1MDB GST dan Pemilihan PAS


To succeed at the Bar one needs integrity, strong common sense and a good digestion - Lord Atkin
 
Lama tidak menulis. Saya minta maaf. Kesibukan mengatasi segalanya. Kemahiran sosial dan politik semakin tumpul dek kerana kesibukan kerja. Saya tidak pasti apakah penulisan di blog ini masih relevan atau tidak. Dikala ini kita lebih senang menerima maklumat daripada aplikasi Whatsapp, Telegram dan Facebook. Jadi menulis dalam blog ini agak outdated dan kuno. Mungkin suatu hari nanti blogspot ini bakal menjadi bahan sejarah yang bersemadi di Muzium Negara bersebelahan tulang dinasour. Mungkin suatu hari nanti penulisan blog ini bakal diconvert ke e-book untuk tatapan generasi baru akan datang. Apapun kita menulis untuk pencerahan dan perubahan. 

Kini nasib Datuk Seri Najib Tun Razak bagaikan telur di hujung tanduk. Krisis demi krisis. Tragedi dan peristiwa buruk dalam negara menjadi asas persoalan ini. Bangkai gajah tidak dapat ditutup dengan tudung saji. Sepandai-pandai tupai melompat jatuh ke tanah jua akhirnya. Teringat pengorbanan Tun Razak membuka FELDA suatu ketika dulu. Gambar Allahyarham Tun Razak yang sanggup turun ke tanah ladang yang masih merah hasil teroka peneroka untuk dijadikan penempatan dan ladang. Idea Allahyarham Tun mentransformasi hutan belukar kepada ladang pertanian sangat genius. Kaum Melayu ketika itu duduk di kampung dipaksa berhijrah ke ladang pertanian. Generasi pertama yang datang ketika itu adalah mereka yang kuat semangat - diberi tanah untuk rumah dan ladang. Hasilnya hari ini anak-anak peneroka ini menjadi golongan professional dan teknokrat. Ada antara mereka yang menjawat jawatan tertinggi kerajaan dan badan swasta dalam dan luar negara. 
 
Namun integriti Datuk Seri Najib dan isterinya Rosmah Mansor dalam isu 1MDB mencalar sedikit nama baik Allahyarham Tun Razak. Sungguhpun koridor pembangunan itu dinamakan Tun Razak Exchange (TRX) sekalipun, ia bukan ukuran kejayaan apabila perancangan tidak diatur dengan baik. Sikap tamak haloba dan berfoya-foya menyebabkan kita hilang segalanya. RM42bilion pergi begitu sahaja. Warga ditekan dengan cukai baru GST. Sungguhpun ramai berkata selepas GST harga barang turun tetapi hakikatnya banyak yang naik. Bila sebut naik antara yang naik adalah barang naik dan rakyat naik minyak. Sesungguhnya jurang miskin dan kaya di kampung dan bandar terlalu besar. Sesungguhnya masih ramai anak-anak muda yang bergaji 1,500 ke bawah, Masih ramai anak-anak muda yang merempat dan tidak mampu membeli hatta sebuah rumah atau apartment sekalipun di Kuala Lumpur. Hakikatnya warga masih belum cukup bersedia dan matang. Warga masih belum cukup pendapatan dengan kos sara hidup yang membebankan terutama tol dan petrol. Warga masih mengharapkan subsidi dan bantuan Kerajaan Barisan Nasional. Apakah sudah hilang nilai Nasionalisme dalam Kerajaan Barisan Nasional. Maka, warga akan beralih ke Barisan Rakyat. 

Harapan kita untuk melihat kereta terbang dalam Wawasan 2020 masih kabur. Mimpi kita sewaktu menonton filem Back To The Future adalah untuk melihat kereta terbang di tepi bangunan pencakar langit. Realitinya kita cuma melihat taik burung yang terbang. Lagi 5 tahun kita akan mencapai tahun 2020. Apakah pencapaian kita. Apakah yang sudah kita lakukan untuk negara kita yang tercinta ini. Adakah kita anak-anak muda yang tahu kerja, kahwin dan buat anak sahaja. Adakah anak-anak muda ini hanya tahu berselfie dan bermain skateboard di laman Presint 1 Putrajaya. Apakah kita mahu pemimpin kita hanya tahu mengorat awek cun dan berfoya-foya. Tepuk dada tanyalah diri kita. Siapakah yang akan menggantikan Datuk Seri Najib selepas ini. Apakah cukup hanya sekdar SPM untuk menjadi Perdana Menteri. Apakah cukup dengan CGPA 4.27 kita boleh menjadi Menteri yang prihatin perit derita rakyat. Apakah kita sedar bahawa matawang ringgit kita semakin jatuh dan jatuh. Jarak ekonomi kita dengan negara jiran Singapura sudah menjadi ibarat langit dan bumi. 

Perubahan. Ya kita perlukan perubahan. Kita perlukan generasi pemimpin baru dalam negara. Cukup-cukuplah dengan perangai orang tua yang menzalimi dan memerah keringat anak-anak muda. Cukup-cukuplah dengan harta kekayaan terkumpul yang tidak boleh dibawa ke kubur lagipun. Cukup-cukuplah kita beretorik tentang rakyat. Hakikatnya kita masih sama seperti 20 tahun yang dulu. Hakikatnya kita tidak lagi menjadi bangsa yang kuat Ekonomi Sosial dan Politiknya. Kita sibuk dengan Hudud tetapi lupa ada warga yang makan 2 ketul nasi satu keluarga. Kita sibuk dengan pemilihan sedang kita lupa saudara seislam kita Rohingya dalam sengsara. Kita sebuk dengan Festival Muda Mudi sedang kita lupa ramai gadis muda terberanak di stesyen minyak disebabkan suasana dan budaya yang ditinggalkan oleh generasi tua. Generasi tua perlu pergi dan serahkan tampuk pemerintahan agenda berteraskan ideas, ilmu dan berkebajikan kepada anak-anak muda. Mereka mampu memimpin dan mencorak bangsa budaya baru Malaysia. 

Dunia ini akhirnya akan menjadi milik anak-anak muda Malaysia. Ini hakikatnya.