Anwar Ibrahim, Anak Muda dan GID


Tear down the mountains, yell, scream, and shout. You can say what you want, they are not walking out - Azlan Abdul Razak

Kini tiba masanya untuk kita menerima kebebasan. Kebebasan adalah hak asasi manusia. Manusia berhak berbuat apa sahaja yang mereka suka buat. Undang-undang datang untuk mengawal dan menghadkan kebebasan itu. Manusia memberontak. Tidak suka kepada undang-undang yang mengawal dan menyelia kebebasan. Manusia mahukan semua itu untuk berfikir lebih jauh dan memaknakan kehidupan yang lebih bermakna. Manusia kata mereka boleh memakai pakaian apa sahaja. Manusia berkata mereka perlu bebas memilih gaya kehidupan mereka sendiri. Mereka ada hak untuk lelaki menjadi perempuan atau perempuan menjadi lelaki. Naluri katanya. Gender Identity Disorder istilahnya. 

Melihat sesuatu itu dengan lebih jauh dan mendalam membuat kita memahami akar permasalahan itu. Permasalahan dari struktur budaya, pemakanan, kesihatan dan gaya hidup. Suasana kini begitu berlainan dengan apa yang kita hadapi suatu masa dahulu. Penyakit-penyakit moden ini hadir dan datang tanpa dijemput. Kita sendiri yang mencipta suasana dan budaya itu. Undang-undang menjadi alat untuk memaksakan sesuatu pada kehidupan kita. Kita pula menurut saja apa yang berlaku hatta dubur dicucuk dengan benda tajam pun tidak melawan. Kita terlalu lemah dan naif dalam menafikan sesuatu di luar norma biasa kehidupan. Kita tidak kuat menyatakan bahawa budaya songsang pondan ini tidak ada sedikit pun faedahnya kepada kita. Ini adalah kerana kita sendiri yang membudayakan budaya 'Suami Aku Encik Sotong' ini. Jangan salahkan kerajaan Barisan Nasional. 

Arakian, kita tiba di suatu masa warga daulah celik IT dan Undang-Undang. Warga tahu hak mereka. Warga memahami hak bersuara sepertimana anak-anak muda di Universiti Malaya meraikan Anwar Ibrahim berpidato di pintu pagar varsiti. Kebebasan bersuara katanya. Universal Declaration of Human Rights by United Nations menjadi Bible rujukan utama. Anak-anak muda berani mendobrak kejumudan dan kebebalan warga tua yang hanya tahu mengutip cukai ke atas warga. Anak-anak muda warga universiti ini tidak tahu bahawa bergaji bawah RM3,600 adalah miskin hidup di kota. Anak-anak muda tidak ambil pusing semua itu. Yang penting Lawan Tetap Lawan. Hakikatnya kita belum memahami apakah struktur asas permasalahan itu. Adakah ketirisan atau rasuah yang bermaharajalela. Adakah kerana negara terlalu boros berbelanja. Adakah kerana memang realiti hari ini semoga manusia perlu survival untuk hidup demi sesuap nasi. Adakah kerana kita terlalu bodoh untuk mendapat CGPA 3.99. 

Tiba masanya kita mengkoreksi diri. Di manakah masa depan kita. Adakah negara ini menuju Wawasan 2020 atau Dua Dua Kosong. Dunia kosong Akhirat pun kosong. Apakah kebebasan ini ada garis batasannya. Tidak boleh saya menjadi perempuan walaupun hakikatnya saya lelaki. Benci dengan tubuh badan sendiri sehingga melakukan pemotongan di sana sini. Tidakkah itu kos yang perlu dibayar. Tidak kisah tentang kos oleh kerana saya berani mati. Naluri membinasakan. Majlis Agama Islam perlu menyaman. Rakyat bodoh agama tidak dipedulikan. Masjid cantik dan indah tapi kosong setiap kali waktu azan. Jiwa kita sebenarnya yang kosong dan perlu pengisian. Para ustaz berebut gila jawatan dan hasil mahsul hutan. Politik Islam sibuk bergaduh sesama rakan. Akhirnya tinggal kita yang hidup kais pagi makan petang. Akhirnya dunia ini bukan lagi milik anak-anak muda yang berani dan berpelajaran.