Politik dan Pembunuhan, Malaysia Boleh


Lupakan apa yang berlaku pada Teoh Beng Hock. Hakikatnya anak muda ini telah mati. Kita yang hidup perlu bermuhasabah kembali melihat diri. Dunia apakah yang kita tinggal dan duduki hari ini. Politik jenis apakah yang menjadi amalan pemimpin daulah kita ketika ini. Sudahkah kita hilang akal berpolitik gilakan kuasa sehingga tahap menyiasat hingga terbunuh dan membunuh. Benarkah ketika ini kita tinggal di sebuah negara bernama Malaysia. Atau sebenarnya kita tinggal The New Mexico. Persoalan ini menjadi kerisauan warga melihat suasana yang berlaku dalam negara kita hari ini.

Peristiwa Memali, rampasan kuasa kerajaan Perak dan tragedi Teoh adalah manifestasi manusia yang hilang akal dan belas kasihan terhadap sesama manusia. Manusia menjadi gila dan bengong hanya kerana hilang kuasa dan ingin terus berkuasa. Manusia sudah hilang pertimbangan akal waras untuk menerima hakikat bahawa dunia ini hanya kita tumpang sebentar saja. Berprasangka untuk hidup selama-lamanya itulah mendorong membina rumah agam 24 juta. Berprasangka untuk menikmati kemewahan melampau itulah yang mendorong untuk terlibat rasuah membina pelabuhan berjuta billion. Kita lupa ada orang lain yang susah menderita.

Perasaan warga hari ini tidak tenang apabila kita tidak melihat pertandingan di padang yang rata. Sistem kehakiman dan prosedur undang-undang dipersoalkan ketelusannya. Apakah sebenarnya niat dan tujuan untuk menyiasat sehingga jam 3 pagi sedangkan waktu siang cukup panjang. Mengapa mendera dan menyiksa sewaktu penyiasatan sedangkan warga itu mungkin tidak bersalah bahkan tiada bebanan kesalahan sehingga didakwa dan dibuktikan bersalah. Kita terlupa bahawa itulah lumrah politik. Bersedia untuk berkorban dan terkorban.

Sewaktu Amerika hilang arah tujuan dan punca kuasa besar dunia itu mengebom Hiroshima dan Nagasaki. Ketika hasil mahsul minyak berkurangan dan inginkan sumber bahan api terus disalurkan untuk peperangan maka sekali lagi US melepaskan tekanan itu dengan menyerang Iraq dan Afghanistan. Pembunuhan dan peperangan adalah jalan akhir atau the ultimate solution bagi sesuatu masalah. Bila bangkai gajah tak dapat ditutup dengan tudung saji maka di cerekaramakan cerita bahawa gajah mati meminum racun.

Cukuplah wahai ahli politik. Bermainlah di atas pentas yang rata dan saksama. Yang salah tetap salah dan yang betul tetap betul. Warga hanya mahukan kehidupan yang aman dan meneruskan kegiatan ekonomi asasi dengan sempurna. Cukuplah dengan salahguna kuasa, rasuah dan penyelewangan untuk terus menjunjung takhta. Siasatlah dengan adil dan telus apa dan siapa yang menyebabkan kematian Teoh. Jika di dunia ini kita boleh lari di negeri sana nanti kita tidak boleh lari. Keadilan bukan milik PKR, PAS, DAP atau UMNO. Keadilan adalah hak milik setiap insan yang hidup bernafas di atas muka bumi Tuhan ini.

0 comments: