Kini Segalanya Bakal Berubah

Apabila kematian Muammar Gaddafi dilaporkan, ada di antara kita yang gembira. Tidak kurang juga yang bersedih, pejuang benua Afrika ini telah tiada. Pendirian Gaddafi dalam soal kuasa hegemoni Barat dan sekutunya tidak dapat disangkal lagi. Gaddafi bertegas menyelamatkan minyak di benua Afrika daripada dijajahi oleh Amerika Syarikat dan sekutunya. Gaddafi cuba mempertahankan negaranya daripada dijajah, dalam masa yang sama menzalimi warga negaranya sendiri. Kini Gaddafi telah tiada. Pemerintahan Gaddafi jatuh kerana pemberontakan yang ditaja oleh NATO. Akhirnya Gaddafi hilang ditelan kuasa ekonomi ciptaan kapitalis baru dunia yakni China.

Kehidupan itu ibarat roda. Kadangkala kita di atas. Kadangkala kita dibawah. Ada masanya kita berasa selesa. Ada masanya kita berasa susah. Realiti kehidupan ini kita tidak dapat nafikan. Sama seperti kita tidak dapat nafikan kejatuhan Gaddafi di Libya. Sama seperti kekalahan MU kepada Manchester City. Atau kekalahan Chelsea kepada QPR. Yang kecik kini boleh mengalahkan yang besar. Yang muda boleh mengalahkan yang dewasa. Yang baru boleh menggantikan yang lama. Pokok pangkalnya di sini ialah, dalam setiap keadaan apa yang pasti berlaku adalah perubahan. Perubahan, tidak ada siapa yang mampu menghalangnya. Umpama air tsunami yang mengalir laju. Tidak ada sesiapa yang mampu menahannya.

Segalanya bakal berubah tidak lama lagi. Cabaran itu pastinya sangat kuat. Dugaan itu pasti akan datang. Masalah itu pasti akan terus melekat. Itulah kehidupan. Kita tidak boleh lari daripadanya. Kita harus lebih kuat daripada segala cubaan dan dugaan hidup. Kita mesti terus positif dalam meletakkan kepercayaan kepada diri kita sendiri. Kita mesti yakin akhirnya kita akan berjaya dalam hidup. Langit takkan selamanya gelap. Akhirnya awan gelap akan berlalu pergi. Sinar mentari akan datang untuk pencerahan kepada hidup anak-anak muda.

Tidak selamanya kita akan menjadi anak muda. Kita akan bergerak ke alam tua. Alam di mana kehidupan itu dilihat dengan lebih menarik. Lebih kreatif, lebih berani dan lebih matang dalam mendepani cabaran. Lupakan Elton John. Lupakan Maddi Jane. Lupakan Ibrahim Ali dan Zul Nordin. Mereka tidak penting dan bukan sesiapa dalam hidup kita. Kita mesti terus bergerak dengan jayanya. Kehidupan perlu dilihat sebagai satu penerokaan. Tidak habis diteroka segala hutan dan alam. Tidak habis dalam meneroka dunia. Tidak habis dalam mengkaji semiotik sifat dan tabiat manusia. Tidak pernah penat dan lelah untuk terus bekerja mencari harta dunia.

Arakian tanggungjawab itu lebih banyak dari waktu yang kita ada. Dari bujang kini berdua. Dari berdua kini berkeluarga. Kita yang tidak pernah gagal cuma belum berjaya. Apapun kita mesti terus mencuba. Jangan takut gagal. Jangan takut kalah. Jangan takut miskin tidak berduit. Jangan takut dimarahi bos. Sekiranya takut dimarahi bos maka jadilah bos jangan jadi kuli. Paling baik untuk menjadi kaum pemodal dan kroni. Paling baik ada bisnes sendiri. Lagi baik buat bisnes sama-sama laki bini. Kita takkan mampu membeli beg tangan berlori-lori. Akhirnya semua terpulang kepada diri kita sendiri.

Apapun yang terjadi, ingatlah terus berjuang hingga ke saat yang terakhir. Tolonglah jangan salahkan Sarbinee Alwee. Dia juga manusia tidak lengkap serba serbi. Negeri Sembilan main bola memang hebat sekali. Akhirnya Negeri Sembilan juara Piala Malaysia dua kali. Gembira tak terkata, semangat macam inilah yang kita nak dalam diri. Jangan putus asa walaupun dah gol sekali. Jangan lemah semangat dengan sumpahan dan cacian orang pada company. Teruskan perjalanan sehingga kita teguh berdiri. Kini segalanya bakal berubah, teruskan usaha dan berdikari di atas kaki sendiri. Orang Melayu bukannya lemah, cuma kurang percaya diri sendiri.

0 comments: