HARI MALAYSIA, VEVEONAH DAN MUDA


Politics is a rich man's game - Muzaffar Tate

Tinggal lebih kurang 10 hari lagi sebelum Pilihanraya Negeri (PRN) Sabah ke-16 akan berlaku. Tarikh 26 September 2020 adalah tarikh yang akan menentukan kepimpinan baru Negeri Sabah. Sebanyak 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) akan dipertandingkan dengan 447 calon telah disahkan bertanding bagi siri ke-16 Pilihanraya Negeri. Ini adalah hasil pembubaran DUN Sabah oleh Mohd Shafie Apdal. 

Pilihanraya Negeri Sabah ini adalah penting bagi menentukan adakah Mohd Shafie Apdal mampu membuktikan sokongan rakyat Sabah kepada Parti Warisan Sabah. Adakah parti Warisan benar-benar akan membela dan mengubah nasib warga negeri Malaysia Timur itu. Adakah parti Warisan mampu membawa Sabah maju dan moden seperti ibukota Kuala Lumpur. Adakah parti Warisan akan menjadi Negeri Bawah Bayu itu bebas daripada rasuah, kleptokrasi dan penyalahgunaan kuasa sepertimana kerajaan 'lama' terdahulu. Semuanya akan ditentukan pada tarikh 26 September 2020 nanti. 

Pilihanraya adalah manifestasi suara rakyat dan perubahan yang diinginkan oleh rakyat. Melalui acara inilah rakyat akan melihat para pemimpin berlabon melalui siri-siri ceramah dan kempen politik. Melalui platform politik ini maka rakyat akan melihat pemimpin politik menjadi 'hamba' kepada rakyat. Rumah-rumah kayu, pangkin kayu dan dapur rakyat akan dihinggapi oleh pemimpin politik yang jarang kita temui sekiranya tiada pilihanraya. Kebiasaannya jika tiada pilihanraya para pemimpin politik ini kita boleh jumpai di lobi hotel The Majestic atau Seri Pacific. Biasanya jika tiada pilihanraya pemimpin-pemimpin politik ini kita jumpai di lobi-lobi Parlimen. Biasanya jika tiada pilihanraya pemimpin politik ini boleh kita jumpai di The Vegas Club, New York Club atau Havana Club. 

Kita sudah dihujung tahun 2020 tetapi kita masih lagi bercerita tentang hak asas keperluan rakyat. Keperluan hidup rakyat yang paling asas iaitu air, api, internet dan jalanraya masih lagi menjadi persoalan yang tiada penghujung. Bukan mudah menjadi pemimpin dan bukan mudah juga menjadi rakyat yang mengundi pemimpin. Pemimpin bukan saja perlu memikir tentang masalah rakyat tapi masa depan survival politik akan datang. Politik berteraskan khidmat tetap menjadi pilihan. Pemimpin kaya yang sombong dan bongkak lagi tidak mesra anak muda harus ditolak jauh-jauh. Pemimpin muka mat rempit, kuat berlebong dan muka hisap gam eloklah diganti dengan calon anak muda yang profesional dan penuh dengan idea perubahan. Sampai bila warga FELDA ingin ditipu dan terus ditipu dengan momokan stereotaip dan birokrasi politik yang menebal. Sampai bila anak-anak warga pedalaman Sabah seperti Veveonah ingin dilihat penting hanya apabila isu akses kepada rangkaian data mobile menjadi viral. Isu-isu asas sebegini perlu diberi prioriti, diutamakan dan didahulukan terlebih dahulu berbanding dengan menara pencakar langit TRX, PNB 118 dan Tower M. 

Menjelang beberapa bulan lagi tahun 2020 bakal berlalu maka sudah tiba masanya anak-anak muda bersedia untuk mengambil alih negara. Kita tidak boleh lagi duduk berdiam diri dan berada di belakang tabir membodek dan memuja pemimpin bahagian. Kita tidak harus menyimpan dan membiarkan idea menjadi idea. Idea mesti bertukar menjadi realiti dan tampak tangible. Idea mesti dilaksanakan dan diimplimentasikan dengan menghasilkan impak yang tinggi. Kita tidak perlu Parti Anak Muda untuk membuat atau melakukan semua ini. Kita akan perlu membuat sesuatu secara sekata, bersama dan terus bekerja. Bekerja dan bekerja sehingga kita melihat perubahan itu berlaku. Zaman untuk kita melihat sahaja pemimpin telah berakhir dan berlalu. Kini zaman Tik Tok, PUBG dan Mobile Legend. Kini zaman perubahan kita buat di Twitter dan Instagram Live. Zaman ini adalah zaman untuk kita melihat perubahan secara total dan serta merta. Maka kita perlu cepat berubah dan berevolusi jangan jadi macam handphone Nokia atau Sony Ericson. Kita mesti bergerak ke hadapan, laju dan pantas. 

Lupakan untuk menjadi kaya. Lupakan untuk membeli kereta Mercedes atau Vellfire. Lupakan untuk kita hidup mewah sehingga jiran kita sebelah hidup dengan makan ikan masin berlauk kicap. Zaman untuk hidup susah telah berlalu kerana zaman ini adalah zaman untuk kita menumpukan kepada perkara asas. Kita cuma perlu hidup untuk makan dan kerja. Kita cuma perlu hidup untuk melihat proses pendewasaan itu berlaku tanpa halangan dan domba politik. Kita cuma perlu akses internet dan handphone Oppo untuk update status IG dan Facebook. Kita cuma perlu balik ke kampung dan melihat wajah ibu dan ayah kita. Perubahan tidak akan berlaku jika kita takut untuk membawa pencerahan. Cara untuk kita menghadapi takut adalah dengan melawan rasa takut. Cara untuk kita berani adalah tidak takutkan mati. Kegagalan adalah asas kepada kejayaan.