Chin Peng, Pemuda PAS dan Liberalisme


Hari ini kita melihat warga dalam keadaan tertekan. Warga sedang mencari satu penyelesaian terhadap masalah yang berlaku di sekeliling kita. Dalam asyik berpolitik dan bertarung memegang kuasa, kebajikan warga terabai dan dipinggirkan begitu sahaja. Kita tidak hairan jika melihat orang miskin dan susah ini ada di mana-mana. Kita juga tidak terkejut melihat ada warga yang masih menggunakan air perigi untuk minum dan pelita arang untuk menerangi malam yang gelap. Meskipun kita gah dan berbangga dengan tali leher setebal sejadah berdiri di tengah panas kota, bangga dengan kemajuan dan 1Malaysia, tapi taraf pemikiran warga masih di tahap kelas ketiga.

Peduli apa samaada Chin Peng ingin pulang atau tidak. Kalau dia ingin pulang biarkan dia pulang. Tapi soalnya benarkah dia ingin pulang ke Tanah Malaya ini dalam keadaan warga dilanda krisis ekonomi dan politik yang menggerunkan. Di sana dan di sini kita melihat jenayah yang lebih hebat dan zalim daripada apa yang dilakukan oleh Chin Peng. Membunuh isteri, anak, dan orang gaji dengan mengelar leher tanpa kasihan seperti yang berlaku di Perak baru-baru ini satu contoh tamsilan.

Bila Chin Peng dijadikan kambing hitam untuk kepentingan gerombolan, orang Melayu yang bodoh saja akan marah. Itulah baca lagi Berita Harian dan Utusan. Sepatutnya dah lama kita jadikan dua akhbar ini tempat alas pinggan mangkuk. Dalam keadaan terdesak gilakan kuasa warga dibodohkan dengan berita perkauman. Chin Peng pulang atau tidak takkan menyelesaikan masalah pengangguran. Lelaki-lelaki mangsa Ah Long yang dirantai dan digari bak anjing itu pun tidak boleh diselamatkan oleh Chin Peng. Ini semua kerja spin doktor dalam media. Ini semua membuatkan orang Melayu terkencing terberak marahkan Chin Peng dan berpayung di bawah gerombolan oleh kerana ketakutan.

Mengapa pada hari ini kita hanya tahu bersurah tentang perjuangan menegakkan agama tetapi tiada usaha untuk menerajui perubahan. Katalah apa saja muluk-muluk tema dalam muktamar, tetapi jangan asyik membantah konsert dan hiburan yang menjadi makanan jiwa anak muda. Di sinilah yang saya lihat stereotaip yang ada dalam pemuda PAS. Banyak berkata dan pandai berbicara sahaja tidak cukup sekiranya tiada mekanisme untuk memahami aspirasi dan jiwa anak muda. Bait-bait surah dan wahyu Yang Maha Esa tidak cukup hanya dibacakan saja tetapi mesti direalisasikan. Setiap kali bermuktamar ramai yang membuat air liur basi daripada memahami intipasi apa yang disebut dasar itu. Soalnya berkesankah ia?

Apa yang saya lihat isu dan idea yang diutarakan sama sahaja. Pemuda PAS tetap akan berdemontrasi sekiranya Avril dijemput semula. Mengapa tidak sediakan alternatif hiburan untuk anak muda. Mengapa tidak cuba membuat konsert alternatif di SunBurst. Mengapa tidak menyediakan ruang untuk anak muda beridealisasi seperti The Zouk atau Annexe Central Market. Kepoyoan ini akan menjadi skrip stereotype yang kita ulang dan ulang sepanjang tahun. Ini tidak akan menghasilkan pencerahan dan dunia baru untuk anak muda Malaysia. Saban tahun anak muda akan mati di jalanraya bukan dalam pilihanraya.

Memang benar sesuatu perjuangan itu ada masa ringan dan masa berat. Kita harus terima hakikat bahawa kehidupan bukanlah semudah yang kita sangka. Setakat berkahwin dengan model cantik dan bersurah mengenai kejayaan perniagaan itu tidak cool untuk anak muda. Yang cool adalah kita jadi anak muda biasa yang bebas untuk menjadi kaya, bebas berfikir, bebas bertindak dan mempunyai cita-cita untuk membangunkan Malaysia Baru.

1 comments:

Farid Rashidi said...

Salam,

Sebab itu umat Islam perlu berfikir secara luar biasa. Bukan biasa.