Susahnya Menjadi Anak Muda di Malaysia

Kalau saya dihadapkan dengan pertanyaan tentang apakah perkara yang susah dalam dunia ini maka mungkin saya cuba senaraikan perkara seperti mencari penyelesaian perang di Iraq, menghapuskan bahaya senjata nuklear, menghadkan pencemaran udara atau memperbaiki kerosakan alam sekitar.
Jawapan saya ini ada benarnya. Tetapi ada lagi satu perkara yang paling amat susah dalam dunia ini. Perkara ini adalah ibu kepada semua kesusahan dan kepayahan yang terkumpul dalam dunia ini. Perkara yang saya maksudkan ialah menjadi anak-anak muda Melayu di Malaysia. Mungkin warga negara luar tidak memahami apa yang saya maksudkan. Saya mengakui dan memahami kenapa orang luar akan menganggap pandangan saya ini tidak tepat. Malah warga Malaysia yang bukan Melayu juga tidak akan memahami sepenuhnya betapa susahnya untuk menjadi anak muda Melayu pada permulaan kurun ke-21 ini.

Jika saya mati dan kemudian diberi peluang untuk hidup sekali lagi saya juga akan memilih sekali lagi untuk dilahirkan di Malaysia. Cuma kali ini saya tidak ingin menjadi anak muda. Saya ingin terus menerus menjadi kanak-kanak tanpa menjadi anak muda. Atau terus dilahirkan sebagai orang dewasa. Saya ingin melangkahi zaman muda. Mungkin permintaan saya ini tidak akan dimakbulkan.

Kalau hairan kenapa saya berkata sedemikian sila baca akhbar Melayu dari tabloid hingga ke akhbar arus perdana. Semua akhbar ini akan memberi laporan tentang masalah anak-anak muda Melayu. Anak muda Melayu ini sering menjadi induk berita. Ada yang memperkatakan anak muda Melayu lari dari Islam. Anak muda Melayu rosak akidah. Anak muda Melayu disesatkan oleh paderi. Anak muda Melayu minum holy water. Anak muda Melayu masuk agama Kristian.

Ada yang menulis tentang anak muda Melayu kurang hormat orang tua. Anak muda Melayu tidak berbudi bahasa. Ada yang membuktikan bahawa anak muda Melayu tidak pandai berterima kasih. Anak muda Melayu meninggalkan budaya Melayu. Anak muda Melayu tidak tahu adat istiadat Melayu.

Kemudian diberikan bukti statistik bahawa anak muda Melayu paling banyak tersimpan dalam pusat serenti. Anak muda Melayu terbanyak sebagai kaki lepak. Anak muda Melayu terbanyak tidak pandai dalam ilmu sains dan maths. Anak muda Melayu tidak cekap dalam Bahasa Inggeris. Anak muda Melayu banyak jadi Mak Nyah dan Gay. Anak muda Melayu menjadi bohjan dan bohsia. Anak muda Melayu paling senang dipengaruhi Barat. Anak muda Melayu suka menjadi punk. Anak muda Melayu suka menjadi skinhead. Anak muda Melayu senang dipengaruhi oleh heavy metal.

Untuk mensahihkan berita yang dilaporkan ini maka para pengamal media menemubual seorang profesor kangkong dari Universiti Sintok yang bertali leher untuk memberikan pandangan tentang anak muda Melayu. Profesor kangkong ini akan berteori untuk mengatakan bahawa semua ini adalah gejala sosial yang puncanya dibawa oleh Barat. Ini akan disambut oleh seorang lagi profesor dari Universiti Institute Politeknik Teknologi Multimedia cawangan Manjung. Profesor ini yang tidak kurang juga kangkongnya akan memberi pandangan bahawa anak-anak muda Melayu ini akan menjadi warga yang berguna jika mereka digalakkan bertutur dalam bahasa Inggeris dan menggunakan tulisan jawi.

Pandangan cendiakawan Melayu ini akan disambut pula oleh para alim ulama yang akan mengeluarkan fatwa-fatwi. Untuk kumpulan ulama ini semua gejala sosial ini amat senang diselesaikan. Kuncinya ialah haram. Maka Sure Heboh wajib diharamkan, haramkan konsert muzik rock, haramkan vcd, haramkan pusat karaoke, haramkan percampuran lelaki dan perempuan. Haramkan muzik yang bertali seperti gitar dan violin. Haramkan sambutan Hari Valentine. Haramkan ini dan haramkan itu. Khalas. Bila semua telah haram maka anak-anak muda Melayu akan bijak, bersopan santun dan fasih berbahasa Inggeris untuk mengikuti kuliah Sains dan Matematik.

Tidak cukup dengan fatwa dan fatwi ini, anak-anak muda Melayu akan menghadapi pelbagai jenis larangan pula. Ada negeri mencadangkan untuk melarang anak muda keluar malam. Ada larangan menghalang mereka duduk berdua-duaan di dalam taman. Mereka dilarang memakai seluar jeans. Ada larangan mewarnakan rambut mereka. Mereka dilarang dari menindik telinga dan hidung. Ada larangan mereka dari memasuki premis itu dan ini.

Nah! Berdarah kepala otak anak-anak muda Melayu apabila semua ini dihempapkan ke ubun mereka. Setiap hari mereka menerima kutukan. Setiap hari mereka dipersalahkan. Jika mereka tidak lulus belajar mereka dikatakan malas. Jika mereka berijazah tetapi tidak mendapat pekerjaan mereka dituduh terlalu memilih kerja. Jika mereka berkerja mereka akan dituduh tidak profesoinal dan selalu curi tulang.

Saya perhatikan seolah-olah semua masalah dalam negara ini berpunca dari anak-anak muda. Anak-anak muda terutama anak muda Melayu adalah pembawa virus yang paling merbahaya ke atas negara ini. Apabila kutukan dan sumpah seranah ke atas anak-anak muda ini mula dilihat oleh awam sebagai satu yang betul maka hari ini anak-anak muda diwajibkan pula untuk memasuki Program Khidmat Negara. Ini dilihat sebagai satu lagi jalan pintas untuk memperbaiki akhlak anak-anak muda.

Nanti sebentar! Cuba kita buka mata dan amati apa yang sedang berlaku sekarang. Amat jelas bahawa ruang untuk anak muda melayari kemudaan mereka makin disempitkan. Zaman muda untuk meneroka potensi dan semua kemungkinan dalam hidup muda ini semakin dihalang. Anak-anak muda Melayu ini ingin dituakan sebelum mereka tua.

Memang banyak persatuan belia yang wujud dalam negara ini. Hebat dan amat gah namanya. Tetapi lihat pula barisan pemimpin anak-anak muda dan belia ini - semuanya 'oldtai'. Semuanya telah 'kotai' dan tua bangka. Ada pemimpin belia yang telah bercucu cicit. Ada yang botak dan tidak ada sehelai rambut pun di kepala tetapi masih ada nafsu untuk memimpin anak muda dan belia. Ada yang datang ke mesyuarat dengan memakai tongkat. Mungkin tidak lama lagi akan ada pemimpin belia yang datang ke mesyuarat dengan kerusi roda.

Dalam univerisiti - gelanggang ilmu anak muda - seribu satu macam larangan telah diwartakan. Bayangkan ada pula universiti yang mewajibkan para pelajarnya memakai baju lengan panjang dan tali leher. Ada yang mewajibkan memakai baju batik dan mengharamkan baju T. Kenapa perkara ini berlaku dan apa logiknya masih menjadi persoalan besar untuk kurun ini. Mungkin jika anak muda ini memakai tali leher apabila mendengar kuliah maka otak mereka akan cepat menerkam apa sahaja yang diluahkan oleh para profesor kangkong. Tiba-tiba tali leher dan baju batik dilihat sebagai alat penting penerima ilmu.

Saya merasa sedih kerana setiap hari yang mati bergelimpangan di jalan raya adalah anak-anak muda yang menjadi mangsa kemalangan jalan raya. Setiap tahun hampir 30 ribu yang mati di jalan raya - majoritinya adalah anak-anak muda Melayu. Tidak ada pula sesiapa pun yang berani menyalahkan Orang Tua yang menjual motorsikal kepada anak-anak muda. Tidak ada pula alim ulama yang mengeluarkan fatwa untuk mengharamkan motorsikal. Langsung tidak kedengaran teori dan pandangan profesor kangkong tentang dasar pengangkutan yang terbaik untuk orang ramai. Yang untung menjual motor ialah Orang Tua. Yang mati di jalan raya ialah anak anak muda.

Sabar dahulu, sebenarnya memang susah untuk menjadi anak muda di Malaysia ini terutama kalau anak muda Melayu. Bila sudah mati pun anak-anak muda ini akan dipersalahkan. Mereka maut kerana mereka ganas memandu. Mereka tidak ada lesen. Tidak ada road tax. Mereka dituduh sebagai Mat Rempit dan suka membuang anak. Meleleh otak ke kai jika menjadi muda di Malaysia. Yang Tua-tua bangka 'oldtai' ini baik sangat ke?

0 comments: