Masa Untuk Bermimpi Sudah Tamat

Sesungguhnya sahabat, masa untuk bermimpi sudah tamat. Kini masa untuk bertindak. Kini masa untuk melakukan. Kini masa untuk merealisasikan impian. Kini masa untuk mengecapi apa yang kita mahu. Masa untuk ke hadapan. Masa untuk berdiri dalam masa depan. Masa untuk kita memimpin perubahan. Masa untuk kita menyampaikan mesej pencerahan. Masanya telah tiba untuk kita melakukan perubahan. Perubahan yang lebih baik bermula dari diri sendiri.

Arakian satu masa dulu anak muda itu biasa-biasa saja. Sepertimana anak muda lain, dia mempunyai impian. Impian dan harapan untuk mengubah dunia. Harapan untuk melihat kehidupan yang dilihat itu lebih baik. Harapan untuk masa depan itu lebih cerah dan baik. Harapan untuk suatu hari nanti, anak muda itu dapat keluar dari kehidupan dogmatik yang serba serbi kegelapan dan tidak punya masa depan itu. Harapan untuk keluar dari masyarakat yang hanya memikirkan tentang cinta, seks dan hantu. Harapan untuk membawa perubahan hakiki.

Masa demi masa berlaku. Detik terus berlari meninggalkan kita. Apakah pusaka kita kepada anak-anak kecil kita. Apakah dunia yang kita diami ini cukup baik untuk mereka. Apakah kita telah pastikan keselamatan dan kesejahteraan anak-anak masa depan negara. Steve Jobs yang telah pergi tidak dapat dicari ganti. Steve Jobs akan terus hidup dengan apple-apple nya. Kita akan terus hidup dengan iman dan takwa. Terus hidup dan percaya masa depan itu untuk kita.

Kedewasaan itu membuatkan kita berfikir. Masa untuk menjadi hamba dan kuli sudah tamat. Kini masanya untuk menjadi pemimpin. Masa untuk memimpin peradaban massa. Masa untuk kita lontarkan idea 'kita boleh buat lebih baik daripada Apple'. Kita boleh belajar, bekerja di luar negara. Kita boleh mencipta produk dan perkhidmatan berteraskan idea. Kita boleh menjadi usahawan dan ahli perniagaan. Setiap kejayaan itu bermula dengan usaha. Sembilan per-sepuluh daripada rezeki itu datangnya daripada perniagaan. Percayalah rezeki itu daripada Tuhan.

Masa untuk bermimpi sudah tamat. Kitakah hidup di zaman realiti. Realiti TV. Akademi Fantasia. Telah tamat mimpi kita untuk teruskan kehidupan. Cabaran telah kita tempuh. Apakah sebenarnya cabaran kehidupan kita. Memilih untuk bahagia atau sengsara. Apakah kita takut dengan kemiskinan dan kekalahan. Apakah kita takut untuk berbahasa Inggeris. Apakah kita takut untuk menjadi menteri. Rupanya hidup ini penuh dengan ketakutan yang tidak pasti.

Sesungguhnya Hazwan, tak penting bagaimana kau bermula, yang penting bagaimana kau berakhir!

Hargai Sebuah Perjalanan

Akhirnya kita semua tahu bahawa perjalanan menuju jaya itu bukan mudah. Terlalu banyak cabaran dan rintangannya. Walau apapun nama ujian dan tribulasi itu, kehidupan tetap perlu dipandang positif. Dunia adalah penjara bagi orang mukmin. Halangan dan ujian itu tetap ada. Kadangkala diri kita sendiri yang mewujudkan halangan dan ujian itu. Kadangkalah kita sendiri yang sengaja menenggelamkan diri dalam kelemasan. Kadangkala kita yang tidak kuat menempuh dugaan mendatang. Ada masanya kita sendiri yang berfikiran kalah sebelum kita benar-benar kalah.

Benar sekali, kita sedang menuju ke alam rumahtangga itu. Alam penuh tanggungjawab. Masa untuk kita menjadi matang dan dewasa. Masa untuk kita berfikir tentang masa depan generasi akan datang. Apakah yang akan kita wariskan pada generasi akan datang. Apakah legasi yang bakal kita tinggalkan kepada mereka. Apakah legasi Hantu Bonceng atau Minah Rempit. Apakah masa depan negara kita terletak pada sejarah Mat Indera. Apakah masa depan kita terletak pada politikus-politikus yang tidak pernah habis bicara soal kuasa. Apakah nasib kita suatu masa nanti akan tetap terbela. Maka kita akan terus hidup dalam keadaan hina-nista.

Kesibukan itu menyedarkan kita betapa masa begitu berharga. Betapa kehidupan itu mencemburui kita. Perjalanan seorang patriot perlu diteruskan. Tanpa lelah tanpa lemah. Kita sedang berfikir dan mencari jalan bagaimana. Ya, bagaimana untuk kita jadi dewasa. Bagaimana untuk kita mengubah nasib anak bangsa. Bagaimana untuk kita berubah. Transformasi bak kata daulah. Reformasi bak kata sang pencerah. Harus bagaimana untuk kita mengubah manusia itu menjadi lebih terbuka. Harus bagaimana kita ingin memimpin perubahan. Jika kita asyik berfikir tentang manusia, peristiwa dan bukannya idea. Idea untuk perubahan. Idea untuk pencerahan.

Suasana kita dasawarsa ini, mengingatkan kita tentang asal-usul. Kehidupan tak semudah yang disangka. Kita perlu berjuang. Berusaha tegas dan keras. Kita perlu bangun awal pagi untuk mencari sesuap nasi bagi anak-anak dan isteri. Kita perlu bekerja lebih masa dan waktu. Kita perlu berhijrah untuk berubah. Kita perlu mencari lebih banyak rakan kenalan yang bijak lagi berjaya. Kita perlu bersedia untuk memimpin pencerahan. Anak-anak muda itu akan terus berusaha, berani berangan-angan, tidak takut dikatakan gila dan tidak takut berkali-kali gagal.

Kita Yang Tidak Pernah Gagal

Setiap masa kita berfikir untuk bebas. Bebas ini dalam konteks anak muda adalah tidak terikat. Tidak terikat bermaksud tidak perlu disuruh dan diarah oleh sesiapa. Bebas melakukan dan membuat sesuatu. Berdiri di atas kaki sendiri. Bergantung kepada usaha dan amal. Terus mengejar masa depan. Masa dan waktu yang terus berjalan. Kita semakin dewasa dan tua. Kita mengejar masa di hadapan. Kita mencari sebuah kehidupan yang dinamakan kebebasan.

Hari itu kita menyedari bahawa untuk meraih semua itu perlukan kekuatan. Kekuatan iman dan kepercayaan. Kekuatan dalaman diri. Kekuatan untuk kita berdepan dengan cabaran onak duri. Kekuatan untuk kita terus berusaha dan mencari jalan, bagaimana untuk merubah suasana di sekeliling kita. Hakikatnya kita hidup di kalangan manusia sampah yang menghamburkan segala macam bau busuk kepada kita. Segala yang negatif di sekeliling kita adalah ancaman kepada kejayaan. Untuk berjaya kita perlu rapat dengan orang yang mempunyai poket positif. Untuk gagal pula kita selalu berurusan dengan orang yang mempunyai peribadi negatif.

Semakin kuat cabaran itu, semakin bagus dan kuatlah kita. Berhadapan dengan kekangan. Berhadapan dengan cabaran kewangan. Berhadapan dengan isu-isu yang perlu dibuat keputusan. Masa depan adalah untuk kita yang inginkan perubahan. Persediaan itu perlu dilakukan lebih terancang, berstrategi dan tersusun. Segala peralatan dan kelengkapan perlu disiapkan. Hari demi hari adalah fasa pembinaan dan pengukuhan. Hari demi hari adalah proses membangun kekuatan. Hari demi hari adalah proses untuk mencambah idea dan minda, sesungguhnya maha banyak usaha yang perlu kita lakukan. Pilihannya ada pada tangan kita.

Syahdan, anak-anak muda dalam daulah itu perlu diberi ruang dan peluang. Mereka wajar dibesarkan jiwa dan impian. Tidak sewajarnya untuk mendidik dan mengasuh anak muda berjiwa lemah, takut dan kecil. Hari demi hari kita mendengar rintihan nasib anak-anak muda yang tidak terbela. Kerjaya, keluarga, kesihatan dan masa depan tidak tahu akhirnya. Tidak tahu juga hujung pangkalnya. Semua atas dasar kita terlalu pesimis kepada pandangan mereka. Kita selalu melagukan mereka tidak matang, hingusan malah tidak tahu memimpin.

Kita yang tidak pernah gagal. Gagal itu bukan hidup. Hidup bukan satu kegagalan. Hidup adalah kejayaan. Hidup adalah perubahan, kemajuan dan pembangunan. Setiap masa kita berfikir bagaimana untuk berlari ke hadapan. Setiap masa dan ketika kita bekerja demi sebuah harapan. Semoga ada sinar untuk hari esok kepada semua ahli warga. Semoga tidak pernah rasa letih, penat atau putus ada dengan kerja-kerja kita. Dunia ini hakikatnya milik kita dan sepatutnya diuruskan oleh kita, wahai anak-anak muda.

Menjadi Manusia Yang Paling Bersemangat

Sesungguhnya, kita mempunyai kuasa untuk menjadi manusia yang kita mahu jadi. Semua di alam ini berkonspirasi untuk kita capai apa jua yang kita mahu. Niat yang betul, usaha yang gigih serta doa yang tidak putus adalah formula paling penting untuk berjaya. Hakikatnya kita perlu bersedia untuk berubah. Paling penting untuk diubah adalah sikap dan jalur pandangan hidup kita. Penting juga untuk faham dan memahami bahawa setiap sesuatu itu ada dugaan dan cabarannya. Proses transisi itu tetap akan berlaku. Jesteru kita berbuat lebih lagi untuk terus kekal dalam momentum kejayaan. Jesteru kita harus lebih bekerja dan berfikir lebih keras.

Persoalannya, siapakah manusia yang paling bersemangat dalam dunia ini? Siapa yang bekerja kuat dan bersemangat dialah yang akan berjaya. Sesiapa yang mempunyai perancangan dan strategi, dia juga akan berjaya. Siapa yang punya daya kekuatan untuk merubah dan berubah, pun akan berjaya. Ingatlah Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehingga kaum itu sendiri mengubahnya. Fikirkanlah Alif, Ba, Ta. Alif untuk Agama. Ba untuk Bangsa. Ta untuk Tanahair. Haruskah anak-anak muda itu berfikir tentang semua itu berbanding AF, Mentor dan Liga Super. Haruskah anak-anak muda itu disibukkan tentang politik dan kuasa. Haruskah anak-anak muda itu berfikir tentang masa depan mereka. Sesungguhnya keadaan hari ini dan akan datang tidak pernah dan tidak akan sama sekali sama.

Kita yang dinasihati oleh peguamcara sesungguhnya percaya bahawa jika kita tidak bersiap sedia untuk masa depan hari ini, kita akan hidup dalam masa lampau esok. Oleh yang demikian, jangan menunggu lagi. Mulakan langkah untuk perubahan. Sesungguhnya semua ini akan berubah. Bila kita banyak wang, kita rendah diri kerana kita tahu keadaan itu akan berubah. Bila kita kurang wang, kita dapat bertenang kerana kita tahu keadaan itu juga akan berubah. Begitulah pasang surut hidup kita seharian. Sentiasa ada suka dan duka. Sentiasa ada peristiwa yang terjadi di sekeliling kita. Apa-apa jua yang berlaku pada kita anak-anak muda, ingatlah bahawa hidup perlu terus. Masa depan hidup kita bukan ditentukan oleh Mohamad Sabu.

Bercerita tentang peranan dan tanggungjawab, semestinya kita, faham dan sedar bahawa tanggungjawab lebih banyak daripada waktu yang kita. Idealisme manusia terus subur dan berbunga indah menghasilkan bau yang harum mewangi. Kita begitu memahami bahawa masa 24 jam yang Tuhan beri pada kita tidak pernah cukup untuk menyelesaikan masalah berbilion manusia. Kita berusaha sedaya upaya untuk memuaskan hati semua orang, semua manusia. Namun nafsu dan kehendak manusia itu tidak pernah puas dan padam selagi tidak menemui Yang Maha Esa. Jesteru kita berbuat sekadar kemampuan kita. Buat sehabis baik. Teruskan perjalanan ini kerana dunia ini akhirnya akan menjadi milik anak-anak muda, iaitu kita.