Kita dan Pemikiran


This is a court of law, young man, not a court of justice. 
- Oliver Wendell Homes, Jr (1841-1935)

Memang benar, memimpin perubahan itu tidak semudah yang kita sangka. Di sana ada cabaran. Air keruh di sungai tidak mampu untuk memperlihatkan ikan di dalam airnya. Di sana adanya kemahiran, strategi dan rangka kerja yang penuh dengan perancangan licik dan halus. Di sana ada perjalanan yang penuh duri, manusia-manusia yang tidak pernah takut menempuh onak duri. Menjawab segala persoalan dan tohmahan. Mempertahankan hak dan maruah. Mencari sebuah kehidupan yang lebih aman, baik dan bahagia. Mencari erti dan makna kehidupan yang sentiasa sibuk, berisiko, mencabar dan penuh dengan semangat keilmuan. 

Tidak ramai orang kenal peluang. Peluang datang menyamar sebagai kerja yang susah. Penuh dengan risiko, cabaran dan ujian. Sebagai anak muda kita tidak perlu takut dengan risiko. Hidup ini adalah perjuangan. Kita adalah pejuang berani mati. Anak muda itu tidak gentar dan takut. Tidak memihak dan bias. Tidak sama sekali memperjudikan prinsip keadilan yang dipegang. Tidak sama sekali tertawan dengan godaan dan nafsu syaitan. Tidak sama sekali mengatakan tidak sebelum mencuba. Tidak sama sekali jatuh dan gugur di medan juang. Tidak sama sekali menjadi manusia-manusia yang berputus asa dengan rahmat Tuhan. Walau apa pun yang berlaku, jalan tetap terus. 

Kerajaan daulah yang bergolak di Syria, anak-anak muda yang dibunuh di Rhohingya menginsafkan kita seketika. Keamanan yang dicari diuji dengan peperangan. Diuji dengan kehilangan nyawa dan jiwa. Apakah kita berhenti berfikir untuk berjuang. Mempertahankan maruah agama, bangsa dan tanah air. Meningkatkan taraf ekonomi keluarga nusa bangsa. Memacu pertumbuhan modal insan yang berjiwa teguh dan utuh. Masa depan daulah di tangan kita. Apakah kita akan terus berada di takuk negara kelas ketiga. Apakah kita terus dilanda krisis rasuah dan pecah amanah yang begitu serius. Apakah kita akan maju sekiranya kita malas, malu dan kecewa. Orang yang kecewa tidak akan berjaya. Yang berjaya adalah mereka yang positif. Anak muda yang bangun dari kegagalan. Anak muda yang berpandangan, pengalaman itu lebih berharga daripada wang. Ilmu itu lebih berharga daripada harta. Namun tiada salahnya jika kita memilki semuanya. 

Menjelang 10 tahun lagi kita akan berubah. Manusia berubah. Negara berubah. Kita takkan mampu membaca dan menilik masa depan. Kita cuma mampu bersedia. The best preparation is well preparation. Kita ingin berjaya, kaya dan bahagia dengan usaha kita. Dengan kepakaran, ilmu, kemahiran kita bangunkan nusa bangsa. Kita mahu anak-anak kita setanding dan boleh belajar di Cambridge, Harvard, NUS. Kita mahu kepakaran kita sehingga diiktiraf negara maju. Segalanya mungkin jika kita tidak malas dan tidak tidur selepas Subuh. Segalanya mungkin jika kita mendoakan kedua ibu bapa yang menjaga dan membesarkan kita. Segalanya mungkin jika kita berani berubah - tanpa keberanian mimpi tak bermakna !