Masanya Telah Tiba- Kisah Perjuangan Anak Bangsa

Kini masanya telah tiba. Kisah perjuangan anak segala bangsa itu menjadi cerita. Kisah sebuah impian. Sebuah harapan. Sebuah kehidupan. Kata orang kaya sesuatu usaha itu memerlukan lebih kurang 3 tahun untuk benar-benar berjaya. Anak muda itu tidak takut kalah, gagal atau miskin. Apatah lagi ditimba musibah dan kepayahan. Hidup orang berjuang memang begitu, tiada rakan dan taulah. Tiada kawan ingin bercerita tentang kepayahan. Tiada manusia sanggup mendengar tentang cerita akhir sebuah impian. Tiada insan yang mahu terus kesepian. Setiap masa dan ketika kita alami perubahan. Benar sekali berkuasa perkataan itu, PERUBAHAN.

Setiap saat, setiap ketika kita sentiasa berfikir dan bergerak. Bagaimana dan kenapa. Persoalan itu berligar dalam jiwa kita. Kenapa kita berjiwa kecil dan duduk menumpang pada orang lain. Mengapa kita terlalu lemah dan longlai dalam merancang kehidupan. Mengapa kita tidak kuatkuasakan tindakan. Kenapa kita takut menghadapi cabaran dan ujian. Kenapa kita bodoh tidak tahu bagaimana ingin mengubah kehidupan. Benar, Tuhan takkan ubah nasib sesuatu kaum sehingga kamu itu sendiri mengubahnya. Suasana politik kita mengajar begitu. A Doctor In The House mengajar begitu - pertahankan prinsip atau apa saja yang kamu mulakan. Jangan berundur dan beralah. Secara literalnya adalah mempertahankan sebuah idealisme.

Ada masanya kita retrokspektif dalam perjalanan kita - menuju destinasi jaya. Mengubah layar dan haluan - mencari pulau impian yang lebih baik dan kekal. Masa itu umur. Masa itu nyawa. Ia takkan menunggu kita. Pedulikan manusia-manusia politik dengan video seks dan sundalnya. Pedulikan manusia yang ingin terus kekal berkuasa. Kita harus terus bekerja. Bekerja demi sebuah penghidupan yang bebas. Bekerja demi sebuah harapan untuk meraih apa yang kita inginkan. Benar kebahagiaan itu terletak pada hati. Kebahagiaan itu juga terletak pada nilai material dan sosio-ekonomi. Maka apakah kita harus dan terus tidur lena lagi.

Sampai masanya-kita berani berubah. Berani merentas pemikiran manusia-manusia biasa yang hidupnya kerja, kahwin dan kerja. Berani merentas sempadan negara bangsa. Berani untuk cuba terus berusaha seupaya mungkin mengubah dan mengolah skrip lama yang lapuk dan lemau. Kita mahukan diri dipimpin ke medan jaya. Kita mahukan diri terus terbina dengan inspirasi kejayaan manusia-manusia luar biasa. Kita mahukan suatu masa kita bersama membina tamadun negara bangsa. Tamadun bukan hanya dengan menonjol buah dada dalam majalah Mangga. Tamadun kita adalah tamadun idea dan pemikiran. Tamadun untuk jadi manusia unggul.

Akhirnya kita sedar dan insaf, kewajipan lebih banyak dari waktu yang kita ada. Akhirnya kita tahu, SPM itu tiada apa-apa. Yang perlu ada adalah semangat perjuangan. Jangan bisa bergaul dengan manusia-manusia kolot dan bodoh. Jangan bisa mengikut manusia yang membawa kamu kebelakang. Jangan bisa mengikut manusia yang hidupnya cuma setompok daki yang digosok tidak pernah hilang. Jangan jadi manusia robot yang hanya tahu kerja kerja dan kerja. Jangan jadi manusia yang tidak pernah ambil pot apa yang berlaku disekelilingnya. Jadilah manusia baru seperti saya.

Jepun-Nasihat Terbaik Untuk Kita

Sesungguhnya, apa yang berlaku di Jepun itu adalah satu nasihat. Nasihat untuk kita agar sentiasa yakin dan percaya, bahawa apa yang kita ada suatu ketika nanti akan musnah jua. Tragedi terburuk sejak 300 tahun bagi sejarah negara matahari terbit itu, membuka mata kita supaya tidak terlalu mengejar dunia. Dunia yang kita cari dan kejar akan musnah sepertimana musnahnya bandar Sendai dan meletupnya loji tenaga nuklear Fukushima-Daiichi. Maka apakah yang lebih naik untuk kita melainkan mengambil pengajaran dari apa yang berlaku - sebenarnya ia satu peringatan buat kita semua yang beria-ria mahukan pusat tenaga nuklear dibina di Malaysia. Mujur, peringatan telah diberikan kepada warga awal-awal lagi.

Peristiwa demi peristiwa yang kita baca dan lihat di sekeliling kita - seolah-olah di atur dan di susun dengan baik. Skrip dan jalan cerita dunia ini berputar. Dari satu lensa ke lensa yang lain, memperlihatkan kita perubahan demi perubahan. Keadaan manusia dengan teknologi dan kemajuan, pembangunan mapan dan era penjanaan reaktor nuklear - kita semakin matang melihat transformasi dunia kita. Kemajuan yang kita kecapi tidak ada maknanya, sekiranya kita gagal memahami apa itu ekonomi. Ekonomi membawa kita kepada perubahan sosio-budaya. Teknologi membawa kita untuk menjadi lebih moden dan canggih. Akhirnya, kecanggihan dan kemodenan itu bakal memakan diri kita sendiri.

Kesibukan kita seharian bekerja-mengejar dunia, ada masa kita berhenti sebentar untuk merenung..apakah nasib berjuta-juta rakyat Jepun kini yang diancam radiasi. Bukan sahaja warga Jepun, malah warga dunia turut terkesan dengan berita kebocoran loji nuklear Fukushima Daiichi itu. Bahkan kita bakal diancam pelbagai kemungkinan - hujan asid, penyakit dan barah. Malahan nasib pelajar-pelajar Malaysia tidak diketahui di Tokyo - apakah bencana tersebut tidak memungkinkan mereka untuk di bawa pulang. Sebaiknya, para pelajar di Jepun harus terus tinggal untuk sama-sama membaiki dan membantu negara yang ditimpa musibah.

Semoga masa akan kembali kepada sediakala. Dan semoga kita dapat memahami mesej Tuhan pada kita. Semoga kita tidak alpa dan leka dengan kehidupan yang begitu selesa. Semoga kita menyedari bahawa apa yang kita miliki boleh ditarik semula. Mujur warga negara selamat dari zon bencana. Namun ada lagi bencana yang banyak mengorbankan warga kita. Jenayah dan kemalangan jalanraya sama banyaknya dengan mangsa bencana. Maka, wajarkah kita merenung sejenak di mana akhir kehidupan kita. Pada duit yang banyak atau pada kehidupan yang bahagia..

Anak Muda Mesir;Penghayatan Sebuah Ideal

Melihat apa yang berlaku di Egypt itu membuka mata kita. Tidur lena yang panjang telah tamat. Akhirnya anak-anak muda itu bangun membuka mata. Akhirnya anak-anak muda itu sedar kuasa perubahan adalah dalam tangan mereka. Akhirnya anak-anak muda itu bangun berusaha. Usaha untuk meraih kebebasan dalam kehidupan. Usaha untuk mengubah kegelapan. Usaha ke arah sebuah pencerahan. Selepas domino awal Tunisia kini giliran anak-anak muda Mesir pula.

Dalam kebangkitan itu sudah pasti ada cabaran. Di sana dan di sini. Manusia pasti melihat bahawa kebangkitan itu suatu kerosakan. Kita pasti melihat bahawa perubahan itu tidak membawa kebaikan. Sudut pandang berbeza pasti ada. Paling penting kita percaya perubahan yang total itu sangat penting. Dasar dan polisi itu harus berubah dan sesuai dengan situasi warga. 30 tahun berkuasa adalah akar kukuh yang mencengkam korupsi dan gila kuasa. Sudut pandang positif itu sentiasa baik dan cerah. Kita manusia ingin sama-sama hidup tanpa dijajah.

Dijajah minda dan pemikiran selama 50 tahun kita merdeka. Selama mana kita hidup cuba kita fikirkan apa yang telah kita lakukan untuk kehidupan. Apakah dengan menekan warga dengan harga petrol dan barang, melebarkan jurang ekonomi antara kaum juga terus mendesak warga dengan saman ekor dan saman trafik. Anak-anak muda itu menjadi mangsa kerasukan daulah yang berkuasa ke atas sosio-ekonomi. Warga kaya raya dan berharta terus gembira. Masa depan anak-anak muda itu kelam sekali. Masa depan untuk warga tidak berdosa terus menerus tidak terbela.

Maka; berapa lamakah lagi kita ingin terus hidup ditipu. Hidup dalam kepalsuan dunia dan diperbodohkan oleh daulah. Daulah berkuasa tentu ingin terus memastikan survival siasahnya. Anak-anak muda dihimpit hutang di sana dan di sini. Anak-anak muda itu diheret ke mahkamah kerana berhutang dengan daulah. Anak-anak muda itu disenarai hitam. Tidak dibenar ke luar negara. Anak-anak muda itu dibankrapkan. Pendidikan menjadi satu medan niaga- daulah - anak muda. Anak-anak muda itu dipaksa untuk bekerja keras membayar hutang dulu adalah biaya-siswa. Anak-anak muda itu dihalang dan terus dihalang.

Arakian kisah cerita yang berulang. Kisah di Tunisia, Mesir dan Negara2 Timur Tengah ini pasti menjadi titik rujukan untuk kita berkata ' lakukan sesuatu yang benar dan betul' wahai daulah. Jangan terlalu selesa dengan kuasa dan puncak kemegahan. Jangan warga dipersalah dan diprejudiskan. Kuasa itu adalah amanah. Kuasa itu adalah tanggungjawab untuk kita jadikan kehidupan ini lebih selesa. Untuk sebuah idea kehidupan yang sempurna. Anak-anak muda itu sudah pasti akan terus berusaha. terus dan terus...

Warga Bersuara; Tunisia Dalam Sengsara

Corruption in the inner circle is growing. Even average Tunisians are now keenly aware of it, and the chorus of complaints is rising. Tunisians intensely dislike, even hate, first lady Leila Trabelsi and her family. In private, regime opponents mock her; even those close to the government express dismay at her reported behaviour. Meanwhile, anger is growing at Tunisia's high unemployment and regional inequities. As a consequence, the risks to the regime's long-term stability are increasing." - TT @ Wikileaks.

Membaca apa yang berlaku di Tunisia hari ini begitu memilukan. Akhirnya warga itu bangun dari tidur yang lena. Daulah yang menzalimi warga tidak berdosa akhirnya akan jatuh jua. Daulah yang tidak kasih pada warganya akan dibenci dan dijatuhkan. Daulah yang berbuat sesuatu yang bukan-bukan akan dipertikaikan kredibiliti dan integritinya. Maka dunia hari ini adalah dunia para cerdik pandai bersuara dan melakukan perubahan. Warga mahukan kehidupan yang lebih baik. Pendapatan yang baik serta pekerjaan yang baik. Anak-anak muda itu perlukan nasi dan wang bukan senjata. Anak muda Mohamed Bouazizi itu cuma mahu mencari sesuap nasi berniaga. Daulah membencinya dan memaksa untuk memiliki lesen berniaga. Akhirnya kuasa itu kembali ke tangan mereka yang memilih mereka untuk berkuasa.

Syahdan, kita melihat daulah di puncak kuasa itu melarikan diri. Dikecam dan dihambat warga yang tidak lagi tertahan melihat kemiskinan dan pengangguran. Kos sara hidup yang tinggi serta hutang di keliling pinggang. Maka negeri di pesisiran Laut Tengah yang indah permai itu bergolak hancur. Kebenaran ingin muncul selepas 23 tahun kegelapan. Cahaya ingin menampakkan sinarnya tatkala selama ini hidup dalam kebungkaman. Harta berpusing di kalangan mereka yang berkuasa. Tiada lagi kebajikan kepada warga yang terpaksa menjadi imigrant. Maka lari lintang pukanglah si Zineal dan Leila. Maka tiadalah lagi apa yang tinggal melainkan jongkong emas sebagai bekal. Maka larilah sang Zineal dan Leila ke Saudi Arabia.

Maka benar kata pepatah lama hidup ibarat roda. Tidak selamanya kita berada di atas. Ada masanya kita perlu turun ke bawah. Hakikat yang pasti kezaliman tiada tempat bagi mereka yang cintakan keadilan. Kita melihat kiri dan kanan. Kita membaca apa yang berlaku di akhbar harian. Kita hidup cuma inginkan kedamaian dan ketenangan. Ada orang hidup mengejar Seri Utama dan Amar Diraja. Ada orang hidup mengejar pangkat dan harta. Ada orang hidup dengan bertilamkan emas berlantaikan berlian. Maka ukuran hidup adalah kepada harta terkumpul. Maka kehidupan tidak lagi melihat kepada siapa tetapi kepada apa.

Tunisia mempertontonkan kepada kita daulah yang menutup mata pada warganya akan didobrak dan dicerca. Tunisia adalah satu medan untuk kita belajar agar menjadi sederhana dan tidak melampaui batasan norma terhadap warga tidak berdosa. Tunisia mengajar kita bahawa undang-undang ciptaan manusia itu terlalu banyak kekurangan dan kelemahannya. Memang benar undang-undang itu adalah mulia dan kedaulatan. Tetapi jika pelaksanaannya sampai tiada budi bicara terhadap warga yang lemah lagi miskin, menindas kaum peniaga yang mahu mencari sebuah kehidupan, sedang kaum pemodal terus menjadi kaya-raya, maka apakah kita belajar bahawa kuasa isteri itu lebih daripada kuasa suami. Tunisia adalah 'tazkirah' buat mereka yang alpa dan lupa, bahawa kuasa itu tidak selamanya ada. Tunisia adalah bukti anak-anak muda itu mampu memberi pencerahan buat dunia.