Kehidupan Tak Selamanya Indah..Selamat Tinggal Samy Vellu

Hakikatnya kehidupan itu tak selamanya indah. Ada kalanya awan gelap itu menyelubungi kita. Tidak mengapa. Sesekali bergelap itu memang baik itu kita bermuhasabah sepanjang jalan. Kita perlu praktikal. Tidak perlu banyak berteori itu dan ini. Kalau daulah tidak berduit terus terang sahaja tidak berduit. Tidak perlu beri alasan tiada subsidi itu dan ini. Masa depan warga semakin kelam. Tinggallah peristiwa semalam. Anak kecil main api. Terbakar hatinya yang sepi.

Berita-berita yang kita baca dan dengar itu sememangnya merisaukan suara hati. Gaji warga semakin kecil. Beban kerja semakin bertambah. Anak semakin ramai. Calon isteri meningkat. Hutang bank keliling pinggang. Bagaimanakah warga ingin hidup dengan harga petrol, tol dan barang keperluan harian yang dinaikkan. Anak muda yang baru bernikah itu pastinya sengsara. Malam pertama memang bahagia. Tapi bagaimana ingin mengisi perut yang sang isteri. Bagaimana pula ingin mengisi isi dalam perut sang isteri. Rasionalisasi subsidi itu ternyata tidak rasional. Mana mungkin makcik Kg. Sri Gombang itu pergi ke Kuala Lumpur Convention Centre. Bas United Merah Bahau-Seremban itu tidak mungkin sampai ke Ampang Park.

Secara dasarnya kita mengetahui bahawa negara jiran itu pernah mengaku kalah. Pemimpin negara Temasek itu bukannya brain-drain. Rancangan dan strategi mereka sebenarnya lebih licik dan bijak. Tanah KTMB di Tanjung Pagar itu adalah tanah warisan. Apalagi yang tinggal untuk nusa bangsa setelah habis segalanya habis dijualkan. Bolehkah anak muda Melayu itu mendapat manfaat daripada syarikat usaha sama JV M-S Pte Ltd itu. Dimanakah kontraktor kelas F Melayu dalam projek itu. Persoalan itu berpusing dan berlegar di kalangan kita. Kerisauan kita sampai tahap apakah ada lagi masa depan untuk kita 1Malaysia.

Sejak dahulu kita menyatakan bahawa warga tidak perlukan senjata. Food not Bomb. Warga tidak perlukan emas berlian. Warga hanya perlukan makanan untuk menjalani kehidupan. Warga tidak perlukan kapal selam mahupun projek Bakun yang bernilai berbilion ringgit itu. Akhirnya hutang tetap menjadi hutang. Kita sama-sama sengsara. Kasihan orang kampung miskin tidak berdaya. Kasihan warga tua terpaksa memandu kereta di tengah jalanraya yang menggila. Jalanraya kita meragut nyawa persis medan tempur di Baghdad. Anak muda bekerja kilang itu tetap dengan motor rempitnya. Arak dan judi itu tetap menjadi aktiviti hariannya. Setelah itu baru kita menyedari bahawa berjudi di Ascot itu adalah halalan toyyiban.

Segala yang berlaku itu mungkin ada hikmahnya. Kebebasan bersuara itu penting untuk anak muda itu tidak lagi dianggap naif. Anak muda itu belajar untuk menjadi matang. Dahulu mungkin dia seorang anak felda yang penuh stigma. Dahulu mungkin dia seorang mahasiswa yang baru belajar tulis baca. Masanya telah tiba untuk anak muda itu menjadi dewasa. Menjadi profesional yang penuh wibawa. Merancang untuk masa depan yang lebih pasti dan nyata. Sememangnya sesuatu perubahan itu perlukan usaha. Segalanya perlu dikorbankan untuk cinta suci itu.

Separuh Minyakku Pergi, Sultan Kata Jangan, Rakyat Kata Mari

Tragedi penyerahan telaga minyak Blok L dan M kepada Brunei itu amat memilukan. Rezab minyak berjumlah RM 320 billion tu bukan kecik anak bang. Tak habis makan tujuh keturunan. Tapi Pak Lah dengan selambanya lepaskan semua itu kepada Brunei dengan alasan untuk pertahankan Limbang. Sedangkan tuntutan ke atas Limbang masih diteruskan. Habis negara digadaikan. Tiada lagi yang tinggal selepas semua hasil mahsul dijualkan.

Keputusan-keputusan yang kita lakukan dalam hidup bisa memeritkan. Apakan daya kita hanya rakyat kebanyakan. Kita ikut titah Sultan. Sultan kata dalam masjid jangan berpolitik sakan. Dalam masjid jangan cakap yang bukan-bukan. Masjid itu cuma tempat peribadatan. Jangan datang ke jajahan Tuanku kalau tidak mahu ikut titah Sultan. Jangan hidup atas muka bumi kalau tak mahu ikut perintah Tuhan.

Adakalanya menyatakan kebenaran itu memeritkan. Polis telah jalankan tugas dengan berkesan. Jangan tembak anak remaja baru lepas berkhatan. Jangan wujudkan spekulasi. Jangan reka cerita yang boleh buat semua orang sangsi. Pukul 3 pagi naik kereta tanpa lesen rasmi. Bawak laju-laju rempuh semua orang kanan kiri. Siasat punya siasat rupa-rupanya anak bangsa sendiri. Apa boleh buat perkara sudah jadi. Paling penting untuk kita perbaiki. Lain kali jangan buat lagi.

Tak lama lagi ada Pilihanraya Kecil Sibu. Sibu terletak di Negeri Sarawak. Sarawak sebahagian daripada 1Malaysia. Jesteru pilihanraya ini satu jalan untuk warga dapat projek pembangunan dan duit saku. Orang beri ambil saja. Undi sesiapa yang kita suka. Lepas pilihanraya keadaan sama sahaja. Janji manis projek juta-juta berlalu begitu sahaja. Nak buat macamana itulah nasib kita sebagai warga. Kita bukan kroni ada projek berjuta-juta.

Anak muda itu tetap cekal berusaha. Tiada ertinya berputus asa. Kehidupan walau seburuk mana sekalipun perlu diteruskan. Tiada erti perjuangan tanpa cabaran. Pembelajaran perlu diteruskan. Anak muda perlu timba pengalaman. Esok lusa anak muda itu membesar, mungkin jadi cukong dengan projek besar-besaran. Mana tahu nanti anak muda itu boleh jadi anak angkat Bik Mama. Mana tahu anak muda itu bakal menjadi Senatak. Jika tidak tahu apa itu Senatak sila bertanya dengan Ustaz Google.

Mengapa Anak Muda Bangsa 1Malaysia Itu Dibunuh?

Sewajarnya kad kuasa itu tidak digunakan untuk seronok memetik butir peluru sehingga memangsakan anak muda itu. Mana mungkin anak muda bermuka bersih jernih itu menjadi penjenayah. Dalam dia merayakan kemudaan dan semangat remajanya, ada pihak terkhilaf mengambil nyawanya. Kad kuasa yang sepatutnya digunakan untuk mempertahankan keselamatan awam, telah meragut nyawa seorang anak muda bakal pemimpin negara. Tragedi malam itu sungguhpun secara tidak sengaja, langkah-langkah perlu dan berhati-hati sepatutnya menjadi amalan pihak yang berkuasa.

Kasihan anak muda itu. Belum sempat menikmati kesegaran hidup anak muda remaja. Belum sempat menamatkan alam persekolahan yang penuh drama. Belum sempat memasuki wilayah pengajian tinggi yang cukup sengsara. Belum sempat mendaki puncak kerjaya penuh derita. Keluarga anak muda itu tidak menyangka dia akan pergi sedemikian. Peluru asing itu tepat singgah di kepala. Bagaimana perasaan si ibu apabila dikhabarkan anak mati angkara kesilapan pihak yang memiliki kuasa. Di sangkakan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengahari.

Sungguh, berat mata kita memandang berat lagi bahu anggota keluarga yang memikul. Sungguh, sehebat manapun pihak berkuasa mengekang jenayah, kesilapan yang berlaku jadikan sempadan. Dunia ini lebih aman jika kita tidak meletakkan emosi itu di depan. Sungguh kehidupan itu memeritkan tetapi itu tidak bermakna kita bisa bertindak di luar batasan. Bisa melakukan apa sahaja. Ya, apa sahaja. Tiada alasan untuk tidak menghormati undang-undang. Tetapi undang-undang juga perlu dilihat berteraskan keadilan dan kebudi-bicaraan.

Kisah Norizan, AminulRasyid, Kugan adalah manifestasi hegemoni daulah yang selama ini beranggapan dengan memiliki kuasa apa sahaja boleh dilakukan. Tetapi kuasa hanyalah artifisial yang dari kulit luarannya dilihat kuat. Namun, dari segi isinya begitu lemah, longlai lagi tidak bermaya. Jika kehidupan itu ibarat roda, begitu juga bagi yang memiliki kuasa. Ingatlah, tatkala selamanya kita berada di atas, ada ketikanya kita akan berada di bawah. Buat Allahyarham AminulRasyid, anak muda bangsa yang telah pergi ; Al-Fatihah.

Mungkin Benar Berdua Itu Lebih Baik Dari Berseorangan

Corat-coret yang kita dengar di media seminggu dua ini begitu melucukan. Minum arak, Bar dalam rumah, katak jadi Melayu dan Michelle Obama naik haji berumrah. Sejak bila pula ahli politik itu menjadi soleh solehah. Sejak bila pula agama menjadi maudhuk penting dalam penetrasi politik 1Malaysia. Sejak bila pula arak yang dijual melambak di 7-Eleven itu menjadi haram. Sejak bila pula naik haji berumrah itu tidak membolehkan susuk politik itu memiliki kuda lumba. Sejak bila pula kita menjadi sebaik-baik manusia sehingga tidak terlibat dengan bunga riba'. Harus kita mengingati bahawa semua yang wujud di sekeliling kita adalah lembaga dan tuhan yang kita sembah setiap hari.

Manusia dengan sifatnya inginkan kekuasaan. Dengan kuasa maka kita boleh menguasai dan memiliki punca-punca ekonomi dalam negara. Dengan kuasa kita boleh mencapai sesuatu yang kita suka. Dengan kuasa kita boleh merubah. Dengan kuasa juga kita boleh meruntuhkan. Hakikat yang pasti tiada manusia luhur hati budi dan nurani. Setiap sesuatu itu berpusing. Hari ini begitu. Esok mungkin berubah. Tiada ketetapan bagi sesuatu yang anjal lagi fleksibel. Kehidupan itu berfikir dan bergerak. Hulu Selangor adalah manifestasi kepada perubahan rakyat bawahan. Anak-anak muda di Kerling berharap harga petrol tidak dinaikkan.

Maka kita boleh berkata pilihanraya kecil itu sebagai 'non-event'. Tidak ada apa-apa perubahan yang bakal berlaku selepas jam 5 petang 25 April itu. Lebih baik berubah sedikit daripada tiada perubahan langsung. Hegemoni daulah yang sejak sekian lama menebal akhirnya bakal pecah. Makcik Felda telah celik IT dengan mempunyai Google Talk. Hari demi hari mereka akses internet berkelajuan tinggi. Apa yang berlaku di Parlimen itu mereka mengerti. Sebut sahaja APCO semua tahu. Ia adalah sejenis kuih yang kita boleh beli di Kuala Kubu Bharu. Sebut sahaja Yahudi semua tahu. Semua kita ada kaitan dengan Yahudi. Mengapa kita tidak jadi bangsa bijak seperti Yahudi. Mengapa kita asyik mengejar kekayaan dengan memonopoli syarikat judi.

Mungkin lebih baik untuk kita tidak terus menyerang orang itu dan ini Yahudi. Hakikatnya warga tetap dalam kelemasan. Lemas dalam permainan ahli politik tidak berkesudahan. Warga mahu makan lebih sedikit pun tidak kesampaian. Anak-anak muda hilang pekerjaan. Saman trafik dan JPJ menambah kesempitan. Warga terus miskin. Poket terus kebocoran. Harga syiling dinaikkan menambah kesengsaraan. Di manakah masa depan anak-anak kecil itu. Terus berhutang dengan PTPTN. Terus menambah hutang kereta dan beban rumah. Terus berhutang ceti dan ah long hingga hujung nyawa. Tanah diusahakan di sangka milik sendiri. Harapkan pagar pagar makan padi.

Semoga Tuhan merahmati manusia-manusia baik yang ingin berbakti. Manusia baik ialah manusia yang ikhlas dalam membuat perubahan. Tidak pentingkan kekayaan. Pemimpin miskin rakyat kaya. Pemimpin kaya rakyat miskin. Pilihlah di antara dua. Hakikatnya entah bila kita akan lihat adanya manusia baik seperti itu. Selepas kiamat sekalipun tak mungkin akan terjadi. Namun warga boleh terus berdoa. Semoga segalanya baik untuk kita. Dulu, kini dan selamanya.