Warga Bersuara; Tunisia Dalam Sengsara

“ Corruption in the inner circle is growing. Even average Tunisians are now keenly aware of it, and the chorus of complaints is rising. Tunisians intensely dislike, even hate, first lady Leila Trabelsi and her family. In private, regime opponents mock her; even those close to the government express dismay at her reported behaviour. Meanwhile, anger is growing at Tunisia's high unemployment and regional inequities. As a consequence, the risks to the regime's long-term stability are increasing." - TT @ Wikileaks.

Membaca apa yang berlaku di Tunisia hari ini begitu memilukan. Akhirnya warga itu bangun dari tidur yang lena. Daulah yang menzalimi warga tidak berdosa akhirnya akan jatuh jua. Daulah yang tidak kasih pada warganya akan dibenci dan dijatuhkan. Daulah yang berbuat sesuatu yang bukan-bukan akan dipertikaikan kredibiliti dan integritinya. Maka dunia hari ini adalah dunia para cerdik pandai bersuara dan melakukan perubahan. Warga mahukan kehidupan yang lebih baik. Pendapatan yang baik serta pekerjaan yang baik. Anak-anak muda itu perlukan nasi dan wang bukan senjata. Anak muda Mohamed Bouazizi itu cuma mahu mencari sesuap nasi berniaga. Daulah membencinya dan memaksa untuk memiliki lesen berniaga. Akhirnya kuasa itu kembali ke tangan mereka yang memilih mereka untuk berkuasa.

Syahdan, kita melihat daulah di puncak kuasa itu melarikan diri. Dikecam dan dihambat warga yang tidak lagi tertahan melihat kemiskinan dan pengangguran. Kos sara hidup yang tinggi serta hutang di keliling pinggang. Maka negeri di pesisiran Laut Tengah yang indah permai itu bergolak hancur. Kebenaran ingin muncul selepas 23 tahun kegelapan. Cahaya ingin menampakkan sinarnya tatkala selama ini hidup dalam kebungkaman. Harta berpusing di kalangan mereka yang berkuasa. Tiada lagi kebajikan kepada warga yang terpaksa menjadi imigrant. Maka lari lintang pukanglah si Zineal dan Leila. Maka tiadalah lagi apa yang tinggal melainkan jongkong emas sebagai bekal. Maka larilah sang Zineal dan Leila ke Saudi Arabia.

Maka benar kata pepatah lama hidup ibarat roda. Tidak selamanya kita berada di atas. Ada masanya kita perlu turun ke bawah. Hakikat yang pasti kezaliman tiada tempat bagi mereka yang cintakan keadilan. Kita melihat kiri dan kanan. Kita membaca apa yang berlaku di akhbar harian. Kita hidup cuma inginkan kedamaian dan ketenangan. Ada orang hidup mengejar Seri Utama dan Amar Diraja. Ada orang hidup mengejar pangkat dan harta. Ada orang hidup dengan bertilamkan emas berlantaikan berlian. Maka ukuran hidup adalah kepada harta terkumpul. Maka kehidupan tidak lagi melihat kepada siapa tetapi kepada apa.

Tunisia mempertontonkan kepada kita daulah yang menutup mata pada warganya akan didobrak dan dicerca. Tunisia adalah satu medan untuk kita belajar agar menjadi sederhana dan tidak melampaui batasan norma terhadap warga tidak berdosa. Tunisia mengajar kita bahawa undang-undang ciptaan manusia itu terlalu banyak kekurangan dan kelemahannya. Memang benar undang-undang itu adalah mulia dan kedaulatan. Tetapi jika pelaksanaannya sampai tiada budi bicara terhadap warga yang lemah lagi miskin, menindas kaum peniaga yang mahu mencari sebuah kehidupan, sedang kaum pemodal terus menjadi kaya-raya, maka apakah kita belajar bahawa kuasa isteri itu lebih daripada kuasa suami. Tunisia adalah 'tazkirah' buat mereka yang alpa dan lupa, bahawa kuasa itu tidak selamanya ada. Tunisia adalah bukti anak-anak muda itu mampu memberi pencerahan buat dunia.

Jesteru Mengapa Hatimu Tidak TENANG

Jesteru mengapa hati dan jiwamu tidak tenang. Ada saja yang bisa mengganggumu. Ada kisah lama yang diungkit kembali. Luka lama berdarah kembali. Kenangan lama diimbau. Ada cerita di sebalik cerita. Ada kisah di sebalik kisah. Air yang tenang jangan disangka tiada buaya. Jikalau tiada angin masakan pokok bergoyang. Begitulah bidalan Melayu lama tentang ujian manusia. Lama kelamaan cerita bohong dan fitnah itu menjadi biasa. Kata nak maju entah bila-bila. Kita asyik cerita pasal liwat dan rogol sepanjang masa. Politik itu adalah makan dan minum kita.

Maka sekali lagi kita lihat isu-isu yang digembar-gemburkan media. Akhlak kita sudah hilang terbang bersama berita sana sini. Cemuhan dan kejian. Carut-mencarut ini perkara biasa. Sampai bilakah kita akan melihat ini semua. Kasihan anak-anak muda yang baru mengenal dunia. Hari demi hari mereka dipaksa mendengar ini semua. Mereka tak ambil pot politik tapi mereka kena bayar bila ini minyak RON. Minyak naik semua pun naik. Naik marah dan naik angin. Naik barang dalam kain dan naik pinggan mangkuk atas siling rumah. Nak tahu kenapa tanyalah orang yang bergaji rendah. Hidup pun susah. Mati pun susah. Lalu bagaimana anak-anak muda itu melihat masa hadapan. Apakah ada sinar untuk mereka.

Cabaran masa depan adalah lebih mencabar. Jauh lebih mencabar dari Tan Sri Isa Samad dalam memimpin Felda. Maka Felda dipengerusikan oleh Tan Sri yang berjiwa bersih lagi mulia. Maka sejahteralah penduduk pinang nan sebatang. Negeri perpatih sehat sejahtera. Bergumbiralah kita semua mempunyai pemimpin yang adil dan prihatin masalah rakyat. Tidak menipu kadar perahan minyak sawit. Tidak pernah sekali mengambil kesempatan. Yang benar katakan benar. Yang salah katakan salah. Maka tidak ada lagi benar atau salah. Yang ada hanyalah yang cepat atau lambat. Sebelum blah baik rembat dulu. Rakyat didahulukan Pencapaian Diutamakan.

Jika kamu baik orang datang kepada kamu. Sayugia perlukah kita menjadi orang baik jika disekeliling itu semua manusia jahat. Manusia selagi manusia tetaplah manusia. Tidak pernah puas dengan apa yang ada. Sentiasa mencari jalan untuk keluar dari permasalahan melanda. Sentiasa fikiran maju ke hadapan. Ingin bergerak pantas mengejar harta dan cita. Ingin sekali rumahtangga bahagia bersama sang isteri dan anaknya. Shahdan itulah asas kita. Semua kita punya rasa yang sama. Semua kita kepingin suatu yang kita namakan kebahagiaan.

Tatkala SUK itu mengangkat sumpah hati riang gembira. Bersultan di mata beraja di hati. Maka apakah tiada lagi calonnya yang berkaliber. Maka bendahara mahukan itu juga. Tidak dapat tidak harus dituruti jua. Maka bergegarlah bumi dengan ribut dan taufan. Maka tiada lagi harapan untuk masa depan. Politik dan kuasa itu ialah ekonomi. Ekonomi itu adalah punca-punca kehidupan. Undang-undang hanya mengikut saja apa yang termaktub. Maka manusia sekali lagi sedar bahawa semua itu permainan dan ciptaan mereka. Ada yang boleh berubah dan ada yang tidak. Jesteru hidup mesti terus dan jangan toleh belakang. Apapun yang terjadi hidup mesti happy. Hargai setiap masa kerana detik hayat itu sangat berharga. Pencerahan itu akhirnya milik anak-anak muda !

Selamat Tinggal Tahun Penuh Ujian

Saya tidak percaya. Tapi orang kata tahun 2010 itu adalah tahun ujian buat saya. Mungkin benar mungkin tidak ramalan itu. Apapun masa itu tetap berlalu dan saya telah melalui semua itu dengan jayanya. Di duga dan diuji dengan cubaan-cubaan yang memeritkan dan bisa memedihkan hati. Saya tetap tabah dan teguh. Percaya bahawa awan hitam akan berarak lalu. Cahaya fajar baru akan menjelma dan seterusnya adalah masa untuk mengisi kehidupan. Masa itu umur bukannya emas kata seorang pakar motivasi.

Apapun yang kita lakukan kita mesti percaya bahawa kita akan berjaya akhirnya. Melalui proses kejayaan itu bukanlah suatu yang mudah. Di sana menuntut kesabaran dan ketabahan. Pembelajaran itu tidak pernah berhenti kerana setiap hari kita belajar sesuatu yang baru. Sama seperti bayi yang baru lahir hingga pandai berlari. Maka, setiap langkah itu adalah tapak-tapak yang kita untuk ke mercu jaya. Percaya sahaja bahawa akhirnya kita akan sampai ke seberang sana. Rempuh saja halangan itu dan jangan lihat lagi ke belakang. Kata John F Kennedy "Mereka yang hanya pandang masa lampau dan masa kini pasti akan terlepas masa depan."

Sememangnya masa lalu berharga tetapi itu tidak cukup berharga sekiranya ia menyekat masa depan. Berfikir ke depan itu adalah satu seni. Jika anda tidak bersiap sedia untuk masa depan hari ini, anda hidup dalam masa lampau esok. Soalnya sanggupkah kita hidup dalam bernostalgia tentang masa lampau. Persetankan semua itu. Hari ini, bukan si besar yang makan si kecil. Sebaliknya, si pantas yang makan si perlahan. Jesteru masa itu adalah kepantasan. Mesti pantas mencipta peluang. Mesti pantas merebut pengalaman di depan mata.

Jesteru perubahan yang pantas memerlukan kita berkebolehan menyesuaikan diri dengan pantas. Untuk berbuat demikian, kita mesti berkebolehan belajar dengan pantas. Ingatlah, semua perkara akan terus berubah. Dasar kerajaan berubah. Harga barang berubah. Selera manusia berubah. Perniagaan statik berubah. Undang-Undang berubah. Mahkamah masih tidak berubah. Satu-satunya yang tak akan berubah adalah keperluan kita untuk mencapai prestasi seperti yang diharapkan.

Semoga tahun 2011 adalah tahun untuk kita berubah ! InsyaAllah kemenangan adalah milik kita !

Cabaran Terbesar Adalah Diri Kamu Sendiri

Apabila kita disuruh bercakap tentang cabaran remaja Islam masa hadapan, maka apakah yang paling baik untuk kita cakapkan. Berteori tentang masalah remaja masa kini. Menghempap segala masalah pada anak-anak muda. Anak muda Melayu jadi mat rempit. Anak gadis Melayu jadi bohsia mengandung anak luar nikah. Anak muda Melayu murtad dan sembahyang di gereja. Nah mendidih otak anak-anak muda Melayu dihempap 1001 macam masalah. Cukuplah daulah dan Harian Metro memburukkan nama anak muda Melayu. Kita sepatutnya bercakap soal penyelesaian dan jalan keluar. Kita sepatutnya bercakap soal bagaimana kita ingin merubah semua perkara negatif yang dimomok pada bani Melayu. Kita bercakap soal pencerahan. Ya, pencerahan untuk anak-anak muda Malaysia.

Tiada jalan paling baik untuk keluar dari kemiskinan itu melainkan pendidikan. Benar, pendidikan yang baik dan sempurna itu merubah. Ilmu itu membawa cahaya dan pencerahan. Maka cara paling baik untuk kita menjadi bangsa maju dan berjaya ialah belajar ilmu. Bukan ikut cara TV3 mendoktrin minda bani Melayu dengan cerita hantu. Apa kejadah zaman dunia tanpa sempadan sibuk menayang cerita hantu. Cukuplah membodohkan umat Melayu. Kita dah cukup muak dibodohkan siang dan malam. Bodohkan bani Melayu sampai habis tergadai tanah umat Melayu di Kampung Baru.

Apabila Wikileaks muncul dengan berita-berita sensasi kita terkesima. Maka rahsia itu tidak lagi menjadi rahsia. Singapura sememangnya pangkalan data dan keselamatan Amerika di Asia Tenggara. Maka apa lagi yang kita pelikkan, bahawa musuh-musuh Islam itu sentiasa mengintai kita. Sejarah tidak pernah berbohong. Tidak akan redha mereka selagi kita tidak mengikut cara hidup dan gaya mereka. Kekuatan yang ada adalah kesatuan umat. Kekuatan yang adalah persaudaraan kita sesama warga. Jesteru kita menolak para cukong yang sentiasa tamakkan harta daulah. Warga menolak pembangunan palsu yang memusnahkan jatidiri warga semua bangsa. Warga mahukan makanan dan minuman. Air bersih yang mampu oleh warga miskin bandar. Ruang yang cukup untuk anak-anak kecil itu bermain dan beriadah. Oleh itu monopoli terhadap air harus dihentikan. Warga perlukan air dan minyak untuk terus hidup.

Shahdan, cabaran terbesar kamu adalah diri kamu sendiri. Hanya orang mati yang tidak boleh mengubah minda mereka. Mengapa kamu terlalu takut kepada perubahan. Oleh sebab rasa takut pada perkara yang tak diketahui, kita takut pada perubahan. Perubahan itu tetap berlaku Hazwan. Satu-satu perkara yang tetap berlaku adalah perubahan. Maka dari bujang kepada berkahwin itu perkara biasa. Tidak adakah lagi perkara yang lebih besar dari fikiran manusia biasa. Tidak adakah dunia yang lebih sempurna. Tidak adakah lagi kehidupan yang bisa membuatkan kita saling menghargai sesama. Jesteru apa yang berlaku di Parlimen itu begitu mengecewakan. Hak untuk bersuara itu dinafikan. Di manakah nilai kita yang bernama insan.

Jika anda hanya mahu yang mudah, maka akhirnya, anda tidak akan mempunyai yang senang.