhan ini.

Di Mana JambatanKu Di Mana Jamban-tanKu


Pilihanraya sudah selesai tapi agenda pencerahan belum selesai. Suka atau tidak kita perlu menerima hakikat bahawa kita hidup dalam sistem demokrasi. Kita perlu memilih dan membuat pilihan. Kita perlu menerima hakikat bahawa demokrasi memenangkan sesiapa sahaja yang memperolehi yang terbanyak meskipun berkelebihan 1undi. Sungguhpun begitu pokok dasarnya di sini bukan sahaja pada kemenangan atau kekalahan, tetapi apakah ia bermakna untuk 1perubahan.

Berfikir dan merenung tentang umat Melayu dan anak muda mencetuskan jiwa kacau. Hakikat sebenar terlalu banyak kelompangan dan kelemahan yang berlaku di sekeliling kita. Sungguh tidak semua berkaitan dengan tanggungjawab dan peranan daulah, namun warga mesti sedar agar tidak dipropaganda selamanya oleh Sang Penguasa. Membina jambatan dari Kuala Krai ke Kuala Johol adalah satu usaha yang murni.

Persoalannya adakah di zaman UberTwitter ini jambatan menjadi kayu ukur utama kemajuan? Adakah jambatan ini dibina hasil pengorbanan Sang Puteri yang kehilangan giginya. Sungguh tidak menyangka warga menolak untuk menjadi anak emas sedangkan emas sudah penuh di lengan dan keting. Jika saya sudah lama saya menerima lamaran untuk menjadi saudagar emas.

Manek Urai adalah manifestasi umat melayu yang semakin matang dan celik bersiasah. Bukan kemenangan atau kekalahan yang dilihat. Kita cuma memerhati dan merayakan pesta keamaatan dan kebebasan memilih di negara kita. Akhirnya anak-anak muda jua menjadi penentu samaada mahukan penaiga ikan atau bekas pegawai daulah. Demikianlah ceritanya..

Sayang Natrah tidak sempat belajar PPSMI


Kehidupan perlu diteruskan walau apa jua halangan. Melihat sesuatu yang datang sebagai peluang. Setiap saat setiap detik kita berhadapan dengan pilihan. Samaada kita memilih yang baik atau yang buruk, itu semua sebab tindakan kita. Berundur semula selepas belajar Math dan Sains dalam Bahasa Inggeris tidak akan mampu menghapuskan kemiskinan tegar dalam negara. Warga tetap hidup dalam keadaan tersiksa dan sengsara. Survival kehidupan mesti diteruskan meskipun dengan cara dan kaedah yang salah. Kes kecurian dan samun berligar disekeliling kita.

Mengapa kita tidak melihat isu ini untuk kita kembali berusaha membina cita-cita. Cukupkah belajar Sains dan Math dalam Bahasa Inggeris untuk kita meneroka dunia perniagaan yang semakin luas dan glokal. Apakah suatu hari nanti kita tidak perlu lagi membina kapal selam di Torlouse. Apakah suatu hari nanti kita tidak perlu membeli Sukhoi second-hand dari Rusia. Apakah suatu hari nanti kita tidak perlu untuk menumpang kapal angkasa milik Vladimir Putin.

Sayang sekali Natrah telah pergi meninggalkan kita tanpa sempat belajar PPSMI. Kita umur Natrah masih panjang sudah tentu dia berminat untuk datang ke Malaysia belajar bagaimana menjadi doktor gigi yang berjaya. Sudah tentu dia akan jadi kaya raya kerana gaji doktor gigi sangat lumayan ketika ini. Ingin saja saya meminta Tan Sri Muhyiddin menangguhkan dahulu keputusan memansuhkan PPSMI pada tahun 2012. Maka dengan itu tidak sempatlah generasi saya untuk menghayati falsafah PPSMI.

Kepada sesiapa yang melahirkan anak di saat ini boleh menamakannya sebagai flip-flop. Ianya mudah untuk disebut berbanding Michael Jackson ataupun Janet Jackson. Akhirnya kita terpaksa menerima hakikat bahawa tak semua yang kita yakini itu betul. Warga sudah mula berfikir dan menilai. Kita berdoa semoga hari ini lebih baik dari semalam.

Dilema Manek Urai dan Anak Felda


Habis berpilihanraya tidak bermakna segala-galanya telah selesai. Masih banyak lagi tugas dan tanggungjawab kita. Kemenangan di pihak mana pun tidak akan mampu untuk menyelesaikan masalah kegawatan ekonomi umat. Anak-anak muda di Manek Urai Lama mengharapkan pembaharuan. Kehidupan ini selamanya dilihat sebagai satu cabaran dan halangan yang perlu ditempuhi bersama. Daulah perlu menjadi pemudah cara kepada permasalahan asas warga. Pemerintah yang baik prihatin dan mesra rakyat jelata.

"Varsity education is more than just getting a degree". Kata-kata ini menjadi motivasi kepada saya sejak dulu. Menginsafi bahawa ijazah hanyalah sekeping kertas fatamorgana yang tidak mampu membawa apa-apa perubahan kepada warga Palong. Anak-anak kecil di rancangan tidak peduli setinggi mana ilmu dan pelajaran kita. Yang penting bagi mereka adalah kita turun untuk memberi inspirasi kepada mereka. Retorik tidak penting bagi mereka.

Karier, pangkat dan kedudukan bukanlah satu matlamat atau objektif yang ingin diburu. Lebih penting untuk kita tumpukan kepada usaha dan pembangunan kepakaran. Sudah pasti ini memerlukan ilmu dan kesungguhan. Pedulikan apa yang berlaku pada isteri Rosmah yang melupakan Kg.Mertang di Seri Menanti. Ini semua tiada kaitan dengan perjuangan anak muda.

Kita dirantai dengan segala permasalahan dan kerumitan dalam melakukan perubahan. Anak-anak muda rimas dengan kata-kata pemimpin yang berfalsafah 'kita akan' dan memakai baju batik lengan panjang. Masalah ekonomi, tanah dan penempatan di Kg. Buah pala adalah buktinya. Tanah mereka dilabon oleh daulah untuk pembangunan kondominium mewah milik Sang Kapitalis. Warga yang lemah dan miskin hanya layak untuk tinggal di bawah jambatan. Bagi mereka itulah rumah dan itulah jamban.

Isunya bukan siapa yang bertanggungjawab. Isu pokoknya adalah apakah tindakan mereka yang bertanggungjawab. Warga mahu kehendak asasi hidup mereka dipenuhi. Air, api, rumah kediaman adalah keperluan asasi yang mesti diberikan secara percuma dan bukan untuk di milik negarakan. Sejak bila angin dan udara dijadikan hak milik daulah lalu ditekan kepada rakyat untuk membayarnya. Jika Michael Jackson masih hidup tentu tidak percaya akan ini semua.

Cepatlah membesar wahai anak-anak kecil. Kelak kau akan lihat dunia ini terlalu ganas dan menyiksa.

Invest Malaysia, Makcik Felda dan Glokal


Saya sedang mencari buku ini. Saya ingin mengkaji apa itu liberalisasi ekonomi. Adakah ekonomi itu akan menjadi seperti Islam Liberal. Apakah kesannya kepada Pak Uda yang berniaga goreng pisang atau Mak Teh pemilik gerai nasi lemak tepi jalan di Seremban Jaya. Apakah bila ekonomi menjadi liberal maka anak-anak muda akan ditawarkan jawatan CEO di syarikat multinasional yang bertapak di Malaysia. Saya pasti ini semua tiada apa-apa kaitan dengan apa yang berlaku pada puaka di Universiti Malaya.

Penyenaraian Felda di Bursa Malaysia sudah pasti akan menguntungkan makcik Felda. Selepas ini Giant, Carrefour dan MidValley FeldaMall akan dibuka. Tidak perlulah makcik Felda pergi ke kedai D'Mart lagi. Tiada lagi masalah pengangkutan awam di Felda kerana LRT akan menghubungkan Felda Chemomoi hingga ke Felda Taib Andak. Saya pasti syarikat towkey CityLiner akan gulung tikar selepas ini. Ini semua kesan daripada liberalisasi ekonomi. Kita sudah menjadi Glokal. Terima kasih diucapkan kepada Perdana Menteri kita.

Menyusuri jalanraya kita melihat masih ramai lagi anak muda yang tidak memiliki pekerjaan. Baru-baru ini ada berita bagaimana warga dikurung oleh AhLong. Mereka dikurung bukan kerana main nyorok-nyorok seperti zaman kecik-kecik dahulu. Mereka dikurung kerana sistem ekonomi yang kita ada hari ini. Mereka terpaksa meminjam untuk survival hidup. Demi kehidupan mereka bertarung dalam ekonomi kapitalis yang mencengkam dan mengamalkan riba'. Ringgit dan Dolar menjadi berhala sembahan manusia baru. Kaum pemodal terus mencengkam warga agar tunduk kepada riba' dan judi. Invest Malaysia tidak akan mampu menyelesaikan masalah anak muda yang dibebani riba' PTPTN.

Cukuplah slogan dan nama-nama canggih yang berselirat dan berligar di sekeliling kita. Secanggih dan sehebat manapun namanya i.e Invest Malaysia, Glokal dan Global, jika masalah asasi warga tidak diselesaikan maka kita akan berpusing di dalam kolam busuk yang sama. Sistem ekonomi Islam perlu berubah dengan lebih berpusat kepada keperluan rakyat. Mansuhkan caj perkhidmatan yang tinggi. Hapuskan rasuah dan penyelewengan. Biarkan warga mendapat akses maklumat setiap projek mega yang dijalankan oleh daulah. Sibuk membina jambatan ke Singapura tidak akan menyelesaikan masalah warga Kg Buah Pala yang kehilangan tanah untuk hidup. Ia juga tidak menyelesaikan masalah warga yang suka makan babi di Kedah.