KRISIS POLITIK PERAK DAN WAWASAN 2020


 "Wonder why people climb a mountain when it is safer to sleep at home" 

Hari ini adalah hari ke-11 dalam bulan Disember 2020. Tahun 2020 adalah tahun yang sangat mencabar dan mengujakan. Tahun di mana kita diuji dengan pandemik New-Coronavirus 2019. Tahun di mana kita berkurung dan berkhalwat dalam rumah selama lebih 6 bulan. Kita tidak dapat bekerja dan berjalan sepertimana biasa. Norma baru mesti digunapakai dan diamalkan. Kita diwajibkan memakai pelitup muka, menjaga jarak 1 meter dan sentiasa menjaga kebersihan tangan (sanitizer). Virus korona yang menggegar satu dunia telah menyebabkan iklim dan norma kita berubah. Hebat virus yang berpunca dari Wuhan China ini sehingga ramai warga dunia telah wafat dan meninggal dunia. Al-Fatihah. 

Menelusuri perjalanan kehidupan kita tidak boleh terus menerus merenung nasib tanpa merubah sesuatu. Hidup wajib berubah dan berevolusi. Kita perlu berjalan ke hadapan dan lebih maju. Kita perlu melakukan perubahan dengan daya dan upaya kita sendiri. Pendita Za'ba pernah berkata bahawa perangai yang paling bagus bagi orang Melayu adalah perangai bergantung pada diri sendiri. Bergantung pada diri sendiri ini bermaksud kita independen, bebas dan memiliki daya untuk melakukan sesuatu pekerjaan itu secara sendiri. Tidak perlu orang lain. Tidak perlu kabel. Tidak perlu line politik. Tidak perlu join Armada atau Pejuang Muda. Tidak perlu jadi Setiausaha Politik Kementerian. Khalas.

Maka kita perlu bermuhasabah dan menganalisa matlamat dan impian kita. Persistence is the key. Kita perlu berani dan terus bersabar. Terus berfikir dan bergerak. Bergerak ke arah matlamat dan impian kita. Kita tidak perlu melihat ke belakang melihat kegagalan dan kesilapan yang lalu. Tidak perlu menangisi dan meratap kekalahan yang telah berlaku. Gagal 7 kali kita bangkit 8 kali. Kalah sekali bukan kalah selama-lamanya. Kita belajar dan tingkatkan kemahiran. Tajamkan skills dan kemahiran. Perkemaskan hujahan dan input pengetahuan juga pengalaman. Terus lalui kehidupan yang mencabar dan memuncak ini. Mana ada orang menang pilihanraya terus jadi hebat. Mana ada orang kawen terus dapat anak. Setiap sesuatu perkara itu perlukan masa untuk berubah. Kita bukan ahli silap mata atau Magic Man. Kita bukan Superman atau Ultraman. Wawasan 2020 akhirnya kita kena duduk di rumah 24 jam sehari. 

Masa depan anak-anak muda Malaysia di tangan kita. Kita adalah agen perubah. Kita adalah dinamo kepada perubahan. Steve Jobs pernah bermadah bahawa apa yang kita fikirkan tentang kita itulah kita. Kita adalah apa yang kita fikirkan. Kita fikirkan jutawan dan billionaire kita akan jadi jutawan dan billionaire. Kita nak rumah besar kita akan dapat rumah besar. Mindset yang betul adalah penting untuk kita berjaya. Kita mesti berfikir positif dan terus bergerak ke depan. Kita tidak boleh mundur ke belakang. Kita tidak perlu layan orang yang miskin dan lembap. Kita tidak perlu layan orang yang menarik kaki kita untuk gagal dengan bagi kita gaji 5 ribu dan lupakan mimpi kita. Kita tidak perlu biarkan diri kita menari ikut rentak orang yang berniat untuk kita melupakan impian untuk jadi kaya. Justeru kita perlu terus komited dan fokus kepada perubahan. Ambil peluang dan jangan jadi Sabtu. 

Menjadi peguam atau tidak bukanlah sesuatu yang material. Peguam bukan Peguam. Bukan ustaz bukan peguam. Peguam kriminal atau sivil tidak lagi menjadi fokus utama kita. Paling penting adalah pengetahuan dan kepakaran. Paling penting adalah wawasan masa depan. Wawasan utama kita adalah untuk membebaskan negara kita dari ancaman kapitalis moron. Tidak perlu join PAS untuk jadi mahir dalam agama. Tidak perlu join DAP untuk belajar ekonomi sosial dan demokratik. Tidak perlu masuk Bersatu untuk kita menyatukan rakyat.Penyatuan kita adalah pada ikatan hati dan pemikiran. Kita mesti terus berfikir di luar kotak. Kita mesti belajar untuk menerima sesuatu keadaan dan bersyukur. Kehidupan perlu rileks, santai dan tidak terburu-buru. Hidup mesti terus belajar menerima perubahan. 

Jangan risau tentang gagal. Risaukan apa yang kita tidak dapat sebab takut mencuba. Takut melanggar ketakutan. Percayalah apa yang boleh kita fikirkan maka ianya boleh kita wujudkan. Hidup adalah apa yang terjadi pada kita ketika kita buat perancangan. Perancangan kita begini tetapi ianya jadi sebaliknya. Kita hidup kerana ada tugas besar. Tugas besar kita adalah untuk selesaikan tugas. Semua yang mahu ianya wujud di sebalik dinding. Langgar saja dinding itu. Pedulikan kesakitan dan keperitan. Air yang jatuh dari gunung tidak pernah fikir dirinya jatuh. Sebaliknya air bangun menjadi sungai yang ganas lagi ampuh. Kita bersedia untuk belajar, berperang, gagal dan jatuh. For things to change we must change first. We are human being. Belajarlah politik kerana politik ini adalah seni segala kemungkinan.

HARI MALAYSIA, VEVEONAH DAN MUDA


Politics is a rich man's game - Muzaffar Tate

Tinggal lebih kurang 10 hari lagi sebelum Pilihanraya Negeri (PRN) Sabah ke-16 akan berlaku. Tarikh 26 September 2020 adalah tarikh yang akan menentukan kepimpinan baru Negeri Sabah. Sebanyak 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) akan dipertandingkan dengan 447 calon telah disahkan bertanding bagi siri ke-16 Pilihanraya Negeri. Ini adalah hasil pembubaran DUN Sabah oleh Mohd Shafie Apdal. 

Pilihanraya Negeri Sabah ini adalah penting bagi menentukan adakah Mohd Shafie Apdal mampu membuktikan sokongan rakyat Sabah kepada Parti Warisan Sabah. Adakah parti Warisan benar-benar akan membela dan mengubah nasib warga negeri Malaysia Timur itu. Adakah parti Warisan mampu membawa Sabah maju dan moden seperti ibukota Kuala Lumpur. Adakah parti Warisan akan menjadi Negeri Bawah Bayu itu bebas daripada rasuah, kleptokrasi dan penyalahgunaan kuasa sepertimana kerajaan 'lama' terdahulu. Semuanya akan ditentukan pada tarikh 26 September 2020 nanti. 

Pilihanraya adalah manifestasi suara rakyat dan perubahan yang diinginkan oleh rakyat. Melalui acara inilah rakyat akan melihat para pemimpin berlabon melalui siri-siri ceramah dan kempen politik. Melalui platform politik ini maka rakyat akan melihat pemimpin politik menjadi 'hamba' kepada rakyat. Rumah-rumah kayu, pangkin kayu dan dapur rakyat akan dihinggapi oleh pemimpin politik yang jarang kita temui sekiranya tiada pilihanraya. Kebiasaannya jika tiada pilihanraya para pemimpin politik ini kita boleh jumpai di lobi hotel The Majestic atau Seri Pacific. Biasanya jika tiada pilihanraya pemimpin-pemimpin politik ini kita jumpai di lobi-lobi Parlimen. Biasanya jika tiada pilihanraya pemimpin politik ini boleh kita jumpai di The Vegas Club, New York Club atau Havana Club. 

Kita sudah dihujung tahun 2020 tetapi kita masih lagi bercerita tentang hak asas keperluan rakyat. Keperluan hidup rakyat yang paling asas iaitu air, api, internet dan jalanraya masih lagi menjadi persoalan yang tiada penghujung. Bukan mudah menjadi pemimpin dan bukan mudah juga menjadi rakyat yang mengundi pemimpin. Pemimpin bukan saja perlu memikir tentang masalah rakyat tapi masa depan survival politik akan datang. Politik berteraskan khidmat tetap menjadi pilihan. Pemimpin kaya yang sombong dan bongkak lagi tidak mesra anak muda harus ditolak jauh-jauh. Pemimpin muka mat rempit, kuat berlebong dan muka hisap gam eloklah diganti dengan calon anak muda yang profesional dan penuh dengan idea perubahan. Sampai bila warga FELDA ingin ditipu dan terus ditipu dengan momokan stereotaip dan birokrasi politik yang menebal. Sampai bila anak-anak warga pedalaman Sabah seperti Veveonah ingin dilihat penting hanya apabila isu akses kepada rangkaian data mobile menjadi viral. Isu-isu asas sebegini perlu diberi prioriti, diutamakan dan didahulukan terlebih dahulu berbanding dengan menara pencakar langit TRX, PNB 118 dan Tower M. 

Menjelang beberapa bulan lagi tahun 2020 bakal berlalu maka sudah tiba masanya anak-anak muda bersedia untuk mengambil alih negara. Kita tidak boleh lagi duduk berdiam diri dan berada di belakang tabir membodek dan memuja pemimpin bahagian. Kita tidak harus menyimpan dan membiarkan idea menjadi idea. Idea mesti bertukar menjadi realiti dan tampak tangible. Idea mesti dilaksanakan dan diimplimentasikan dengan menghasilkan impak yang tinggi. Kita tidak perlu Parti Anak Muda untuk membuat atau melakukan semua ini. Kita akan perlu membuat sesuatu secara sekata, bersama dan terus bekerja. Bekerja dan bekerja sehingga kita melihat perubahan itu berlaku. Zaman untuk kita melihat sahaja pemimpin telah berakhir dan berlalu. Kini zaman Tik Tok, PUBG dan Mobile Legend. Kini zaman perubahan kita buat di Twitter dan Instagram Live. Zaman ini adalah zaman untuk kita melihat perubahan secara total dan serta merta. Maka kita perlu cepat berubah dan berevolusi jangan jadi macam handphone Nokia atau Sony Ericson. Kita mesti bergerak ke hadapan, laju dan pantas. 

Lupakan untuk menjadi kaya. Lupakan untuk membeli kereta Mercedes atau Vellfire. Lupakan untuk kita hidup mewah sehingga jiran kita sebelah hidup dengan makan ikan masin berlauk kicap. Zaman untuk hidup susah telah berlalu kerana zaman ini adalah zaman untuk kita menumpukan kepada perkara asas. Kita cuma perlu hidup untuk makan dan kerja. Kita cuma perlu hidup untuk melihat proses pendewasaan itu berlaku tanpa halangan dan domba politik. Kita cuma perlu akses internet dan handphone Oppo untuk update status IG dan Facebook. Kita cuma perlu balik ke kampung dan melihat wajah ibu dan ayah kita. Perubahan tidak akan berlaku jika kita takut untuk membawa pencerahan. Cara untuk kita menghadapi takut adalah dengan melawan rasa takut. Cara untuk kita berani adalah tidak takutkan mati. Kegagalan adalah asas kepada kejayaan. 

CORONAVIRUS AND WORLD WAR III


Hari ini hari ke-76 sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan. Malaysia dalam transisi norma baru dan fasa pemulihan daripada wabak pandemik yang mengancam seluruh dunia ini. Setakat hari ini 01 Jun 2020 seramai 371,000 warga dunia telah menjadi korban COVID-19. Kes positif pula telah mencapai sebanyak 6.13 juta yang telah dijangkiti. Statistik WHO mengatakan bahawa dalam tempoh 24 jam, terdapat pertambahan lebih 100,000 kes positif di seluruh dunia. Ini bermakna virus covid ini masih belum terhapus sepenuhnya. Ia masih merebak dan menjangkiti warga dunia. Mungkin ia mensasarkan lebih separuh warga dunia untuk dijangkiti virus new-corona ini. 

Melihat kepada iklim politik Malaysia kini yang sama panasnya dengan ancaman virus covid. Warga khususnya anak-anak muda terkesan teruk dengan ancaman wabak ini. Statistik menunjukkan kemungkinan 30,000 - 50,000 warga akan kehilangan kerja. Separuh atau lebih daripada jumlah ini mungkin melibatkan anak-anak muda. Masa depan anak-anak muda ini diancam kerana kegawatan ekonomi yang bakal melanda. Industri yang teruk terkesan tentunya industri perkhidmatan dan pembuatan yang banyak mengguna pakai tenaga anak-anak muda. Anak muda tidak dapat lari daripada situasi ini melainkan dengan membuka minda dan menceburi industri kreatif dan digital tanpa perlu bertemu dengan ramai orang. Maka industri yang paling relevan tentulah industri di alam maya atau gig-economy yang duit tetap berjalan tanpa perlu bersusah payah berjumpa dengan orang. 

Perancangan masa depan perlu digerakkan dan sumber ekonomi dan networking perlu terus diperkasakan. Hidup tidak boleh terus bergantung dengan orang lain tetapi untuk maju kita memerlukan dokongan dan bantuan orang. Hidup tanpa motivasi umpama sampan yang tiada pendayung membidik ke laut lepas. Akhirnya anak muda itu akan lemas dan terkapai di tengah lautan ganas. Maka kita mesti berusaha untuk hidup dan terus survive hatta apapun cabaran yang mendatang. Kita tidak boleh terus menyalahkan kerajaan Perikatan Nasional atau Pakatan Harapan. Allah tidak mengubah nasib sesuatu kaum sehinggalah kaum itu sendiri bertindak mengubahnya. Kemajuan dan kejayaan diri kita tidak ditentukan oleh orang politik atau parti parti politik. Tetapi politik adalah sebahagian daripada kehidupan dan perjalanan hidup kita yang singkat di atas muka bumi dunia ini. 

Siapapun yang jadi Perdana Menteri ke-9 bukanlah urusan hidup kita. Urusan hidup anak muda adalah terus bekerja dan bekerja. Bekerjalah sehingga mati dengan bersungguh-sungguh dan keras. Berfikir dan bergerak adalah asas kejayaan. Kita perlu terus membaca dan menelaah situasi politik dunia. Samaada US dan China berperang di Laut China Selatan bagi mencetuskan Perang Dunia ke-3 juga bukan urusan kita. Kindly focus on things that are necessary when your are obviously unnecessary. Ini cerita dari kamar peguam bukan dari dalam kamar bilik Timbalan Menteri. Khalas. 

COVID-19 PERANG US CHINA MERAH


Hari ini 18/03/2020 bermula sekatan pergerakan selama 14 hari oleh pihak Kerajaan Malaysia. Seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri Malaysia ke-8 pada 16/03/2020, warga Malaysia dikenakan perintah supaya tinggal di rumah dan mengehadkan pergerakan dan aktiviti sosial di luar rumah. Penularan virus corona (COVID-19) ini nampaknya begitu serius sehingga setakat hari ini 18/03/2020, Malaysia telah mencatat 2 kematian. Novel coronavirus yang awalnya tercetus di Wuhan, Hubei China ini telah mencatat 7988 kematian di seluruh dunia dengan rekod sebanyak 198,543 kes. Selain tanah besar China, negara Itali, Iran, Spain, Germany dan Korea Selatan adalah antara negara yang terjejas dengan teruk. Warga sememangnya hairan apabila berfikir sejak dari tahun 2019 lagi bagaimana virus COVID-19 ini tercetus samaada ia adalah senjata biologi rekaan daulah atau virus pembawaan haiwan. 

Seperti yang kita sedia maklum perang dagang antara US dan China sememangnya tidak dapat disorok mahupun disangkal. Perang dagang (trade-war) ini adalah untuk menunjukkan siapakah yang memegang kuasa ekonomi dunia. Siapa yang lebih berkuasa dari segi kekayaan dan wang. Siapa yang memiliki kekayaan wang dan hasil mahsul negara ini akan dianggap raja dunia atau Tuhan alam bumi dengan boleh membeli dan memiliki apa saja. Kuasa ketenteraan, nuklear, persenjataan bahkan kuasa digital yang berkait dengan ekonomi dunia akan dikuasai. Memiliki senjata dan segala macam kekuatan peperangan ini bermakna kita boleh menakluki dunia. Siapa yang memegang kuasa ini bermakna boleh memeras ugut sesiapa sahaja bahkan boleh menembak pesawat komersial penumpang seperti yang berlaku pada MH370 dan MH17. Dunia membisu dan tidak boleh melawan. 

Hakikatnya apa yang kita takuti telah terjadi bahkan sedang terjadi. Kuasa-kuasa besar dunia ini memiliki segala-galanya. Kita anak-anak muda menanggung 1001 keperitan dan kesusahan. Pergi kerja balik kerja macam nak mati tapi masih tidak mampu menunggang kuda di Bukit Kiara Equastrian. Membayar segala macam bil keliling pinggang ibarat tiada apa lagi yang tinggal cuma seluar dalam dan singlet Pagoda. Bahkan anak-anak muda tidak mampu untuk bermain golf demi untuk menagih sumbangan RM20ribu. Kita masih disini melihat dan menyaksikan para pemuka daulah melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka. 

Hakikatnya bukan mudah untuk menjadi pemimpin. Zaman menjadi pemimpin adalah senang duduk di kerusi empuk telah berlalu. Warga netizen telah celik dan matang menilai. Mereka tahu setiap satu apa yang dilakukan oleh Pak Menteri. Hatta Pak Menteri bermain handphone di jamban sekalipun diketahui oleh warga netizen. Benarlah ungkapan satu ketika dahulu netizen hakim negara bukannya rakyat hakim negara. 

Semoga virus COVID-19 ini cepat berlalu pergi. Warga tidak tahan duduk terperap di rumah. Warga juga tidak mahu ahli keluarga berdepan dengan kematian akibat virus COVID-19. Warga mahu virus ini kembali pulang ke tanah besar China atau hapus hilang untuk selama-lamanya. Celakalah sesiapa yang mencipta dan membocorkan senjata biologi gila ini. Nak matipun matilah sorang-sorang jangan menyusahkan orang lain yang tidak ada kena mengena. Nak berkuasa sekalipun ambillah kuasa tapi jangan mendajalkan warga dunia. Hari ini dengan 15 tahun dahulu masih sama. Ingatkan dah tahun 2020 dapatlah tengok kereta terbang tapi cuma virus COVID-19 yang terbang. Wawasan 2020 telah menjadi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030. Perdana Menteri Malaysia sudah masuk yang ke-8. Kasihan Pak Anwar Ibrahim tidak dapat jadi PM-8. Mungkin selama-lamanya menjadi pembangkang yang kuat. Mungkin kita semua akan mati sebelum sempat melihat Azmin Ali menjadi PM-10.