Selamat Datang Kebebasan

Kehidupan ini hanyalah sebentar sahaja. Waktu hidup hendaklah kita gunakan dengan sebaiknya. Dari kecil kita meningkat dewasa. Belajar, bekerja dan berumahtangga. Sewaktu kecil kita dibela oleh kedua ibu-bapa. Ketika dewasa kita pula berbakti kepada kedua mereka. Dunia ini bulat dan berputar. Sepertimana peredaran masa dan waktu. Begitu juga dengan bertambahnya usia dan kematangan kita. Sampai masanya untuk kita menjadi matang dan dewasa. Sampai masanya untuk kita menentukan arah tuju kita. Sampai masanya kita membuat keputusan - kita nak jadi apa sebenarnya.

Melalui saat-saat itu kita melihat apa yang berlaku di sekeliling. Malaysia dalam transisi. Tahun 2012 adalah tahun transformasi. Politik, sosial dan ekonomi. Semuanya harus ada evolusi. Semua harus ada inovasi untuk yang lebih segar dan bersih. Kita perlukan tenaga muda untuk terus memacu negara ke hadapan. Kita perlu memotivasi golongan muda untuk berimpian besar. Kita perlu memberi peluang kepada anak-anak muda untuk memimpin daulah. Kita perlu bersedia untuk pastikan masa depan negara lebih cerah di tangan anak-anak muda dewasa itu..

Malangnya bukan mudah untuk memberi kepercayaan kepada anak-anak muda itu. Bukan mudah untuk mengalihkan kuasa. Bukan mudah untuk kita mendaki ke puncak jaya. Bukan mudah untuk kita mendapat jalan pencerahan. Bukan mudah juga untuk kita lakukan perubahan total. Cabarannya cukup kental dan kuat. Ombaknya bukan sahaja ombak rindu tetapi ombak api yang sentiasa menggugat sesiapa sahaja yang cuba mencabar establishment itu. Sistem yang berkarat selama 50 tahun lebih itu harus diubah - namun ianya hanya bisa diubah oleh tangan anak-anak muda yang mula mendewasa..

Dari kecil kita sering dimomokkan dengan ketakutan. Benar sekali, drama dan cerita hantu di TV dan panggung wayang adalah agenda psiko dan doktrinisasi untuk melemahkan minda. Biarkan anak-anak muda itu takut dan lemah. Biarkan orang Melayu itu berjiwa kecil. Hantu dan toyol adalah yang paling ditakuti. Berniaga dan risiko juga perlu ditakuti. Transisi daulah juga perlu ditakuti kerana ada hantu dibelakang semua itu. Takut sini dan takut situ berlegar di sekeliling kita. Akhirnya kita menjadi senyap dan takut untuk bersuara. Akhirnya kita terus miskin, hina dan papa kedana. Akhirnya kita terus tinggal di dalam hutan dan di dalam ladang sawit. Kaunterpart lain terus kaya raya, maju dan mendominasi kuasa daulah sedunia.

Bilakah kita akan berubah. Siapakah yang akan merubah. Dimanakah kita harus bermula untuk berubah. Semua itu berlegar di sekeliling kita. Kita yang memilih untuk mencorakkan masa depan kita. Jangan salahkan daulah. Jangan salahkan aritokrat dan birokrat. Jangan salahkan Sang Penguasa. Salahkan diri kita kerana tidak belajar dan malas berusaha. Salahkan diri kita kerana berbudaya lesu dan lemau. Kita membudaya sesuatu yang tak mungkin membawa kita maju ke hadapan. Kita selesa hidup dalam lingkungan kita yang stereotaip. Kita suka membawa diri kita belakang dengan mengampu dan menunggu. Kita tidak suka kepada sesuatu yang dinamakan kebebasan. Kita tidak akan berubah, jika kita sendiri tidak berniat melakukan perubahan~