PILIHANRAYA UMUM KE-15 : MEDAN MENGUJI KEKUATAN


 Never let your fear decide your future. The fear of facing your fears is harder than the fear itself. 

Pilihanraya Umum ke-15 kini kembali setelah PM-9 Ismail Sabri Yaakob dengan elegan membubarkan Parlimen pada tarikh 10/10/2022. Pembubaran Parlimen penggal ke-14 menunjukkan bahawa PM-9 menyerahkan semula mandat kepada rakyat warga Malaysia untuk memilih. Penggal ke-14 menyaksikan negara kita bertukar 3 Perdana Menteri iaitu PM-7 Tun Mahathir Mohamad PM-8 Mahiaddin Yassin dan PM-9 Ismail Sabri Yaakob. Tempoh 5 tahun lebih kurang adalah satu tempoh yang sangat getir yang mana kita saksikan sketsa drama politik yang berpanjangan. Kita juga saksikan konflik dunia berlaku satu persatu antaranya pandemik COVID-19 dan Perang Russia - Ukraine. 

PRU-15 adalah medan untuk parti-parti politik BN PH PN dan GTA menguji kekuatan masing-masing. Ini adalah 'lab-test' untuk menguji sejauhmana sokongan rakyat kepada mereka. Adakah anak muda akan mengundi Barisan Nasional setelah Dato' Seri Najib Razak dijatuhi hukuman di Penjara Kajang. Adakah anak muda akan memilih Pakatan Harapan setelah Langkah Sheraton meranapkan Kerajaan PH pimpinan Tun Mahathir. Apakah anak muda akan mengundi Perikatan Nasional di bawah pimpinan Mahiaddin Yassin. Adakah anak muda akan memangkah Gerakan Tanah Air pimpinan Atok Tun Mahathir. Semuanya terpulang kepada anak-anak muda yang bergaji 2,500 sebulan dan tidak mempunyai harta 19 juta seperti Datuk Seri Rafizi Ramli. Anak muda hanya mampu membeli Y-Suku. 

Maka apakah 'essence' penting dalam PRU15 ini setelah Undi18 dilaksanakan. Adakah anak-anak muda suka dan celik politik. Adakah anak-anak muda di Machang akan mengundi Mat Jargon di Machang. Mahukah mereka mengundi Wan Saiful Wan Jan di Tasek Gelugor. Adalah anak muda mahu mengundi Che Abdullah Sedap di Tumpat. Semua ini terpulanglah kepada anak-anak muda ini dalam menentukan masa depan. Ini adalah masa mereka. Ini adalah perihal untung nasib mereka. Kita yang tua hanya memerhati dan memberi pedoman. Kita hanya mahukan kemajuan dan pembangunan. Kita tidak mahu Ahli Parlimen yang mandom dan ponteng sidang Parlimen. Kita tidak mahukan AP yang tiada langsung idea maju terkehadapan untuk memodenkan lagi negara. Kita tidak mahu AP yang tidur makan gaji buta dan pakai Vellfire Hitam Plat V ke sana ke mari. Kita mahu AP yang hidup dan aktif. 

PRU-15 adalah ibu segala pilihanraya yang bakal menyaksikan nasib negara tanahair kita. Apakah kita mahu wakil pemimpin kita hanya tahu menghadirkan diri dalam acara KBSM - Kenduri Bersalin Sakit Mati sahaja. Apakah demikian itu neraca seorang pemimpin yang dipilih rakyat. Tidak dinafikan ianya rutin biasa seorang YB wakil rakyat akan tetapi sampai bila sebegitu ? Kita mahukan pemimpin masuk kebun ladang sawit getah koko nanas untuk menyelami masalah dan keluh kesah rakyat. Kita mahukan pemimpin yang kaki sama berselut lumpur lintah pacat di bendang. Kita mahukan pemimpin yang fikir apa kemajuan atau 'signature' yang boleh dibangunkan di kawasan Parlimen yang diwakilinya. Malah ada kawasan yang masih lagi menggunakan 3G berbanding 5G. Akses internet adalah penting untuk kemajuan pendidikan dan persekolahan anak-anak remaja di sekolah. Sukan juga penting untuk pastikan belia remaja sentiasa aktif dengan aktiviti berfaedah bukan hisap gam dadah. 

Dengan 60% pengundi adalah di bawah umur 40 tahun maka pemimpin negara haruslah memastikan bahawa kelompok majoriti ini diberikan perhatian sewajarnya. Nak padang futsal, takraw, padang bolasepak semua mesti diberikan tanpa gagal. Kalau miskin tak perlulah jadi Ahli Parlimen. Kalau kaya tapi kedekut pun tak perlulah jadi Ahli Parlimen. Duit tak boleh di bawa mati. Kaya berbilion macam Tun Daim pun tak guna kalau tak berbakti semula pada warga kampung dan FELDA. Wang kekayaan walau sesen akan ditanya di hadapan Allah SWT. Apa gunanya kaya tapi nak mintak bola takraw pun berkira. Harta berbilion tapi nak membangunkan kampung pun kedekut. Tiba masanya anak muda lakukan perubahan. Lihatlah calon yang boleh bekerja bukan hanya tahu bercakap. Lihatlah calon yang walaupun tiada Datuk Datuk Seri atau Tan Sri tapi boleh bekerja dan ada idea untuk membawa kemajuan. Idea penting sebab daripada idealah akan jadinya kenyataan. Dunia ini adalah milik anak-anak muda. Sampai masanya kita mesti serahkan dunia ini untuk mereka pimpin dan gerakkan watan. 

PRN MELAKA, OMICRON & ISMAIL SABRI

Failure should be our teacher, not our undertaker. 

Failure is delay not defeat. 

Failure is temporary detour not a dead end. 

- Dennis Waitley 

Akhirnya keputusan PRN Melaka telah diperolehi. Seperti dijangka Barisan Nasional menang bergaya dengan menguasai 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri Melaka. Rakyat kembali memilih Barisan Nasional kerana inginkan kestabilan dan kemakmuran. Rakyat sudah muak dengan politik. Rakyat mahu 'moving on' dengan kehidupan seperti sediakala. Pakatan Harapan atau Perikatan Nasional mesti bermuhasabah. Mesti melihat semula dan koreksi segala kelemahan dan kekurangan. Malaysia negara demokrasi. Malaysia negara makmur dan berdaulat. Perbezaan idea dan pendapat mesti diraikan. Kita mesti suburkan semangat demokrasi dan kedaulatan undang-undang. Kita tidak boleh jadi pak turut ataupun mayat hidup yang menurut sahaja apa yang orang suapkan pada kita. Kita mesti belajar sendiri, gagal dan jatuh kemudian bangkit semula untuk satu kehidupan yang mencabar. 

Arakian kes Covid-19 masih berlegar di kalangan kita. Covid-19 masih mengganas. Varian Omicron datang setelah Delta dan Lambada. Covid-19 ini umpama jenama kereta. Pelbagai dan mempunyai Variant Of Concerns (VOC) yang hidup dan berbahaya. Virus Wuhan ini menjelajah ke seluruh dunia. Di negara kita Malaysia lebih 28,400 telah menjadi korban Covid. Virus ini telah menyebabkan kita merana lebih 2 tahun sejak 2020. Wawasan 2020 menjadi kelam. Virus menjadikan dunia huru-hara. Omicron telah menjelajah ke seluruh dunia namun belum masuk Malaysia. Kita berharap agar sempadan negara tidak dibolosi lagi seperti bolosnya negara pada Februari 2020. Natijahnya kita melihat rakyat sengsara. Ramai anak muda menjadi korban. Isteri menjadi balu. Suami menjadi duda. 

100 hari kerajaan Perdana Menteri ke-9 Ismail Sabri telah pun berlalu. Cabaran demi cabaran hadir bagi Naib Presiden UMNO ini. MOU dengan Pakatan Harapan untuk tidak menjalankan Pilihanraya Umum ke-15 telah dimeterai. Maka kita melihat tidak akan ada PRU-15 diadakan sehingga Julai 2022. Maka kita lihat situasi politik akan menjadi aman damai. Tiada tarik menarik atau hilang sokongan terhadap Perdana Menteri. Namun situasi getir kembali apabila kita berdepan cabaran ekonomi dan inflasi. Harga barang keperluan naik mencanak. Harga sayur, kobis, bayam dan sawi naik gila-gilaa. Harga ayam naik. Harga besi naik. Harga roti gardenia naik. Yang turun cuma hujan dan gaji. Tiada yang tidak naik. Itulah hakikat ekonomi meskipun kita memiliki Menara PNB 118 yang kedua tertinggi di dunia. 

Hakikatnya anak-anak muda itu perlu berubah. Kita tidak perlu mengharapkan orang lain untuk mengubah diri kita. Kita tidak perlu berharap untuk orang mengajar dan menjadikan kita pandai bijak bestari. Kita perlu belajar, gagal dan belajar lagi. Kita jatuh dan kalah kes Mahkamah bukan bermakna kita bodoh tidak berguna. Jadikan kegagalan sebagai batu bata untuk naik ke puncak kejayaan. Bermain futsal atau sepak takraw tidak menjadikan kita jaguh negara. Bergaduh sesama sendiri tidak menguntungkan kita. Bertekak tentang perkara kecil tidak akan menjadikan kita maju. Berharap agar kita boleh berjaya dan terkehadapan dengan FELDA menyorongkan bantal adalah mimpi di siang hari. Bermain motor kapcai dan menghisap dadah tidak akan menjadikan kita kaya seperti Elon Musk. Kita wajib mengubah diri kita sendiri. Kita tidak dimiliki oleh tempat yang sepatutnya kita berdiri. 

Ingatlah masanya adalah sekarang dan hari ini. Masa terus berlalu dan tidak akan menunggu kita. Kita mahukan perubahan. Undi 18 telah dijalankan dan berkuatkuasa pada 15.12.2021 nanti. Undi adalah automatik dan anak-anak muda belia umur 18 tahun sudah boleh mengundi. Anak-anak muda belia harus celik demokrasi dan membuang undi di kotak undi. Siapakah pilihan anak-anak muda ini. Adakah Ismail Sabri, Muhyiddin Yassin atau Anwar Ibrahim. Adakah Che Det yang berusia 97 tahun menjadi igauan anak-anak muda. Adakah Syed Saddiq atau Fahmi Fadzil. Adakah Parti Putra, Berjasa atau Bahtera Penyelamat. Terpulanglah kepada anak-anak muda memilih dan mencorakkan masa depan mereka. Pilihan di tangan anak-anak muda ini. Terciduk atau terduduk nanti adalah mereka dan keluarga mereka. Ingat manifesto bukan kita suci. Ingat kisah 1MDB atau Kleptokrasi. Ingat kisah PTPTN dihapuskan, Tol Simpang Renggam Percuma dan Terowong Dasar Laut. Inilah warna-warni politik Malaysia yang terus berjalan dan berlalu. Hakikatnya dunia ini adalah milik mereka anak-anak muda. Kita meminjam dunia ini dari anak-anak muda. Nak bergaduh atau bertumbuk biarkanlah mereka. Kita orang tua. Kita hanya perlu 'hand-holding' atau bimbing mereka. Kalau mereka nak kelaut biarkan. Kita teruskan dengan agenda makan ice-cream dan Pizza. 

DARURAT 2.0 MAGERAN DAN TAJUDDIN RAHMAN


Have a vision. It is the ability to see the invisible. If you can see the invisible, you can achieve the impossible. 

Hari ini 14 Jun 2021 adalah hari ke 154 sejak Proklamasi Darurat diisytiharkan bermula tarikh 12 Januari 2021 yang lalu. Darurat yang dikuatkuasakan sehingga tarikh 01 Ogos 2021 menyebabkan sistem perundangan digantung di peringkat persekutuan (Parlimen) dan negeri (Dewan Undangan Negeri) sekaligus menghalang sebarang Pilihanraya Umum (PRU) diadakan di Malaysia. Proklamasi Darurat 2021 ini adalah langkah proaktif dalam membendung wabak pandemik Covid-19 di Malaysia yang telah menjangkiti 662,457 warga dan menewaskan 3,968 yang telah gugur syahid. Al-Fatihah. 

Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 bermula 01 Jun 2021 disambung lagi sehingga 28 Jun 2021. Ini bermakna sejak tarikh 03 Februari 2020, sudah lebih 1 tahun warga daulah dikurung di dalam rumah. Kita berkhalwat untuk mengurangkan pergerakan virus COVID yang menular di kalangan warga. Kita duduk di rumah dan patuh arahan pemerintah daulah demi memerangi virus yang berasal dari Wuhan China ini. Pandemik yang berlaku dalam 100 tahun sekali - akhirnya pada tahun 2020 kita berhasil mencapai Wawasan 2020 yang diidamkan. Wawasan 2020 bermain di minda kita sewaktu kecil untuk melihat kereta terbang akhirnya kita melihat virus COVID yang berterbangan. Ramai warga daulah yang tewas. Ramai yang syahid dalam perang melawan virus terhasil dari makmal China Merah ini. 

Maka anak-anak muda yang kini tinggal di rumah boleh melihat dan merancang akan masa depan mereka. Keputusan SPM itu memang penting tetapi apa yang penting lagi adalah mindset pemikiran dan rancangan masa depan kita. Adakah kita merancang untuk berjaya atau gagal dalam perjalanan menuju ke puncak menara gading itu. Apakah kita tewas kerana kegagalan kita untuk merebut A dalam peperiksaan. Itulah lain kali orang kata sampai awal untuk merebut A kalau lambat maka yang tinggal adalah B C D dan E. Adakah kita masih lagi bergantung kepada keputusan artifisial tersebut yang kini menuntut kita bersedia dengan Internet of Things (IOT), IR 4.0 dan agenda Cryptocurrency. Apakah dunia yang kita akan berdepan dalam 5 ke 10 tahun akan datang hanya Sai Baba yang mengetahui. 

Arakain apakah kerana Parlimen digantung maka kita tidak boleh berfikir dan bergerak. Berfikir dan bergerak itu adalah budaya yang kita tidak boleh tinggalkan. Maka kita perlu berfikir adalah kita perlu mengubah sesuatu dalam konteks diri kita. Adakah kita perlu mengundi Tajuddin Rahman di kerusi Parlimen Pasir Salak. Apakah kita perlu mengundi Azmin Ali di Parlimen Gombak. Adakah kita akan mengundi secara dalam talian (online voting) dalam Pilihanraya Umum ke-15 nanti disebabkan pandemik COVID yang masih nampak jalan penyelesaian. Semuanya itu bergantung kepada diri kita sendiri. Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehinggalah kaum itu sendiri mengubahnya ! 

Sekiranya kita tewas dalam perlawanan Harimau Malaysa melawan Vietnam dan Korea Utara adakah kita masih harus berputus asa. Apakah kita tidak mempunyai kemudahan fasiliti untuk bermain bola seperti yang telah ada di NLP dan Akademi Mokhtar Dahari. Apakah kita semakin kaki bangku dan bungko bermain bola sehinggalah kita kalah dan kalah dalam setiap perlawanan. Apakah kita perlu berlawan dengan Budak Darjah 5 SK Teriang Ilir maka barulah Harimau Malaya akan beroleh kemenangan. Itu semua bergantung kepada persepsi dam minda kita. Adakah kita bangsa melawan dan tidak takut mati. Semangat kamikaze dan jiwa perang seperti Vietnam dan Korea Utara mungkin kita perlu sematkan dalam jiwa dan sanubari kita. Mungkin kita perlukan tenaga anak cucu cicit FELDA untuk belajar bermain bola menggantikan De Paula dan Safawi Rashid. 

Oleh yang demikian itu maka siapakah yang bakal menjadi Perdana Menteri Malaysia ke-9 selepas PM Mahiaddin Mohd Yassin atau Abah yang kita sayangi. Semua itu juga bergantung kepada daya fikrah pemikiran kita untuk menentukan perjalanan siyasah dalam negara kita. Kitalah yang memilih dan kitalah yang menentukan baik dan buruknya negara kita hari ini dan masa depan. Jangan serahkan masa depan negara kita kepada negara Singapura atau Komunis China Merah. Tanah Malaya bukan untuk difaraidkan mahupun dibahagi-bahagikan begitu sepertimana Tanah Palestin. Kita wajib mengetahui bahawa kita harus bersedia dengan pemikiran masa hadapan. Tidak perlu belajar di London School of Economics atau di Wharton Business School untuk faham ekonomi. Semuanya hanya berlegar dan berlingkaran di sekeliling kita. Mungkin harga sebotol minyak masak di zaman kerajaan Perikatan Nasional boleh membantu. Mungkin juga harga rumah sekarang lebih murah berbanding zaman dulu.

KRISIS POLITIK PERAK DAN WAWASAN 2020


 "Wonder why people climb a mountain when it is safer to sleep at home" 

Hari ini adalah hari ke-11 dalam bulan Disember 2020. Tahun 2020 adalah tahun yang sangat mencabar dan mengujakan. Tahun di mana kita diuji dengan pandemik New-Coronavirus 2019. Tahun di mana kita berkurung dan berkhalwat dalam rumah selama lebih 6 bulan. Kita tidak dapat bekerja dan berjalan sepertimana biasa. Norma baru mesti digunapakai dan diamalkan. Kita diwajibkan memakai pelitup muka, menjaga jarak 1 meter dan sentiasa menjaga kebersihan tangan (sanitizer). Virus korona yang menggegar satu dunia telah menyebabkan iklim dan norma kita berubah. Hebat virus yang berpunca dari Wuhan China ini sehingga ramai warga dunia telah wafat dan meninggal dunia. Al-Fatihah. 

Menelusuri perjalanan kehidupan kita tidak boleh terus menerus merenung nasib tanpa merubah sesuatu. Hidup wajib berubah dan berevolusi. Kita perlu berjalan ke hadapan dan lebih maju. Kita perlu melakukan perubahan dengan daya dan upaya kita sendiri. Pendita Za'ba pernah berkata bahawa perangai yang paling bagus bagi orang Melayu adalah perangai bergantung pada diri sendiri. Bergantung pada diri sendiri ini bermaksud kita independen, bebas dan memiliki daya untuk melakukan sesuatu pekerjaan itu secara sendiri. Tidak perlu orang lain. Tidak perlu kabel. Tidak perlu line politik. Tidak perlu join Armada atau Pejuang Muda. Tidak perlu jadi Setiausaha Politik Kementerian. Khalas.

Maka kita perlu bermuhasabah dan menganalisa matlamat dan impian kita. Persistence is the key. Kita perlu berani dan terus bersabar. Terus berfikir dan bergerak. Bergerak ke arah matlamat dan impian kita. Kita tidak perlu melihat ke belakang melihat kegagalan dan kesilapan yang lalu. Tidak perlu menangisi dan meratap kekalahan yang telah berlaku. Gagal 7 kali kita bangkit 8 kali. Kalah sekali bukan kalah selama-lamanya. Kita belajar dan tingkatkan kemahiran. Tajamkan skills dan kemahiran. Perkemaskan hujahan dan input pengetahuan juga pengalaman. Terus lalui kehidupan yang mencabar dan memuncak ini. Mana ada orang menang pilihanraya terus jadi hebat. Mana ada orang kawen terus dapat anak. Setiap sesuatu perkara itu perlukan masa untuk berubah. Kita bukan ahli silap mata atau Magic Man. Kita bukan Superman atau Ultraman. Wawasan 2020 akhirnya kita kena duduk di rumah 24 jam sehari. 

Masa depan anak-anak muda Malaysia di tangan kita. Kita adalah agen perubah. Kita adalah dinamo kepada perubahan. Steve Jobs pernah bermadah bahawa apa yang kita fikirkan tentang kita itulah kita. Kita adalah apa yang kita fikirkan. Kita fikirkan jutawan dan billionaire kita akan jadi jutawan dan billionaire. Kita nak rumah besar kita akan dapat rumah besar. Mindset yang betul adalah penting untuk kita berjaya. Kita mesti berfikir positif dan terus bergerak ke depan. Kita tidak boleh mundur ke belakang. Kita tidak perlu layan orang yang miskin dan lembap. Kita tidak perlu layan orang yang menarik kaki kita untuk gagal dengan bagi kita gaji 5 ribu dan lupakan mimpi kita. Kita tidak perlu biarkan diri kita menari ikut rentak orang yang berniat untuk kita melupakan impian untuk jadi kaya. Justeru kita perlu terus komited dan fokus kepada perubahan. Ambil peluang dan jangan jadi Sabtu. 

Menjadi peguam atau tidak bukanlah sesuatu yang material. Peguam bukan Peguam. Bukan ustaz bukan peguam. Peguam kriminal atau sivil tidak lagi menjadi fokus utama kita. Paling penting adalah pengetahuan dan kepakaran. Paling penting adalah wawasan masa depan. Wawasan utama kita adalah untuk membebaskan negara kita dari ancaman kapitalis moron. Tidak perlu join PAS untuk jadi mahir dalam agama. Tidak perlu join DAP untuk belajar ekonomi sosial dan demokratik. Tidak perlu masuk Bersatu untuk kita menyatukan rakyat.Penyatuan kita adalah pada ikatan hati dan pemikiran. Kita mesti terus berfikir di luar kotak. Kita mesti belajar untuk menerima sesuatu keadaan dan bersyukur. Kehidupan perlu rileks, santai dan tidak terburu-buru. Hidup mesti terus belajar menerima perubahan. 

Jangan risau tentang gagal. Risaukan apa yang kita tidak dapat sebab takut mencuba. Takut melanggar ketakutan. Percayalah apa yang boleh kita fikirkan maka ianya boleh kita wujudkan. Hidup adalah apa yang terjadi pada kita ketika kita buat perancangan. Perancangan kita begini tetapi ianya jadi sebaliknya. Kita hidup kerana ada tugas besar. Tugas besar kita adalah untuk selesaikan tugas. Semua yang mahu ianya wujud di sebalik dinding. Langgar saja dinding itu. Pedulikan kesakitan dan keperitan. Air yang jatuh dari gunung tidak pernah fikir dirinya jatuh. Sebaliknya air bangun menjadi sungai yang ganas lagi ampuh. Kita bersedia untuk belajar, berperang, gagal dan jatuh. For things to change we must change first. We are human being. Belajarlah politik kerana politik ini adalah seni segala kemungkinan.