Aku Terima Nikahnya..Bermulanya Sebuah Tamadun

Kini segalanya telah selesai. Bermulanya sebuah sejarah. Permulaan sebuah tamadun. Bertemunya Adam dan Hawa. Semoga ikatan ini dalam rahmat dan redhaNya. Hakikatnya perjalanan hidup ini masih jauh. Jalan ke arah taqwa itu tidak mudah. Perjalanan menuju redha itu penuh onak dan duri. Setiap masa dan ketika kita diuji. Hanya yang berserah padaNya akan kekal dan tabah dengan ujian. Hanya yang percaya bahawa kehidupan ini cuma pinjaman- akan mengerti dan memahami bahawa setiap suatu yang kita lalui itu bermakna Tuhan sayangkan kita. Segalanya telah ditentukan olehNya. Semuanya adalah ketentuan dariNya. Kita hanya mampu merancang namun DIA lah yang menentukan.

Setelah kita melengkapkan 'puzzle' kehidupan itu, kini masanya untuk terus kembali hidup. Perjuangan perlu diteruskan. Azam dan tekad perlu kembali disemai dan disemat. Kita perlu terus bekerja untuk kehidupan. Kita jangan berhenti mencari hikmah hidup. Kasihan anak-anak muda yang perlukan motivasi untuk berjaya. Kasihan anak-anak remaja yang sedang mencari arah tuju hidup. Kasihan warga yang tidak berdosa terus hidup dalam sengsara. Kasihan pada ummah yang semakin jauh dari redhaNya. Sesungguhnya tanggungjawab lebih banyak dari waktu yang kita ada.

Kembali ke persada perjuangan kita melihat anak-anak muda itu mula dipersalahkan. Sekali lagi, dan untuk kesekian kalinya anak-anak muda Melayu itu dilihat begitu naif. Sekali lagi kita melihat golongan tua seolah-olah menghukum anak-anak muda itu. Ada yang mencadangkan tangkap, ludah dan ISA kan anak-anak muda itu. Ada yang mencadangkan agar mereka dipukul dan disula. Tahukah kita dari mana datangnya mereka itu. Mereka itu dilahirkan oleh suasana yang wujud oleh golongan tua. Mereka lahir kerana budaya dan pemikiran yang dibawa oleh golongan tua. Kurang ajarnya mereka kerana kitalah, masyarakat yang mendidik mereka. Apakah selama ini kita melihat AUKU dan PTPTN yang mencengkam jiwa mereka. Sekali lagi kita dilihat begitu prejudis kepada anak-anak muda. Sekali lagi kita dikatakan tidak pro kepada daulah establishment. Sekali lagi kita dituduh tidak mendokong dasar dan prinsip daulatain.

Kembali kepada massa itu kita melihat dunia yang kita diami ini umurnya semakin singkat. Kehidupan kita begitu terhakis dengan agenda dan lawak yang berligar di sekeliling kita. Apakah ada masanya untuk kita berubah minda dan idea. Apakah ada masanya untuk kita berhenti bercakap dan terus bertindak untuk mengubah cara hidup. Apakah masanya untuk kita kembali menurut perintahNya. Apakah apa yang kita alami ini ujian Tuhan buat kita. Hidup perlu dilihat dengan positif. Hidup perlu terus tanpa bergantung pada sesiapa. Tuhan anugerahkan kita kesihatan dan pancaindera. Tuhan telah berikan segalanya kepada kita. Jesteru mengapa anak muda itu memilih untuk berkahwin kaum sejenis. Apakah itu tanda dan makna transformasi diri. Sesungguhnya masa depan kita, kitalah yang menentukan dan memilihnya.

Akan sampai masanya untuk kita dewasa dan bebas. Akan tiba masanya untuk kita memegang kuasa dan neraca. Akan tiba masanya untuk kita mengerti erti dan rasa, peritnya kedua ibu bapa menanggung kita sehingga kita dewasa. Perit dan pahit kehidupan itu asam garam bagi mereka yang mengerti dan memahami, sesungguhnya permulaan sebuah cerita itu bermula di sini. Permulaan sebuah tamadun yang menjunjung prinsip kemanusiaan dan kebebasan. Kemiskinan atau kekayaan. Kesopanan dan kesusilaan. Akhirnya dunia ini tetap milik anak-anak muda yang sedang belajar erti dewasa. Akhirnya kita semua akan kembali bertemu denganNya. Al-Fatihah buat saudaraku Hasani yang telah pergi. Semoga engkau damai di sana..Al-Fatihah.

Kita Lebih Besar Dari Apa Yang Kita Fikirkan

Kadangkala kita terfikir mengapa harus terus berjiwa kecil. Bergaji kecil, berpendapatan kecil dan menjadi orang kecil adalah sesuatu yang menyayat hati. Sesuatu yang mungkin kita tak dapat maafkan diri sendiri. Terlalu bodoh untuk duduk di bawah telapak kaki orang lain. Terlalu naif untuk hidup dalam serba serbi salah. Terlalu dungu untuk terus menjadi hamba suruhan orang atas. Terlalu celaka untuk melakukan perkara yang sama berulang kali. Apalah ertinya hidup jika kita tidak bebas. Apalah ertinya hidup jika tiada kemampuan untuk berfikir sendiri.

Sesungguhnya kita lebih besar dan lebih kuat daripada apa yang kita fikirkan. Kita lebih bijak, lebih pintar, lebih cerdas dalam menyusun gerakan. Kita lebih banyak idea berbanding orang lain. Kita lebih ramai kawan. Kita mempunyai lebih banyak jaringan. Soalnya mengapa kita tidak bertindak untuk keluar menuju kebebasan. Apakah kerana kita tidak berani. Apakah kerana kita takut. Apakah kerana kita bacul. Apakah kerana kita mahu kekal hidup dalam kebodohan. Ingatlah tanpa keberanian mimpi takkan bermakna. Jiwa muda ertinya jiwa berani mencuba.

Lupakan Projek Fidlot yang gagal itu. Lupakan kondominium lembu 9 juta di Bangsar itu. Mari kita fokus kepada masa depan kita. Kehidupan kita di masa depan lebih penting. Sejauhmana kita memahami tentang integriti itu. Apakah dengan menghadiri Konvensyen Integriti maka kita telah digelar berintegriti. Apakah kita memahami permasalahan akar, struktur sosio-ekonomi kita pada hari ini. Setinggi manakah pendapatan warga kita. Berapa banyakkah kos yang ditanggung warga. Apakah parti politik itu satu rahmat atau laknat. Apakah ahli politik itu suatu beban yang perlu ditanggung warga. Bercakap lebih mudah daripada melakukan. Merancang lebih mudah daripada melaksanakan. Mengkritik lebih ramai daripada yang mempraktik.

Arakian jiwa anak muda itu terus gundah gulana. Teringat kata-kata Sang Pemula 'tidak kau berasa gundah gulana jika kau tahu apa yang kau tuju'. Tidak kau berasa tidak senang, jika kau tetapkan arah tujumu..Apakah arah tujumu wahai anak-anak muda. Mendapat isteri cantik, kereta mewah, rumah besar dan harta melimpah ruah. Apakah kau bilang demokrasi itu subur di bumi kita Malaysia. Apakah tidak ada beban pada kita di luar sana. Sana dan sini perlu dibayar. Semua itu kos dan kos. Semua itu wang. Semua itu duit. Apakah kau tidak ingin mengubah semua itu. Dimanakah kuasa pencerahan dari kamu wahai anak muda teruna. Apakah semua itu akan berakhir tatkala kau mendakap badan Sang Isteri. Apakah perjuanganmu bakal berakhir dengan bermulanya tidur ditemani Sang Puteri.

Sesungguhnya perjuangan itu baru bermula.. Perjuangan kita belum selesai, kerana hanya yang cekal dan tabah, dapat membina mercu tanda, bangsanya yang berjaya.

Kini Segalanya Bakal Berubah

Apabila kematian Muammar Gaddafi dilaporkan, ada di antara kita yang gembira. Tidak kurang juga yang bersedih, pejuang benua Afrika ini telah tiada. Pendirian Gaddafi dalam soal kuasa hegemoni Barat dan sekutunya tidak dapat disangkal lagi. Gaddafi bertegas menyelamatkan minyak di benua Afrika daripada dijajahi oleh Amerika Syarikat dan sekutunya. Gaddafi cuba mempertahankan negaranya daripada dijajah, dalam masa yang sama menzalimi warga negaranya sendiri. Kini Gaddafi telah tiada. Pemerintahan Gaddafi jatuh kerana pemberontakan yang ditaja oleh NATO. Akhirnya Gaddafi hilang ditelan kuasa ekonomi ciptaan kapitalis baru dunia yakni China.

Kehidupan itu ibarat roda. Kadangkala kita di atas. Kadangkala kita dibawah. Ada masanya kita berasa selesa. Ada masanya kita berasa susah. Realiti kehidupan ini kita tidak dapat nafikan. Sama seperti kita tidak dapat nafikan kejatuhan Gaddafi di Libya. Sama seperti kekalahan MU kepada Manchester City. Atau kekalahan Chelsea kepada QPR. Yang kecik kini boleh mengalahkan yang besar. Yang muda boleh mengalahkan yang dewasa. Yang baru boleh menggantikan yang lama. Pokok pangkalnya di sini ialah, dalam setiap keadaan apa yang pasti berlaku adalah perubahan. Perubahan, tidak ada siapa yang mampu menghalangnya. Umpama air tsunami yang mengalir laju. Tidak ada sesiapa yang mampu menahannya.

Segalanya bakal berubah tidak lama lagi. Cabaran itu pastinya sangat kuat. Dugaan itu pasti akan datang. Masalah itu pasti akan terus melekat. Itulah kehidupan. Kita tidak boleh lari daripadanya. Kita harus lebih kuat daripada segala cubaan dan dugaan hidup. Kita mesti terus positif dalam meletakkan kepercayaan kepada diri kita sendiri. Kita mesti yakin akhirnya kita akan berjaya dalam hidup. Langit takkan selamanya gelap. Akhirnya awan gelap akan berlalu pergi. Sinar mentari akan datang untuk pencerahan kepada hidup anak-anak muda.

Tidak selamanya kita akan menjadi anak muda. Kita akan bergerak ke alam tua. Alam di mana kehidupan itu dilihat dengan lebih menarik. Lebih kreatif, lebih berani dan lebih matang dalam mendepani cabaran. Lupakan Elton John. Lupakan Maddi Jane. Lupakan Ibrahim Ali dan Zul Nordin. Mereka tidak penting dan bukan sesiapa dalam hidup kita. Kita mesti terus bergerak dengan jayanya. Kehidupan perlu dilihat sebagai satu penerokaan. Tidak habis diteroka segala hutan dan alam. Tidak habis dalam meneroka dunia. Tidak habis dalam mengkaji semiotik sifat dan tabiat manusia. Tidak pernah penat dan lelah untuk terus bekerja mencari harta dunia.

Arakian tanggungjawab itu lebih banyak dari waktu yang kita ada. Dari bujang kini berdua. Dari berdua kini berkeluarga. Kita yang tidak pernah gagal cuma belum berjaya. Apapun kita mesti terus mencuba. Jangan takut gagal. Jangan takut kalah. Jangan takut miskin tidak berduit. Jangan takut dimarahi bos. Sekiranya takut dimarahi bos maka jadilah bos jangan jadi kuli. Paling baik untuk menjadi kaum pemodal dan kroni. Paling baik ada bisnes sendiri. Lagi baik buat bisnes sama-sama laki bini. Kita takkan mampu membeli beg tangan berlori-lori. Akhirnya semua terpulang kepada diri kita sendiri.

Apapun yang terjadi, ingatlah terus berjuang hingga ke saat yang terakhir. Tolonglah jangan salahkan Sarbinee Alwee. Dia juga manusia tidak lengkap serba serbi. Negeri Sembilan main bola memang hebat sekali. Akhirnya Negeri Sembilan juara Piala Malaysia dua kali. Gembira tak terkata, semangat macam inilah yang kita nak dalam diri. Jangan putus asa walaupun dah gol sekali. Jangan lemah semangat dengan sumpahan dan cacian orang pada company. Teruskan perjalanan sehingga kita teguh berdiri. Kini segalanya bakal berubah, teruskan usaha dan berdikari di atas kaki sendiri. Orang Melayu bukannya lemah, cuma kurang percaya diri sendiri.

Masa Untuk Bermimpi Sudah Tamat

Sesungguhnya sahabat, masa untuk bermimpi sudah tamat. Kini masa untuk bertindak. Kini masa untuk melakukan. Kini masa untuk merealisasikan impian. Kini masa untuk mengecapi apa yang kita mahu. Masa untuk ke hadapan. Masa untuk berdiri dalam masa depan. Masa untuk kita memimpin perubahan. Masa untuk kita menyampaikan mesej pencerahan. Masanya telah tiba untuk kita melakukan perubahan. Perubahan yang lebih baik bermula dari diri sendiri.

Arakian satu masa dulu anak muda itu biasa-biasa saja. Sepertimana anak muda lain, dia mempunyai impian. Impian dan harapan untuk mengubah dunia. Harapan untuk melihat kehidupan yang dilihat itu lebih baik. Harapan untuk masa depan itu lebih cerah dan baik. Harapan untuk suatu hari nanti, anak muda itu dapat keluar dari kehidupan dogmatik yang serba serbi kegelapan dan tidak punya masa depan itu. Harapan untuk keluar dari masyarakat yang hanya memikirkan tentang cinta, seks dan hantu. Harapan untuk membawa perubahan hakiki.

Masa demi masa berlaku. Detik terus berlari meninggalkan kita. Apakah pusaka kita kepada anak-anak kecil kita. Apakah dunia yang kita diami ini cukup baik untuk mereka. Apakah kita telah pastikan keselamatan dan kesejahteraan anak-anak masa depan negara. Steve Jobs yang telah pergi tidak dapat dicari ganti. Steve Jobs akan terus hidup dengan apple-apple nya. Kita akan terus hidup dengan iman dan takwa. Terus hidup dan percaya masa depan itu untuk kita.

Kedewasaan itu membuatkan kita berfikir. Masa untuk menjadi hamba dan kuli sudah tamat. Kini masanya untuk menjadi pemimpin. Masa untuk memimpin peradaban massa. Masa untuk kita lontarkan idea 'kita boleh buat lebih baik daripada Apple'. Kita boleh belajar, bekerja di luar negara. Kita boleh mencipta produk dan perkhidmatan berteraskan idea. Kita boleh menjadi usahawan dan ahli perniagaan. Setiap kejayaan itu bermula dengan usaha. Sembilan per-sepuluh daripada rezeki itu datangnya daripada perniagaan. Percayalah rezeki itu daripada Tuhan.

Masa untuk bermimpi sudah tamat. Kitakah hidup di zaman realiti. Realiti TV. Akademi Fantasia. Telah tamat mimpi kita untuk teruskan kehidupan. Cabaran telah kita tempuh. Apakah sebenarnya cabaran kehidupan kita. Memilih untuk bahagia atau sengsara. Apakah kita takut dengan kemiskinan dan kekalahan. Apakah kita takut untuk berbahasa Inggeris. Apakah kita takut untuk menjadi menteri. Rupanya hidup ini penuh dengan ketakutan yang tidak pasti.

Sesungguhnya Hazwan, tak penting bagaimana kau bermula, yang penting bagaimana kau berakhir!