Kita Yang Tidak Pernah Gagal

Setiap masa kita berfikir untuk bebas. Bebas ini dalam konteks anak muda adalah tidak terikat. Tidak terikat bermaksud tidak perlu disuruh dan diarah oleh sesiapa. Bebas melakukan dan membuat sesuatu. Berdiri di atas kaki sendiri. Bergantung kepada usaha dan amal. Terus mengejar masa depan. Masa dan waktu yang terus berjalan. Kita semakin dewasa dan tua. Kita mengejar masa di hadapan. Kita mencari sebuah kehidupan yang dinamakan kebebasan.

Hari itu kita menyedari bahawa untuk meraih semua itu perlukan kekuatan. Kekuatan iman dan kepercayaan. Kekuatan dalaman diri. Kekuatan untuk kita berdepan dengan cabaran onak duri. Kekuatan untuk kita terus berusaha dan mencari jalan, bagaimana untuk merubah suasana di sekeliling kita. Hakikatnya kita hidup di kalangan manusia sampah yang menghamburkan segala macam bau busuk kepada kita. Segala yang negatif di sekeliling kita adalah ancaman kepada kejayaan. Untuk berjaya kita perlu rapat dengan orang yang mempunyai poket positif. Untuk gagal pula kita selalu berurusan dengan orang yang mempunyai peribadi negatif.

Semakin kuat cabaran itu, semakin bagus dan kuatlah kita. Berhadapan dengan kekangan. Berhadapan dengan cabaran kewangan. Berhadapan dengan isu-isu yang perlu dibuat keputusan. Masa depan adalah untuk kita yang inginkan perubahan. Persediaan itu perlu dilakukan lebih terancang, berstrategi dan tersusun. Segala peralatan dan kelengkapan perlu disiapkan. Hari demi hari adalah fasa pembinaan dan pengukuhan. Hari demi hari adalah proses membangun kekuatan. Hari demi hari adalah proses untuk mencambah idea dan minda, sesungguhnya maha banyak usaha yang perlu kita lakukan. Pilihannya ada pada tangan kita.

Syahdan, anak-anak muda dalam daulah itu perlu diberi ruang dan peluang. Mereka wajar dibesarkan jiwa dan impian. Tidak sewajarnya untuk mendidik dan mengasuh anak muda berjiwa lemah, takut dan kecil. Hari demi hari kita mendengar rintihan nasib anak-anak muda yang tidak terbela. Kerjaya, keluarga, kesihatan dan masa depan tidak tahu akhirnya. Tidak tahu juga hujung pangkalnya. Semua atas dasar kita terlalu pesimis kepada pandangan mereka. Kita selalu melagukan mereka tidak matang, hingusan malah tidak tahu memimpin.

Kita yang tidak pernah gagal. Gagal itu bukan hidup. Hidup bukan satu kegagalan. Hidup adalah kejayaan. Hidup adalah perubahan, kemajuan dan pembangunan. Setiap masa kita berfikir bagaimana untuk berlari ke hadapan. Setiap masa dan ketika kita bekerja demi sebuah harapan. Semoga ada sinar untuk hari esok kepada semua ahli warga. Semoga tidak pernah rasa letih, penat atau putus ada dengan kerja-kerja kita. Dunia ini hakikatnya milik kita dan sepatutnya diuruskan oleh kita, wahai anak-anak muda.

Menjadi Manusia Yang Paling Bersemangat

Sesungguhnya, kita mempunyai kuasa untuk menjadi manusia yang kita mahu jadi. Semua di alam ini berkonspirasi untuk kita capai apa jua yang kita mahu. Niat yang betul, usaha yang gigih serta doa yang tidak putus adalah formula paling penting untuk berjaya. Hakikatnya kita perlu bersedia untuk berubah. Paling penting untuk diubah adalah sikap dan jalur pandangan hidup kita. Penting juga untuk faham dan memahami bahawa setiap sesuatu itu ada dugaan dan cabarannya. Proses transisi itu tetap akan berlaku. Jesteru kita berbuat lebih lagi untuk terus kekal dalam momentum kejayaan. Jesteru kita harus lebih bekerja dan berfikir lebih keras.

Persoalannya, siapakah manusia yang paling bersemangat dalam dunia ini? Siapa yang bekerja kuat dan bersemangat dialah yang akan berjaya. Sesiapa yang mempunyai perancangan dan strategi, dia juga akan berjaya. Siapa yang punya daya kekuatan untuk merubah dan berubah, pun akan berjaya. Ingatlah Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehingga kaum itu sendiri mengubahnya. Fikirkanlah Alif, Ba, Ta. Alif untuk Agama. Ba untuk Bangsa. Ta untuk Tanahair. Haruskah anak-anak muda itu berfikir tentang semua itu berbanding AF, Mentor dan Liga Super. Haruskah anak-anak muda itu disibukkan tentang politik dan kuasa. Haruskah anak-anak muda itu berfikir tentang masa depan mereka. Sesungguhnya keadaan hari ini dan akan datang tidak pernah dan tidak akan sama sekali sama.

Kita yang dinasihati oleh peguamcara sesungguhnya percaya bahawa jika kita tidak bersiap sedia untuk masa depan hari ini, kita akan hidup dalam masa lampau esok. Oleh yang demikian, jangan menunggu lagi. Mulakan langkah untuk perubahan. Sesungguhnya semua ini akan berubah. Bila kita banyak wang, kita rendah diri kerana kita tahu keadaan itu akan berubah. Bila kita kurang wang, kita dapat bertenang kerana kita tahu keadaan itu juga akan berubah. Begitulah pasang surut hidup kita seharian. Sentiasa ada suka dan duka. Sentiasa ada peristiwa yang terjadi di sekeliling kita. Apa-apa jua yang berlaku pada kita anak-anak muda, ingatlah bahawa hidup perlu terus. Masa depan hidup kita bukan ditentukan oleh Mohamad Sabu.

Bercerita tentang peranan dan tanggungjawab, semestinya kita, faham dan sedar bahawa tanggungjawab lebih banyak daripada waktu yang kita. Idealisme manusia terus subur dan berbunga indah menghasilkan bau yang harum mewangi. Kita begitu memahami bahawa masa 24 jam yang Tuhan beri pada kita tidak pernah cukup untuk menyelesaikan masalah berbilion manusia. Kita berusaha sedaya upaya untuk memuaskan hati semua orang, semua manusia. Namun nafsu dan kehendak manusia itu tidak pernah puas dan padam selagi tidak menemui Yang Maha Esa. Jesteru kita berbuat sekadar kemampuan kita. Buat sehabis baik. Teruskan perjalanan ini kerana dunia ini akhirnya akan menjadi milik anak-anak muda, iaitu kita.