Pilihanraya Kecil Lagi; Selamat Datang Kota Siputeh

Sungguhpun rayuan telah dibuat atas keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur itu, kita tetap berdoa semoga akan terjadi satu lagi pilihanraya kecil. Perkara 51 Undang-Undang Tubuh Negeri Kedah itu terlalu kuat untuk SPR melawannya. Sudah terang lagi bersuluh bahawa ADUN pemalas yang tidak menghadiri sidang DUN lebih 2 kali tidak lagi layak untuk bertugas memegang amanah wakil rakyat. Akhirnya Abu Hassan Sarif perlu terjun dengan labu-labunya.

Lama tidak berpilihanraya terasa hidup ini kosong. Idea tidak terpancar keluar. Pencerahan tidak berlaku. Semuanya sibuk dengan dunia post-call dan on-call. Hakikatnya kehidupan perlu terus. Berfikir dan bergerak ke depan. Tidak dapat tidak kita perlu mencapai target dan impian. Tidak dapat tidak kita perlu realisasikan hasrat, cita-cita dan kehendak warga keseluruhannya. Mendengar akan berlaku pilihanraya menjadikan jiwa anak muda kembali hidup.

Pedulikan siapa yang pandai atau bodoh ekonomi. Pandai atau bodoh bukanlah persoalannya. Apa yang pasti warga masih hidup dalam sengsara. Warga masih mengharapkan perhatian daripada pemimpin dan wakil rakyatnya. Warga mahu perjalanan kehidupan mereka lancar dan terurus. Warga mahukan amanah yang diberikan pada kertas undi itu dilaksanakan dengan sebaiknya. Bukan untuk bail-out syarikat anak bini dan melobi untuk membina kilang nuklear di Semenyih.

Akhirnya Bala sudah kembali. Susah sungguh warga mencari Bala ini. Rupanya Bala tengah bercuti. Bukan di Jakarta atau Bali tapi di Los Angeles. Tidak semena-mena Bala menjadi kaya kerana menyimpan rahsia besar. Siapakah ayah pada si anak comel itu. Siapakah yang bertanggungjawab membunuh Cik Mek Molek. Siapakah yang mendapat laba untung urusan jual beli Scorpene yang tersadai di Pelabuhan Klang itu. Adakah wakil rakyat Badrul Hisham ingin membuka pusat khidmat wakil rakyatnya yang baru di dalam perut kapal selam.

Alangkah bahagianya kehidupan seluruh warga jika Tun Dr Mahathir dilantik menjadi menteri kanan. Sudah pasti rakyat akan didahulukan pencapaian diutamakan. Tol akan dihapuskan. Pendidikan tinggi akan diberikan percuma. Hutan yang kaya dengan balak di Sarawak akan dipelihara. Anak-anak kaum Penan tidak akan dirogol oleh si pembalak. Air dan api akan diberikan subsidi. Projek mega akan dihentikan. Anak-anak muda yang menganggur diberi elaun hidup sementara menunggu pekerjaan. Alhamdulillah syukur kita punya pakar ekonomi yang hebat sehingga tidak ada orang miskin dan peminta sedekah di kaki lima.

Kehidupan itu perlu diurus dengan sebaiknya. Setiap kita perlu melihat sesuatu dengan mata pandangan yang jauh. Warga perlu bersedia dengan serangan kapitalis tahap dewa yang bakal menyusahkan kehidupan seluruh dunia. Kiamat atau tidak pada 2012 nanti bukanlah persoalannya. Berkahwin atau tidak dengan wanita yang disukai juga bukan premis awal untuk kehidupan seorang anak muda. Apapun kita mempunyai jalur pandangan yang sama iaitu kita sama-sama merayakan kemudaan kita. Sekali lagi dinyatakan bahawa dunia ini milik anak muda seperti kita.

0 comments: