aduhai Malaysia yang ku chenta

1. Pada hari ini di Malaysia ada satu cara untuk kita memusnahkan karier politik seseorang. Mudah saja. Sebarkan gambar bogel seseorang itu kepada umum kemudian membuat huha dalam media. Sungguh efektif cara ini sehingga akhirnya si mangsa akan dipaksa meletak jawatan atas alasan untuk menjaga nama baik parti atau rakyat yang memilih.

2. Jangan terkejut jika saya katakan bahawa orang politik tidak ada yang bersih. Dalam banyak segi kita lihat orang yang desperate sanggup lakukan apa sahaja sehingga hal atas katil pun dibincangkan secara umum. Kita simpati terhadap apa yang berlaku pada Kak Eli ADUN Bukit Lanjan. Siapalah yang tidak keruan bila hak privasi menjadi bahan tontonan orang ramai. Saya tidak pasti di zaman apakah yang kita tinggal kini. Saya rasakan sebahagian Yang Berhormat dalam negara kita ini sudah hilang akal.

3. Jika terlalu gilakan kuasa sekalipun janganlah menyerang peribadi seseorang. Apatah lagi dengan perbuatan menyebar gambar ini menjadikan anak-anak muda teruja daripada tak tahu kepada tahu. Ini bukan lagi soal untuk kita melabon ke sana ke mari inginkan kuasa yang telah hilang. Ini soal maruah dan tatasusila kita bersama. Di waktu rakyat tertekan dengan kegawatan ekonomi, hilang pekerjaan dan pendapatan; hari ini ada pula yang buat lawak bodoh sebarkan gambar tak tentu hala.

4. Apapun kita tahu isu ini satu diversion terhadap apa yang berlaku di Perak. Baru hari ini saya sedar bahawa isu-isu lucah, seks dan bogel ini boleh menjadi senjata yang ampuh untuk menutup mata orang ramai terhadap isu yang lebih besar. Sungguh liciknya pihak media untuk membawa minda dan jiwa rakyat pada isu remeh-temeh dan kecil sehingga rakyat terlupa bahawa harga tol akan naik lagi bulan Mac nanti. Maka sebahagian pendapatan saya ditabarru'kan kepada Projek Lebuhraya Utara-Selatan.

5. Pada hemat saya, perbuatan ini melanggar hak asasi dan merendahkan maruah wanita. Saya rasakan orang yang menjadi menjadi dalang menyebarkan gambar ini jika dia lelaki harus disunat semula. Jika dia perempuan maka suka hati-lah nak buat apa. Perbuatan ini lebih teruk daripada binatang yang bernama buaya. Saya rasa si dalang penjenayah ini tidak wajar dipenjara. Patut dia ditangkap dan digantung kaki di atas kepala di bawah dalam keadaan bogel.

6. Kita mengutuk perbuatan durjana yang memalukan ini. Jangan marah kalau anak muda hari ini sebarkan gambar bogel atau tonton video lucah. Bukankah orang tua juga yang mengajar mereka berbudaya begitu. Kita patut menyalahkan diri sendiri dahulu sebelum menuding jari menuduh pihak Barat.

aku mau kawen dengan anak raja


1. *Intro. Patik mohon untuk tidak derhaka. Patik hanya mahu coretkan pandangan patik terhadap institusi raja. Patik bukan keturunan raja. Patik hanya rakyat biasa yang hina dina. Patik mohon gunakan bahasa rakyat biasa. Ini kerana patik bukan anak raja waima punya hubungan dengan mana-mana gundik raja. Patik hanya kenal dengan Raja Kapoor melalui filem Tamil yang Patik tonton sewaktu kecil melalui TV hitam putih berjenama Singer.

2. *Topic sentence. Dulu saya pernah berangan-angan untuk kahwin dengan anak raja. Idea ini timbul setelah saya menonton cerita bawang putih bawang merah. Berkahwin dengan anak raja atau mempunyai hubungan dengan kerabat raja sudah pasti menjadikan hidup kita bertuah. Tinggal di istana bergoyang kaki dan tangan. Semuanya disediakan dengan kemewahan dan keselesaan. Tidak perlu susah payah belajar bagai nak rak. Tidak perlu terlalu pandai atau cerdik kerana pasti dapat belajar di universiti ternama atas title raja. Gelaran dan pangkat menjadi pujaan rakyat biasa. Hidup ini begitu indah sekiranya menjadi anak raja.

3. Rupanya itu hanya ilusi sebuah kehidupan. Saya hanya bermimpi. Dari mana datangnya idea raja ini saya pun tidak tahu. Setahu saya raja ini perlu dihormati dan didaulatkan. Jika tidak terkena Tulah. Tidak pasti apakah Tulah itu kerana sewaktu kecil saya hanya mendengar itulah. Saya tidak pasti mengapa dalam struktur masyarakat kita terlalu banyak kelas dan kasta. Ada orang yang terlalu kaya dengan gelaran diraja dan istana. Saya tidak pasti apakah raja juga bekerja seperti rakyat biasa. Maafkan saya jika ini semua dianggap derhaka. Saya hanya mencari dan ingin mengenalpasti asal usul manusia bernama raja.

4. Setahu saya jika menjadi raja atau keturunan raja selain tinggal di istana, plat kereta berwarna kuning menyala. Tidak perlu membayar tol seperti rakyat biasa. Ada kereta dan motor polis peronda. Raja dikatakan pembela Melayu dan agama. Ada juga pengkhabaran bahawa kehidupan diraja penuh dengan dosa dan noda. Saya tidak pasti apakah benar ini semua. Yang pasti raja tetap raja dan tidak akan menjadi rakyat biasa. Tidak perlu aaah dan ooohh lagi dalam soal ini. Rupanya jika kita ingin menumbangkan sesuatu kerajaan kita boleh berselindung di sebalik nama raja. Jika kita ingin kekal berkuasa kita boleh minta pertolongan raja. Sekali lagi patik mohon ampun patik sembah di ampun. Patik hanya ingin mencari cahaya kebenaran.

5. Alangkah baiknya jika datuk saya dulu keturunan raja. Eh silap. Alangkah baik sekiranya atuk saya dulu ketuturnan raja. Jika tidak pada hari ini sudah tentu saya dipanggil Yang Mulia. Tidak perlu saya jadi anak muda yang berhempas pulas berusaha mengejar cita-cita. Cukup memberikan ucapan penuh karisma di majlis dan dan perhimpunan rakyat biasa. Tentu semua orang kagum dengan saya kerana saya anak raja. Tidak perlu bayar cukai dan tol di lebuhraya. Tentu setiap pagi saya bermain golf di pinggir kotaraya. Hujung minggu saya bercuti di London atau Singapura. Kenapalah dulu nenek saya tidak pilih putera raja sebagai jejaka pilihannya.

6. *Mamak, teh tarik satu!! - Saya pasti ayat ini tidak akan muncul jika saya anak raja. Adakah minum teh tarik juga dianggap derhaka. Oleh itu saya lupakan hasrat untuk jadi menantu raja..

biarkan si cheneke dengan labu-labunya

1. Benar kata bos saya bahawa apa yang terjadi di Perak adalah lumrah politik. Sebab itu orang baik katanya jangan terlibat dengan politik. Orang baik kena jadi businessman macam dia. Pakai Mercedes Benz S-80 Kompressor, tinggal di rumah Banglo 3 tingkat dan mempunyai unliquidated asset lebih 1 juta di OffShore Labuan. Perangai gila seperti ini menjadi kesukaan saya. Namun saya masih percaya pada kesucian politik biar biar betapa kotorpun ia. Politik bagi saya adalah jalur pemikiran membaiki urusan hal ehwal umat dan negara. Memahami ilmu dan garis politik harus menjadi subjek wajib bagi anak muda hari ini.

2. Sewaktu kecil dahulu saya selalu dengar perkataan 'cheneke'. Ini bahasa orang Nogori Sembilan. 'Cheneke' ini bermaksud perbuatan 'main tipu' atau 'baling batu sembunyi tangan'. Butir-butir 'cheneke' ini selalu terhambur keluar dari mulut anak-anak kecil yang bermain ketenteng atau lecut tin di halaman rumah. Contoh ayat:- 'cheneke la kau ni!!'. Ini terjadi apabila ada kepala yang bermain tipu atau silap mata semata-mata untuk menang mudah dalam permainan. Budak 'cheneke' ini biasanya akan dipulau dan dikutuk oleh rakan-rakan satu kampung. Silap haribulan mungkin permainan itu diboikot lalu tinggallah si 'cheneke' untuk bermain sendirian dengan selipar Jepun.

3. Mungkin itu gambaran paling tepat yang boleh dilihat terhadap apa yang berlaku di Perak kini. Si 'cheneke' sedang sibuk melabon dan meraung-raung gilakan kuasa. Bagi saya dalam situasi ini kita tidak perlu membazir masa untuk eeeekk dan aaaahhh. Perbuatan ini sama ibarat mamat yang kehilangan bini. Apa yang perlu dilakukan kini adalah meniru cara anak-anak kecil tadi ; membiarkan si 'cheneke' poyo bermain sorang-sorang. Lambat laun satu kampung akan sedar si 'cheneke' memang kaki silap mata dan putar alam. Orang kampung akan mula memboikot si 'cheneke' atau mungkin tidak mempedulikannya sama sekali.

4. Baru-baru ini saya mengalami muntah-muntah yang agak teruk. Tidak tahu mengapa saya begitu mual tiap kali menonton berita TV3 jam 8. Saya rasa situasi yang berlaku di Perak hari ini lebih teruk daripada menonton drama lucah. Drama dan peristiwa ini lebih hebat daripada drama si Pari-Pari Indonesia setiap petang. Isu perkauman dan racist timbul semula setelah rakyat mahukan perubahan tanggal 8 Mac. Kali ini isu saman-menyaman Sultan muncul lagi. Tidak perlu dibahaskan Artikel 16(6) Perlembagaan sekiranya undang-undang di kambing hitamkan. Soalnya siapakah dalang di sebalik kekecohan ini. Siapa sebenarnya yang melompat dan tidak beretika. Adakah Bik Mama terlalu marah apabila isu beratnya menjadi isu nasional.

5. Jangan bermain 'cheneke' jika tidak mahu dipulaukan orang kampung atau hilang kepercayaan selama-lamanya. Orang 'cheneke' biasanya akan hilang kepercayaan dan dihalau keluar dari kampung. Bayangkan kalau si cheneke jadi ketua kampung. Sudah pasti habis tanah-tanah di kampung dijual dan dilabon. Bagaimana pula keadaannya apabila si 'cheneke' memerintah kerajaan negeri? Lu pikir la sendiri.

the revolution is easy - really?


1. Saya meminati politik sejak kecil. Tiada dalam keluarga saya yang menceburi mahupun terlibat dalam parti politik. Ayah saya tidak pernah melanggan Harakah mahupun Suara Keadilan. Bahan bacaan ketika saya masih kecil adalah Utusan Malaysia dan Berita Harian. Itu cerita dulu. Hari ini di rumah hanya ada Akhbar Sinar Harian. Ayah saya sudah bosan. Cerita politik hari ini bukan lagi soal usaha memartabatkan kehidupan dan pembangunan insan. Politik hari ini mendasar kepada perebutan kuasa dan kedudukan.

2. Sewaktu pulang ke kampung beraya Cina baru-baru ini saya berbual dengan jiran. Majoriti mereka bercerita soal masa depan gerombolan. Mereka mahukan anak muda bangkit untuk mempertahankan ketuanan. Saya hanya mendengar dan tersenyum mengiyakan. Bukan bermakna setuju dan tidak juga ingin melawan. Orang tua saya hormati sebagai seorang insan. Saya suka mendengar luahan perasaan. Saya suka kepada mereka yang berani mempertahankan ketuanan. Saya juga pro-perubahan. Politik sifatnya berubah dan bertahan. Ini revolusi. Revolusi seperti mana yang dipelopori Shah Iran di era 70-an. Ini adalah gelombang perubahan. Namun perubahan ini masih perlu diberikan perhatian.

3. Umum mengetahui saya membenci stereotaip dan tipikal. Hari ini orang Melayu sangat takut untuk berubah. Orang Melayu sangat sinonim dengan budaya mengampu dan menongkat. Orang Melayu sangat tipikal dengan idea-idea lapuk dan lama. Pemimpin Melayu suka berbaju batik lengan panjang. Makcik di Felda dan kampung suka dengan gelang tangan berjela. Saya rimas. Anak muda hari ini rimas dengan keadaan ini. Apa yang berlaku di Perak membuatkan saya lebih rimas. Budaya suka melompat ini adalah perangai binatang yang suka melompat.

4. Dikala rakyat menghadapi kesempitan hidup yang begitu memeritkan hari ini, ada pemimpin yang sibuk mengejar kuasa dan jawatan. BN atau PKR bukan persoalan. Akhbar melaporkan ratusan ribu rakyat dijangka kehilangan pekerjaan. Ekonomi merudum. Graduan menganggur. Tambang bas naik. Rakyat asing yang bekerja dalam negara dibuang kerja dan hilang sumber pendapatan. Indeks jenayah meningkat. Rakyat hidup dalam keperitan. Polis hilang sabar lalu membelasah Kugan.

5. Mari kita bermuhasabah dan melihat semula peranan sebenar kita. Baru kita sedar bahawa apa yang terjadi kini berkait rapat dengan soal pemerintahan dan kuasa. Politik bukan sekadar platform untuk mendapat gelaran Dato' atau Tan Sri. Politik adalah soal urus tadbir sosial dan kehidupan. Politik adalah soal penghayatan sebuah kehidupan yang bebas dan aman. Politik bukan lagi soal pemberian sedekah lembu dan kambing untuk menunjukkan betapa tingginya nilai keIslaman. Politik lebih berat kepada soal pendidikan dan perkhidmatan. Mewujudkan kelas dan darjat tertentu dalam masyarakat adalah budaya yang cukup memualkan.

6. Akibatnya pada hari ini kita terdorong untuk menjadi wakil rakyat kerana pangkat dan gelaran. Anak muda sudah muak dan rimas dengan janji manis dan cakap kosong ahli politik. Baik yang memperjuangkan nasib bangsa dan menggunakan retorik agama. Jika dahulu YB2 sinonim dengan kereta mewah dan bergaya, mengapa tidak hari ini para pemimpin merendah diri dengan menaiki kereta biasa. Perlukah ucapan perasmian berjela-jela di majlis rasmi. Perlukan penghormatan terhormat dan karpet merah untuk program bersama rakyat. Munkee ini lupa bahawa rakyat yang memilih mereka. Munkee ini lupa mereka hanya 'wakil' pada rakyat. Bila jadi wakil rakyat maka tempatnya di Dewan Rakyat atau DUN bukan di Pekan.

7. Cukuplah dengan sterotaip yang ada dulu. Kini rakyat mahukan perubahan. Kita tidak mahu lagi melihat pemimpin formal berbaju batik lengan panjang turun ke Felda dan kampung merasmikan majlis. Ini tidak cool dan sempoi. Dalam bahasa lain pemimpin jenis ini dinamakan poyo. Kita tidak mahukan pemimpin poyo baik daripada BN, PKR atau PAS. Pemimpin poyo tidak layak untuk jadi pemimpin. Kalau mahu kontrek dan projek jangan jadi pemimpin Pakatan Rakyat. Sila jumpe Bik Mama atau Dato' Shah Rukh Khan.

8. Kita hanya memilih pemimpin yang selesa berkereta Datsun dan Nissan 60-an. Kita memilih pemimpin yang mementingkan agenda pendidikan untuk membela dan menternak lembu bukan memberi sedekah lembu. Kita hanya memilih pemimpin yang boleh dijumpai di kedai kopi dan masjid tanpa sebarang birokrasi dan sekatan. Kita selesa dengan pemimpin yang tidak boroi dan banyak sangat makan. Kita suka dengan pemimpin yang prihatin dan sedar bahawa rakyat sedang dalam kesusahan. Kita suka pada pemimpin yang membuang tali leher dan jaket tebal yang merimaskan.

9. Every man is the Architect of his own fortune - Sallust . Sekali lagi ini tiada kaitan dengan Kugan.